Monday 14 May 2012

MyDiary 53

MyDiary (53)
14 Mei 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sejak dari dahulu lagi UMNO Bahagian Pasir Puteh sebenarnya bukanlah lemah berbanding PAS Kawasan Pasir Puteh. Kekalahan demi kekalahan dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu bukanlah disebabkan PAS lebih kuat tetapi UMNO sengaja dilemahkan oleh orang-orangnya sendiri.

UMNO menjadi lemah apabila gejala ketidakpuasan hati orang-orangnya dibiarkan begitu sahaja sehingga kepada tahap mengkhianati calon parti sendiri yang bertanding dalam pilihanraya. Gejala ini sebaliknya tidak menjadi terbawa-bawa dikalangan orang-orang PAS apabila mereka masuk ke ruangan tempat membuang undi walaupun mereka tidak berpuas hati juga terhadap calon parti mereka.

Inilah diantara faktor utama setiap kali calon UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya. Semua orang tahu penyakit ini biasa berlaku dikalangan orang-orang UMNO terutamanya di Kelantan.

Dalam menghadapi PRU13 ini nanti, saya tidak pasti samada gejala ini akan berlaku lagi atau pun tidak. Tanda-tanda masih belum jelas kerana pembubaran parlimen dan pengumuman senarai calon belum berlaku.

Walau bagaimana pun, pengundi-pengundi ini tidak boleh dipersalahkan 100% jika gejala ini masih lagi berlaku dalam PRU13 nanti. Saya berkata begitu kerana saya dapati usaha oleh pihak kepimpinan parti untuk menghapus atau mengurangkan gejala ini tidak pernah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berkesan.

Dibelakang JKR Pasir Puteh, terdapat sebatang jalan susur yang tidak pernah dalam sejarah pilihanraya-pilihanraya yang lalu dipasang atau didirikan bendera PAS kerana di situ tiada penyokong PAS atau cawangannya kecuali UMNO Cawangan Kampong Gelam. Namun, pada kali ini, jalan ini sudah mulai dibarisi oleh bendera-bendera PAS sejak beberapa hari yang lalu. Saya dimaklumkan juga bahawa beberapa pemimpin PAS sudah pun mulai masuk ke kawasan ini dengan tujuan memancing sokongan dari orang-orang UMNO di kawasan itu. Dalam hal ini, sudah tentulah mereka ini tidak boleh dipersalahkan juga kerana sememangnya itulah yang akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PAS ini apabila terlihat sahaja oleh mereka peluang yang terbuka luas di depan mata.

Saya tidak tahu sejauh mana kesannya dalam pilihanraya nanti keatas calon BN jika mereka berjaya menambat hati pengundi-pengundi UMNO di kawasan ini. Apa yang saya tahu ialah, pada hari membuang undi nanti, setiap pengundi menjadi rebutan dan taruhan walau pengundi itu orang kurang upaya atau OKU sekali pun.

Sudah tentulah tindakan yang dibuat pemimpin-pemimpin PAS ini akan juga lebih memudahkan mereka apabila tiba pilihanraya nanti kerana mereka sudah terlebih dahulu menghidu dan bertindak sedangkan kepimpinan dan jentera parti UMNO sendiri tidak melakukan apa-apa usaha untuk menstabilkan semula keadaan dan sokongan.

Ini hanyalah satu contoh kepada apa yang sedang berlaku menjelang pilihanraya dan berkebetulan ianya berlaku di tengah-tengah pusat Bandar Pasir Puteh dimana Kampong Gelam sangatlah hampir dengan pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh. Bayangkanlah kalau gejala ini berlaku juga di kawasan luar bandar.

Dengan hal yang demikian, saya cukup khuatir jika UMNO dan BN kalah lagi dan kalahnya bukanlah disebabkan parti PAS lebih kuat tetapi adalah disebabkan parti UMNO dilemahkan oleh orang-orang UMNO sendiri termasuk kepimpinan Bahagian secara tidak langsung.

Jika tidak, anggaplah penonjolan secara tiba-tiba dan luar biasa bendera-bendera PAS disepanjang jalan belakang JKR Pasir Puteh itu sebagai satu tamparan kepada UMNO Pasir Puteh.

Apakah kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak sedikit pun merasai tamparan ini?

Atau sengaja menganggap isu ini remeh atau perkara kecil sahaja?

Lalu membiarkan sahaja pihak PAS merebut dengan sewenang-wenangnya sesuatu yang bernilai dari tangan UMNO?


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment