Sunday 6 May 2012

MD 52

MyDiary (52)
6 Mei 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Suasana pilihanraya semakin dirasai. Bahangnya sama-sama dirasai oleh kedua-dua pihak UMNO dan PAS. Masing-masing semakin rancak dengan program parti masing-masing. Bendera BN dan PAS dilihat dipasang disegenap pelusuk tempat seolah-olah pilihanraya sudah diumumkan. Tidak pernah suasana seperti ini berlaku sebelum ini.

Namun, suasana hanya pada suasana sahaja. Orang ramai tetap seperti biasa. Mereka telah lama bercakap tentang politik. Tiada apa yang baru dipercakapkan kecuali ulangan kepada topik-topik biasa sahaja. Kalau ada pun, hanyalah sekitar tajuk BERSIH 3.0 dan perkara-perkara terbaru yang keluar dalam surat khabar atau berita tv dan radio.

Sebenarnya, tiada apa-apa yang istimewa lagi. Semua orang hanya menunggu saat diumumkan pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri sahaja. Kalau di Semerak, semuanya sudah siap sedia kecuali bendera bilik gerakan DUN setinggi 70 kaki yang belum dinaikkan. Tiangnya sudah siap didirikan dan apabila bendera ini dinaikkan, maka itulah permulaannya kerana bendera itu akan dianggap sebagai panji tertinggi dan lambang bermulanya ‘peperangan’.

Semangat juang orang-orang UMNO dan BN Semerak pun setinggi bendera itu juga, bahkan mungkin lebih tinggi dari bendera itu. Jentera parti hanya menunggu arahan kepimpinan parti untuk mara ke medan juang dengan segala alat perang yang sudah dibekalkan.

Namun, mereka masih lupa bahawa segala yang ada itu belum mencukupi. Mereka lupa bahawa sikap mereka belum berubah untuk memenangi peperangan yang akan dihadapi. Mereka lupa bukan peralatan perang sahaja yang boleh menjamin kemenangan kepada parti tetapi sikap mereka juga harus dilengkapkan dengan ciri-ciri yang sewajarnya.

Mereka masih sombong dan angkuh terutama mereka yang dianggap sebagai ‘panglima-panglima’ perang. Pada kebiasaan setiap pilihanraya, jawatankuasa DUNlah dianggap barisan panglima itu. Di bawah barisan ini, terdapat pula barisan pegawai iaitu Pengerusi-Pengerusi JKKKP yang diketuai oleh seorang Ketuanya.

Merekalah sebenarnya yang akan memikul tugas dan tanggungjawab utama dan terpenting di medan perang nanti. Bagaimana hendak memenangi peperangan ini jika sokongan dan kerjasama dari tentera bawahan tidak diperolehi secara baik? Apakah sikap-sikap seperti tidak mahu melayani panggilan telefon dari tentera bawahan dianggap tidak menjejaskan semangat juang tentera bawahan ini?

Mereka lupa bahawa sikap sombong dan angkuh mereka itu pun boleh juga memberi kesan keatas menang kalah peperangan yang akan dihadapi ini. Mereka juga lupa bahawa jawatan dan kuasa yang ada pada mereka hari ini akan terlucut apabila kalah dalam peperangan nanti.

Inilah sahaja yang perlu diperbetulkan buat pada masa ini. Artikel saya pada kali ini saya tujukan khas kepada semua Pengerusi JKKKP DUN Semerak terutama Ketuanya sendiri. Tidak berpengalaman tidak apa, tetapi sikap sombong dan angkuh serta tidak mahu menghormati orang-orang lama parti amatlah dikesali.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment