Sunday 8 April 2012

MD 49

MyDiary (49)
9 Apr 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Oleh kerana musim berkempen semakin hari semakin rancak menjelang PRU13, sudah tentulah masing-masing pihak sedang sibuk mengadakan pelbagai aktiviti politik untuk parti masing-masing. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti rutin seperti ceramah dan juga memasang bendera atau sepanduk di kiri kanan jalanraya.

Aktiviti seperti ini sudah dianggap sebagai sesuatu yang biasa dilakukan di mana-mana sahaja dengan penglibatan semua peringkat jentera parti terutamanya pemuda-pemuda apabila menjelangnya pilihanraya. Ada yang memasang bendera dan sepanduk pada waktu malam, ada juga yang sibuk dengan persiapan bilik-bilik gerakan dan ada juga yang terlibat dengan program-program ceramah dan kursus. Semua mereka bekerja dengan tujuan supaya parti masing-masing mendapat kemenangan dan semua mereka semakin hari semakin ghairah.

Dalam keghairahan inilah, saya rasa pihak kepimpinan setiap parti itu harus pula memainkan peranan mereka supaya aktiviti ini dikawalselia pada setiap masa dan di semua tempat yang terlibat. Ini adalah kerana sudah tentulah semasa kegiatan ini dijalankan, kadang-kadang ada pula pihak yang terlalu ghairah dan geram sehingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan perbalahan atau pergaduhan. Kadang-kadang silapnya sedikit sahaja tetapi ianya boleh dijadikan punca perbalahan yang besar. Kadang-kadang sewaktu ceramah diadakan contohnya, hanya disebabkan oleh segelintir sahaja orang-orang muda yang melaungkan kata-kata yang tidak manis didengar, maka pergaduhan boleh berlaku. Begitu juga, kadang-kadang hanya disebabkan oleh sebatang sahaja bendera yang dipasang, maka pergaduhan boleh berlaku diantara jiran tetangga.

Pihak keselamatan sudah tentulah tidak mampu mengawal semua tempat pada setiap masa. Mereka pun ada tanggungjawab lain yang harus disempurnakan. Oleh itu, saya melihat bahawa peranan pihak kepimpinan kedua-dua parti politiklah yang seharusnya mengambil berat tentang hal ini. Nasihat dan pesanan harus disampaikan kepada petugas-petugas parti pada setiap masa.

Bagi saya, sikap menunjuk-nunjukkan kekuatan fizikal secara berpuak-puak bukanlah merupakan satu sikap yang mulia disisi masyarakat. Masyarakat lebih menghormati dan menyanjung tinggi sikap sopan dan berhemah.

Sikap menunjuk-nunjuk berani sudah ketinggalan zaman, apalagi apabila kita dapati yang menunjuk-nunjuk berani itu bukanlah pun berani dengan sebenar-benar berani.

Orang yang betul-betul berani tidak berpuak atau ‘bergeng’ dan selalunya orang seperti ini sangat dihormati masyarakat sebaliknya. 



Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment