Sunday 25 March 2012

MD 44

My Diary (44)
25 Mac 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Hari ini ialah hari mesyuarat agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Cikgu Zawawi Othman, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh merangkap Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh.

Saya hadir kerana saya ada anak di Tingkatan Empat sekolah ini.

Ucapan Cikgu Zawawi pada tahun ini nampak lebih bersemangat. Walaupun bersuara letih dan serak-serak basah kerana terlalu banyak berpidato pada musim ini, beliau masih mampu menyampaikan ucapannya dengan jelas dan terang.

Walau bagaimana pun, tidak seperti ucapannya pada mesyuarat-mesyuarat yang lepas apabila saya dapati ucapannya pada kali ini tidaklah begitu berisi dan bernas.

Saya berkata begitu kerana pertamanya, beliau memberikan gambaran betapa akrabnya beliau dengan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri dengan bukti bahawa beliau sahajalah satu-satunya Ketua Bahagian UMNO yang pernah dibawa bersama oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri ke Afrika Selatan tempuh hari. Saya tidak tahu mengapa beliau merasa begitu perlu untuk beliau menceritakan hal ini kepada orang ramai di dalam majlis seperti ini secara formal. Sudah tentulah beliau mempunyai sebab yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Sudah tentulah juga mungkin ada sesuatu yang telah pernah berlaku di Pasir Puteh sebelum ini, maka beliau merasa beliau terpaksa mengambil langkah memberitahu kepada orang ramai tentang betapa rapatnya beliau dengan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri. Pada kebiasaannya, seseorang pemimpin politik tidak suka memberitahu kepada orang ramai rapat atau tidak rapatnya beliau dengan mana-mana pemimpin atasan kerana memberitahu sesuatu seperti itu sudah tentulah akan dianggap seperti cubaan menaikkan sendiri harga dirinya. Jika sebaliknya, seseorang pemimpin politik itu akan dianggap pula membuat cubaan untuk menjatuhkan nama baik seseorang pemimpin atasan jika beliau memberitahu bahawa beliau tidak rapat dengan pemimpin atasan itu. Oleh itu, didalam apa jua keadaan sekali pun, jika ianya dilakukan juga, orang ramai sudah tentulah akan merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di mana-mana.

Kedua, beliau menyelitkan juga dalam ucapannya bahawa jumlah derma yang telah beliau berikan kepada PIBG sekolah ini ialah RM8,000 iaitu RM3,000 untuk tahun 2010 dan RM5,000 untuk tahun 2011. Pada tahun ini pula, beliau memaklumkan bahawa RM3,000 akan beliau dermakan. Secara berseloroh, beliau berkata bahawa beliau sengaja menjadikannya 3 + 5 + 3 kerana itulah nombor kereta wakil rakyat PAS DUN Semerak dahulu iaitu 353. Baik secara biasa mahu pun secara politiknya, saya tidak faham apa kaitan nombor ini dengan jumlah derma yang beliau hulurkan itu. Mungkin hanya kebetulan sahaja.

Apa pun, saya dapati ini pun tidak biasa dilakukan oleh tuanpunya badan sendiri di dalam ucapannya. Yang biasa dilakukan ialah, jika pun dirasakan pengumumannya perlu, ianya dilakukan oleh orang lain. Kalau di dalam mesyuarat PIBG contohnya, ianya elok diumumkan oleh Pengerusi PIBG, bukan tuanpunya badan.

Oleh itu, seorang ketua seharusnya lebih matang dan mempunyai penasihat ucapan yang matang juga.


Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

No comments:

Post a Comment