Wednesday 3 October 2012

MyDiary (95)


MyDiary (95)
3 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

UMNO PASIR PUTEH DAN PERKASA PASIR PUTEH

Saya masih ingat malam PERKASA Daerah Pasir Puteh dilancarkan perasmiannya oleh YB Datuk Paduka Ibrahim Ali, Presiden PERKASA beberapa tahun yang lalu.

Majlis itu telah dijalankan di Dewan Besar SMK Kamil, Pasir Puteh dengan kehadiran orang ramai yang sangat memberangsangkan. Pada malam itu, YBhg Tuan Hj Ruslan Kasim, Ketua Penerangan PERKASA telah juga hadir sama sebagai penceramah.

Pada malam itu, boleh dikatakan 90% orang ramai yang hadir adalah orang-orang UMNO dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri pun hadir selain daripada barisan kepimpinan utama UMNO Pasir Puteh yang lain.

Ini bermakna bahawa penubuhan PERKASA Pasir Puteh telah awal-awal mendapat sokongan dan dokongan UMNO Pasir Puteh walaupun pada dasarnya, fungsi NGO seperti PERKASA ini tiada kaitan secara langsung dengan UMNO.

Itulah sahaja saat dimana PERKASA Pasir Puteh dapat dilihat bersama UMNO Pasir Puteh walaupun secara tidak rasmi. Sejak dari malam itu sampai sekarang, tiadalah lagi apa-apa program PERKASA Pasir Puteh yang dilihat melibatkan orang-orang UMNO baik secara langsung atau pun tidak. Sudah tentulah kepimpinan PERKASA Pasir Puteh merasa tidak diperlukan sebarang kerjasama dengan UMNO Pasir Puteh lagi selepas perasmian itu kerana PERKASA adalah sebuah NGO yang bebas dan ‘non-partisan’. Sikap yang diambil ini bukan salah kerana sememangnya PERKASA bukan organisasi politik yang memerlukan setiap perkara yang dibuat hendaklah dibuat bersama atau melibatkan mana-mana parti politik.

Saya tidak mahu mempertikaikan perlembagaan PERKASA. Yang menjadi persoalan secara ironinya ialah mengapa pada malam perasmian itu, mereka yang hadir adalah ahli-ahli UMNO yang mewakili peratusan terbesarnya? Tidakkah jikalau mereka ini tidak dijemput atau tidak mahu hadir, majlis pada malam itu sudah tentu gagal dengan dewan dipenuhi hanya dengan kerusi-kerusi kosong sahaja?

Sebab itulah bagi saya, soal PERKASA sebagai sebuah NGO yang ‘non-partisan’ bukanlah sesuatu yang hendak dipertikaikan tetapi apa gunanya ia, jika kewujudannya tidak dirasakan memberi sebarang manfaat kepada orang-orang melayu. Sejak malam pelancaran itu, tiada dibuat sebarang aktiviti atau program yang boleh dianggap membantu orang-orang melayu Pasir Puteh. Tidakkah lebih baik jika PERKASA Pasir Puteh terus mengambil sikap dan tindakan ‘menyatukan’ sahaja diri mereka dengan UMNO Pasir Puteh? Sekurang-kurangnya ‘kerjasama’ ini membolehkan PERKASA Pasir Puteh mendapat nasihat atau pandangan untuk merancang dan menjalankan apa-apa aktiviti atau program yang berfaedah untuk kepentingan orang-orang melayu kerana UMNO sendiri pun adalah sebuah parti orang-orang melayu juga.

Sebab itulah juga saya telah membuat cadangan supaya pertemuan dibuat segera diantara kepimpinan PERKASA Pasir Puteh dan kepimpinan UMNO Pasir Puteh. Pertemuan ini adalah dengan tujuan mencari dan membina semangat kesepakatan supaya gerakerja PERKASA Pasir Puteh dibantu oleh UMNO Pasir Puteh atau pun gerakerja UMNO Pasir Puteh dibantu oleh PERKASA Pasir Puteh.

Saya yakin kerjasama seperti ini tidak menyalahi perlembagaan PERKASA.
Begitu jugalah perlembagaan UMNO.

Dari,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment