Saturday 31 March 2012

MD 46

MyDiary (46)
1 April 2012

Kalau zaman saya budak-budak dulu, 1 April merupakan hari dimana kami akan melakukan sesuatu untuk mengusik kawan-kawan lain atau pun mana-mana guru kami yang kami sayangi. Saya masih teringat pada hari inilah sahaja peluang untuk kami bergurau dengan mendiang Mr Muthuritinabarathi, iaitu guru asrama SMK Kamil yang sangat garang sewaktu saya berada di sana dari tahun 1965 (Std 5) hingga 1968 (Form 3). Kami letakkan satu baldi berisi air di atas pintu masuk ‘dorm’ supaya apabila Mr Muthu datang untuk membuat pemeriksaan, baldi itu mencurahkan air keatasnya bila pintu ditolaknya. Beliau menjadi sangat marah tetapi pada masa itu, ketua dorm akan menjerit kepadanya dengan kata-kata “April Fool!!!”. Marahnya terhenti serta-merta dan beliau pun balik kerumahnya sambil ketawa.

Zaman sekarang, gurauan seperti itu sudah ditelan zaman. Budak-budak sekarang tidak lagi tahu bahawa 1 April pernah merupakan tarikh gurauan tahunan. Saya tidak tahu asal usulnya maka tarikh 1 April dijadikan tarikh April Fool. Yang saya tahu, ada filem Hindustan ‘April Fool’ dan kebetulan guru asrama kami itu pun, orang India.

Itulah zaman dimana tiada komputer, tiada tv berwarna, tiada air-cond dan kemudahan-kemudahan lain seperti sekarang. Kalau di kampung-kampung pula, tiada bekalan eletrik dan air. Jalan raya pula hanya di atas batas-batas sawah dan basikal pun sudah merupakan kenderaan mewah.

Apabila masuk waktu solat, tiada azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara tetapi masuk waktu diketahui melalui paluan ‘geduk’ yang juga digunakan untuk membangunkan orang supaya bersahur dibulan Ramadhan. Paluan juga dilakukan untuk memberitahu kematian mana-mana penduduk kampong tetapi irama dan rentaknya berbeza daripada paluan masuk waktu dan membangunkan orang bersahur. Jika acara gotong royong hendak diadakan seperti mengusung rumah untuk dialihkan ke tempat lain, maka tiupan sejenis alat yang dipanggil ‘tuang‘ akan digunakan. Ianya diperbuat daripada tanduk kerbau jantan.  Itulah cara perhubungan orang-orang terdahulu yang sekarang caranya diubah kepada telefon atau internet.

Proses perubahan zaman ini tidak dirasai oleh budak-budak zaman sekarang. Ianya boleh dirasai jika seseorang yang masih hidup berusia melebihi 50 atau 60 tahun sekarang. Begitu jugalah proses perubahan budaya hidup sekampung. Orang-orang dulu terlalu menghormati orang-orang tua. Mereka tidak akan sekali-kali mengingkari apa sahaja perintah orang-orang tua walaupun mereka tidak bersetuju dengan perintah itu. Amalan ini tidak lagi menjadi sesuatu yang diutamakan dalam kehidupan seharian remaja sekarang. Mereka lebih berminat untuk hidup secara bebas tanpa kongkongan orang-orang tua mereka. Mereka bukan sahaja tidak menghormati mereka bahkan sanggup menentang jika kemahuan mereka tidak ditunaikan.

Oleh hal yang demikian, maka terjadilah jurang diantara yang tua dan yang muda. Semakin hari jurang ini semakin melebar. Gejala mencuri kabel telefon, merempit, dadah dan berbagai-bagai lagi jenayah juvana berlaku setiap hari. Semakin hari semakin tidak terkawal.

Bagi saya, usaha dan tanggungjawab pihak berkuasa sudah memadai. Mereka tidak seharusnya dipersalahkan semata-mata kerana mereka sudah berusaha keras selama ini untuk membendung gejala ini. Begitu juga ibu bapa remaja-remaja ini. Mereka pun sudah berusaha keras untuk menentukan anak-anak mereka menjadi sebaik-baik manusia mengikut norma-norma yang sewajarnya. Masyarakat juga tidak harus dipersalahkan. Mereka pun mahukan semua remaja-remaja ini menjadi orang-orang yang baik didalam kelompok masyarakat itu. Oleh itu, semua pihak sebenarnya mahukan supaya remaja-remaja ini menjadi orang-orang yang baik.

Dan pihak yang mahu itu, adalah sebenarnya orang-orang lama yang boleh membezakan dua zaman di atas itu. Malangnya, mereka ini semakin hari semakin berkurangan jumlahnya. Maka tidak mustahillah, jika sampai satu masanya nanti, mereka ini sudah tidak ada lagi dan semua yang ada tidak boleh lagi membezakan dua zaman ini.

Oleh itu, inilah sahaja masa yang ada jika usaha hendak dibuat supaya budaya lama diterapkan semula ke dalam masyarakat orang-orang melayu. Budaya menghormati orang-orang tua harus disemai semula dengan berbagai-bagai cara yang mampu. Sudah tentulah prosesnya tidak semudah dicakap tetapi sekurang-kurangnya usaha tetap dibuat.

Sebab itulah saya perkatakan tentang dua kelompok besar di dalam masyarakat sekarang. Kelompok pertama ialah kumpulan orang-orang lama dan kelompok kedua ialah kumpulan orang-orang baru. Kumpulan pertama seharusnya dihormati oleh kumpulan kedua kerana mereka melalui ‘dua zaman’ yang berbeza itu.

Mereka adalah kawan dan juga guru kepada kumpulan kedua.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.   

No comments:

Post a Comment