Monday 8 October 2012

MyDiary (96)


MyDiary (96)
9 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PERPADUAN PARTI

Sehingga kini belum ada sebarang tanda lagi bahawa kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh akan memanggil atau menganjurkan perjumpaan dengan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan orang-orang kanannya.

Mungkin kepimpinan UMNO Bahagian sibuk dengan program-program parti kerana PRU13 semakin hampir. Saya faham dengan keadaan tugas dan tanggungjawab yang dipikul itu. Namun, perjumpaan dengan bekas Ketua UMNO Bahagian masih saya anggap sebagai sesuatu yang penting juga.

Ini adalah kerana disamping program parti yang semakin rancak di seluruh kawasan parlimen Pasir Puteh, bekas Ketua Bahagian pun semakin rancak dengan aktiviti turun padangnya juga keseluruh kawasan parlimen Pasir Puteh. Apa yang membezakannya ialah, program parti dihadiri oleh Ketua dan orang-orangnya manakala program bekas Ketua pula dihadiri oleh beliau dan juga orang-orangnya secara berasingan.

Apa yang membezakan kedua-duanya juga ialah program parti sudah tentulah hendak menarik dan memperkuatkan sokongan orang ramai terhadap parti manakala program bekas Ketua adalah lebih kepada meninjau dan membantu orang-orang miskin, sakit atau yang memerlukan.

Kedua-dua program sebenarnya baik dan wajar walaupun berbeza. Namun, orang ramai tidak melihat program yang dijalankan oleh bekas Ketua sebagai hendak membantu parti secara jelas. Bekas Ketua dilihat lebih menekankan kepada unsur-unsur menghulurkan bantuan dan merapatkan tali silaturrahim sahaja terutamanya apabila beliau berkunjung kerumah orang-orang lama parti yang tua dan uzur. Ini adalah kerana apabila beliau menemui mereka, beliau tidak pernah bercakap atau menyentuh tentang UMNO dan PRU13. Tidak pernah kedengaran atau dilihat topik posting di dalam Facebook contohnya, yang menunjukkan beliau meminta dan menekankan supaya UMNO dan BN terus diberikan sokongan apalagi meminta supaya mereka yang ditemuinya itu berkempen pula keatas ahli keluarga yang lain.

Memberikan bantuan sememangnya satu amalan yang sangat baik bagi orang-orang yang ada kemampuan. Agama kita pun amat menggalakkannya. Walau bagaimana pun, oleh kerana bekas Ketua masih dianggap bukan seperti orang biasa lain, maka apabila aktiviti turun padangnya selama ini tidak disertakan dengan kempen untuk parti UMNO juga, maka ianya dianggap hanya sebagai aktiviti peribadi semata-mata.

Saya tidak tahu mengapa beliau tidak mahu mengambil peluang untuk berkempen semasa berkunjung ke rumah orang-orang yang beliau temui itu kerana saya tidak pernah terasa munasabah untuk saya bertanyakan sendiri soalan itu kepadanya memandangkan beliau ialah seorang bekas Ketua UMNO Bahagian. Mungkin bagi beliau, kempen seperti itu tidak diperlukan olehnya kerana beliau beranggapan semua orang sudah mengenali beliau. Oleh itu, kehadirannya sudah cukup untuk membayangkan mesej atau hasratnya itu secara semulajadi atau pun secara otomatik.

Untuk lebih menjelaskannya lagi itulah, maka saya telah berkali-kali mengesyorkan supaya satu perjumpaan diantara kepimpinan UMNO Bahagian dengannya segera dianjurkan oleh kepimpinan UMNO Pasir Puteh. Pengesyoran saya yang terakhir dalam bentuk ‘reiteration’ telah saya sampaikan kepada Setiausaha UMNO Bahagian sendiri pada 1 Sept 2012 yang lalu apabila saya berjumpa dengannya secara empat mata.

Pertemuan diantara pemimpin dua kelompok besar ahli-ahli UMNO ini akan sekurang-kurangnya menghapuskan prasangka dan rasa bimbang ahli-ahli UMNO Pasir Puteh terhadap perpecahan dalaman parti yang masih belum ditangani dan diperbaiki sedangkan PRU13 sudah semakin hampir. Dengan itu, ianya juga akan sekali gus membuka jalan kearah perpaduan parti secara ‘total’ dan risiko ‘cah keting’ dalam PRU13 nanti pun tidak lagi berterusan menjadi sesuatu yang menghantui dan mengganggu pemikiran ahli-ahli UMNO Pasir Puteh yang inginkan supaya BN memenangi PRU13 ini.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.  

No comments:

Post a Comment