Monday 16 April 2012

MD 51

MyDiary (51)
16 Apr 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Banyak wall dalam Facebook yang mana saya menjadi ahlinya selain daripada beberapa wall yang saya cipta sendiri. Kesemuanya dicipta untuk tujuan dimuatkan posting dan komen politik.

Terdapat bermacam-macam bentuk nama yang diberikan kepada wall-wall yang dicipta itu. Ada yang terbuka (open group), ada juga yang tertutup (closed group), bahkan ada juga yang sulit (secret group). Ada isu nasional yang diketengahkan, ada juga isu tempatan. Ada isu besar, ada juga isu kecil. Ada isu menyentuh dasar, ada juga yang menyentuh peribadi. Ada komen-komen ‘straight forward’, ada juga komen-komen yang berbelit-belit. Ada pemain yang menggunakan nama samaran, ada juga yang menggunakan nama sebenar. Ada yang aktifkan hanya satu nama, ada juga yang aktifkan sampai berpuluh-puluh akaun. Ada yang menggunakan gambar samaran, ada juga yang menggunakan gambar betul. Itulah Facebook.

Facebook sudah menjadi popular. Bahkan, sesetengah pemainnya sudah ‘ketagih’ dengannya. PRU13 menyaksikan perubahan ini dengan sangat ketara. Medan perbahasan bukan lagi di meja-meja makan kedai-kedai kopi, tetapi rancak di medan Facebook. Inilah kemajuan Teknologi Maklumat atau IT.

Kalau dilihat dari sudut positifnya, Facebook memberi ruang dan peluang kepada semua orang untuk berinteraksi secara terbuka. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang yang menjadi ahli dalam sesebuah group itu untuk menulis pendapatnya secara bebas kecuali orang-orang yang menjadi ‘admin’ group itu sahaja. Mereka sahajalah yang boleh mengawal. Itu pun boleh dilakukan hanya dengan memberikan nasihat atau dengan tindakan ‘dikeluarkan’ sahaja. Orang yang dikeluarkan itu boleh pula menyertai ‘group’ lain atau pun mungkin juga orang itu masih berada di dalam group yang sama tetapi dengan nama samaran yang berlainan.

Apa pun, saya melihat perkembangan perbahasan menjurus kepada dua arah. Satu arah menjurus kepada perbahasan secara ilmiah dan berfakta yang boleh memberikan faedah untuk kedua-belah pihak, manakala satu lagi menuju kearah perbahasan yang kadang-kadang menjemukan kerana ketiadaan logik atau fakta-fakta yang munasabah kecuali kata-kata gurauan atau provokasi sahaja. Arah yang kedua itu biasanya mengakibatkan ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’.

Saya juga melihat akhir-akhir ini, perbahasan banyak berlaku diantara sesama orang-orang UMNO, bukan diantara orang UMNO dan orang PAS. Dalam wall-wall tertentu, kita akan dapati perbahasan dilakukan dengan panjang apabila sesuatu tajuk yang menarik dipaparkan.

Saya tidak mahu memberikan sebarang detail di sini sebagai contoh tetapi perbahasan yang panjang itu banyak menyentuh sikap diantara dua golongan yang berbeza pendapat terhadap kepimpinan parti sendiri.

Oleh itu, saya ingin sarankan di sini supaya perbahasan seperti itu dihentikan dulu buat sementara waktu. Ini adalah kerana kita sepatutnya memberikan tumpuan kepada perbahasan diantara orang-orang UMNO dengan orang-orang PAS bersesuaian dengan musim menghadapi pilihanraya.

Perbahasan diantara sesama orang-orang UMNO akan kita teruskan semula selepas pilihanraya untuk tujuan pemilihan parti pula.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment