Tuesday 22 May 2012

MyDiary 54

MyDiary (54)
22 Mei 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Keadaan pulih seperti biasa apabila ramalan pilihanraya pada tarikh-tarikh 14 Mei sebagai hari pembubaran parlimen, 26 Mei sebagai hari penamaan calon dan 9 Jun sebagai hari membuang undi tidak berlaku. Sekarang orang ramai meramalkan bahawa pilihanraya akan berlaku dalam cuti persekolahan yang akan datang ini pula atau mungkin lebih awal.

Keghairahan itu telah reda sedikit dan sekarang tiadalah lagi sms diterima yang mengandungi ramalan tarikh-tarikh seperti itu. Mereka berkata, adalah lebih tenang jika kita tidak menerimanya dan sememangnya benar bahawa keputusan untuk menentukan tarikh pilihanraya adalah hak mutlak YAB Perdana Menteri.

Dengan itu juga, semua pihak boleh meredakan juga perasaan masing-masing. Melakukan apa sahaja kerja dalam keadaan tenang sudah tentulah lebih baik hasilnya berbanding dengan keadaan sebaliknya. Urusan persiapan menghadapi pilihanraya bolehlah dilakukan dengan lebih rapi dan apa-apa yang tidak sempurna bolehlah dilengkapkan dengan masa yang ada ini.

Semuanya dilihat dalam keadaan tenang.

Namun, bak kata orang tua-tua, “air tenang jangan disangka tiada buaya”. Maka, begitu jugalah dalam politik. Istilah buaya itu bermaksud kepada bahaya. Kalau di dalam sungai, bahayanya untuk orang yang mandi dan berenang. Dalam politik pula, bahayanya untuk parti dan calon.

Saya melihat unsur ketenangan ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak terutama oleh mereka yang terlalu ghairah untuk menjadi calon. Dalam suasana tenang ini, ada diantara mereka yang sudah terlebih awal melakukan sesuatu untuk menampakkan seolah-olah merekalah yang akan menjadi calon pilihanraya, tiadalah lain orang. Aktiviti ini dilakukan secara licik dan halus tetapi mereka lupa bahawa walaupun mereka tidak pernah mengungkapkan sebarang kata-kata lain kecuali “semata-mata untuk parti”, namun niat sebenar mereka masih tetap terserlah juga kerana apa yang dilakukan itu “mendepani masa”. 

Terdapat berbagai ragam untuk menzahirkan minat tersirat mereka ini. Ada yang membuat program pengagihan beras kepada orang ramai dengan kampitnya dicetak gambar peribadinya, bukan lambang parti. Ada juga yang berkemampuan dari segi kewangan mengambil kesempatan membaiki dan mengubahsuai premis lama untuk dijadikan bilik gerakan yang berasingan kononnya persiapan itu dibuat dengan arahan kepimpinan atasan parti, padahal kepimpinan atasan ini sebenarnya tidak pun ada kena mengena dengan apa yang dilakukan kerana tidak pernah dimaklumkan atau dipohon izinnya sebelum ini.

Saya melihat contoh-contoh di atas itu sebagai sesuatu yang tidak baik untuk parti kecualilah benar-benar terbukti sememangnya tiadalah orang lain lagi yang layak menjadi calon, kecualilah mereka ini sahaja.

Inilah “buaya” atau bahaya atau ancaman dalaman kepada parti yang saya maksudkan itu. Gejala atau penyakit inilah juga yang menjadi salah satu daripada faktor-faktor utama yang telah mengakibatkan parti sendiri sentiasa kalah dalam setiap pilihanraya yang lepas-lepas tetapi disedari hanya pada setiap kali ‘post-mortem’ diadakan selepas itu.

Apakah kita masih belum mahu belajar dari kesilapan yang lepas?



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.      

No comments:

Post a Comment