Sunday 11 January 2015

Insaflah - Rumah Kata Pergi Kubur Kata Mari

BismilLahirrahmanirrahim.
Tiada niat dalam hati saya untuk mengaibkan mana-mana orang melalui tulisan saya ini.
Ianya semata-mata dengan harapan supaya orang yang berkenaan itu insaf dan sedar sebelum terlewat.

Seorang tokoh ternama dan tersohor bukan sahaja diperingkat negara bahkan diserata dunia telah diketahui mempunyai sifat dan perangai sukakan wanita-wanita muda termasuk isteri orang. Pernah diceritakan bahawa beliau sangat suka membawa mereka keluar negeri secara sulit atau membawa balik hadiah-hadiah yang istimewa dan mahal (termasuk sex toys) apabila beliau pulang dari luar negeri untuk mereka. Pada mulanya saya merasa sangsi dengan cerita-cerita sedemikian kerana pada zahirnya tidak sedikit pun menampakkan tanda-tanda ketara bahawa beliau ialah seorang ‘playboy’ kerana saban tahun beliau ke mekah menunaikan umrah. Namun ada orang yang sanggup tampil dengan segala bukti untuk mengesahkan cerita ini.

Tokoh yang berkenaan itu sangat berprofil tinggi dan ada juga kalanya dijemput ke dalam program televisyen arus perdana. Beliau sangat disegani kawan dan lawan kerana jasanya membantu mengembangkan sebuah konglomerat besar negara sehingga kepada tahap menjadikan pengasasnya tersenarai dalam kumpulan utama orang-orang terkaya negara. Konglomerat ini telah menjadi kukuh dan kuat sehingga jika terjadi apa-apa pun, kesannya tidak sedikit pun menjejaskan syarikat ini.

Barangkali kerana kedudukan dan kekayaan yang dimilikinya itulah, beliau menjadi ‘sunyi’ dalam jutaan orang. Beliau tidak ada kawan-kawan yang boleh menasihati beliau kerana tidak ada orang yang sanggup dan berani mendekati beliau kecuali orang-orang yang setarafnya sahaja. Anak-anaknya pula walaupun semuanya sudah besar dan berniaga, tidak seorang pun juga berani berkata apa-apa kerana jasa dan budinya yang terlalu besar kepada mereka terutamanya dalam menyalurkan bantuan kewangan sebagai modal perniagaan. Kemewahan inilah yang menjadikan mereka patuh dan taat kepada bapa mereka ini.

Oleh itu, saya telah diminta supaya menulis sesuatu tentang beliau sebagai jalan terakhir dengan harapan semoga beliau mulai insaf dan sedar. Segala kesilapan dan kesalahan yang beliau telah lakukan selama ini tetap boleh dimaafkan oleh mereka yang menjadi mangsanya jika sekiranya beliau berhenti menjadi ‘playboy’. Masa sudah terlalu suntuk kerana bak kata orang tua-tua, ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’, walaupun rumah itu ialah sebuah banglo besar di puncak sebuah bukit di ibu negara. Umurnya sekarang menghampiri 70 tahun dan tokoh ini bukan orang politik.

WalLahualam.
Apa yang baik dari Allah SWT.
Apa yang tidak dari saya sendiri.

No comments:

Post a Comment