Tuesday 30 October 2012

MyDiary (99)


MyDiary (99)
30 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

CONTOH KEPIMPINAN ORANG-ORANG DAHULU

Saya tertarik untuk menulis sedikit tentang topik di atas kerana saya melihat kepimpinan sekarang sudah sangat jauh berbeza dengan kepimpinan orang-orang dahulu. Keupayaan saya bukanlah besar dalam usaha untuk membandingkan mereka tetapi saya agak bernasib baik kerana saya dapat melalui zaman kepimpinan yang berbeza itu.

Saya mula menyertai parti UMNO pada tahun 1983 sewaktu berumur 30 tahun dengan nombor keahlian UMNO saya 592247 (sijilnya masih saya simpan dalam keadaan baik). Pada tahun 1997 apabila berlakunya PRK DUN N31 Semerak, saya telah ‘diperangkap’ lalu ‘terjerat’ untuk menentang UMNO tetapi tidak ditakdirkan untuk menjadi ahli PAS. Pada tahun 2002, apabila YBhg Dato’ Pahamin A. Rajab pulang ke Pasir Puteh untuk bergiat didalam politik, saya telah ‘ditariknya’ untuk balik semula kepada UMNO dengan menjadi ahli baru di Cawangan Kg Gelam Pasir Puteh dibawahnya. Di Cawangan ini beliau ialah Ketua UMNO Cawangan yang baru sementara saya pula dilantiknya sebagai Setiausaha. Di sinilah saya mendapat semula keahlian UMNO saya dengan nombor baru 03924693 itu.

Ini bermakna bahawa penglibatan saya didalam politik ialah selama hampir 30 tahun termasuk 5 tahun berada di luar UMNO secara bebas. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, pada 5 Jan 2013 umur saya akan genap 60 tahun dan ini bermakna peluang untuk saya menyertai kumpulan veteran UMNO akan terbuka.

Saya masih mampu mengingati pada masa dahulu betapa kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh begitu mementingkan perpaduan parti. Tanpa membuang masa, mereka akan terus mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera jika didapati ada unsur-unsur perpecahan berlaku di mana-mana yang boleh merugikan parti. Mereka akan segera pergi berjumpa dengan pihak-pihak yang bertelagah itu untuk tujuan mendamaikan mereka semula. Berbagai-bagai cara dan kaedahlah dilakukan mengikut kesesuaian kes dan tempat serta tahap mentaliti pihak yang bertelagah itu. Jika mereka dari kelas atasan, pemimpin ini akan cuba selesaikannya dengan kaedah yang sesuai dengan taraf mereka. Begitu jugalah dengan orang-orang kampong biasa. 

Ini bermakna bahawa pemimpin dahulu sentiasa boleh menjadikan diri mereka sesuai dengan segenap lapisan masyarakat. Walaupun mereka berpelajaran tinggi, mereka sanggup ‘merendahkan’ diri mereka jika mereka terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang tidak berpelajaran tinggi. Mereka lakukan semua ini hanyalah semata-mata demi memastikan supaya perpaduan parti terpelihara kerana mereka sedar tanpa perpaduan, parti akan mengalami kesukaran untuk memenangi pilihanraya.

Sekarang apa yang berlaku ialah sebaliknya. Kepimpinan diperingkat Bahagian tidak dilihat begitu mementingkan lagi perpaduan parti padahal contoh sudah ditunjukkan oleh kepimpinan terdahulu. Saranan demi saranan telah juga dibuat supaya isu ini dijadikan keutamaan, namun ianya hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi sahaja. Rungutan dan keluhan ahli-ahli UMNO di bawah tidak langsung diberikan perhatian apalagi hendak bertindak. Mereka tidak merasa apa yang disuarakan oleh ahli-ahli parti di bawah yang tidak memegang sebarang jawatan parti itu sebagai penting.

Inilah perbezaan ketara yang saya anggap sebagai pengalaman paling penting bagi diri saya sebagai ahli UMNO. Pemimpin dahulu sentiasa mendapatkan buah fikiran atau nasihat daripada ahli-ahli bawahan selain daripada AJK Bahagian contohnya, dalam banyak hal yang berkaitan dengan urusan parti dan juga politik. Pemimpin sekarang tidak lagi begitu. Kadang-kadang bukan sahaja tidak mahu mendapatkan nasihat dari ahli-ahli biasa diperingkat bawahan, bahkan terdapat juga kes dimana pertelingkahan berlaku diperingkat kepimpinan sendiri sehingga kepada tahap tindakan diambil dengan menggugurkan jawatan yang disandang oleh orang-orang yang dianggap tidak sehaluan atau sependapat dengannya.

Itulah perbezaan yang saya maksudkan dan sudah tentulah sikap dan gaya kepimpinan terdahulu lebih bererti untuk UMNO.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693 (asal 592247)
Semerak.   

No comments:

Post a Comment