Tuesday 23 October 2012

MyDiary (98)


MyDiary (98)
24 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PROGRAM PARTI DI DUN SEMERAK

Pada masa ini tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentang apa yang dilakukan oleh UMNO DUN Semerak. Orang ramai termasuk orang-orang UMNO masih seperti biasa. Yang sukakan kedai kopi untuk berjumpa dengan kawan-kawan masuk ke kedai atau warung yang biasa dikunjungi seperti biasa. Yang sukakan aktiviti memancing akan ke tepi Sungai Semerak untuk memancing seperti biasa walaupun tidak mendapat ikan kerana ikan boleh dibeli di pasar. Yang sukakan bermain burung akan membawa burung-burungnya ke tempat pertandingan suara burung. Begitu jugalah yang sukakan rumah akan tinggal saja di rumah sepanjang hari tanpa berkawan.

Suasana menunjukkan seolah-olah mereka tidak kisah tentang politik. Yang ada di kedai kopi akan berbual tentang perkara-perkara harian biasa. Kalau pun ada sesiapa yang cuba mengeluarkan tajuk politik, sambutannya agak dingin. Mereka lebih gemar berbual kosong sementara menunggu waktu solat dengan gurauan sebagai hiburan sahaja.

Suasana begini adalah disebabkan semua orang sudah merasakan bahawa soal pilihanraya sebagai satu perkara yang tidak ada apa-apa lagi yang hendak dipercakapkan kecuali menunggu saat diumumkan pembubaran parlimen dan kerajaan negeri sahaja. Mereka kata zaman sekarang bukan lagi seperti dahulu. Dahulu banyak perkara atau isu politik yang baru akan hanya dipercakapkan di kedai-kedai kopi kerana sumber maklumatnya yang terhad. Berbeza dengan sekarang apabila setiap isu boleh diketahui pada bila-bila masa sahaja melalui internet dengan spontan. Mereka tidak perlu keluar ke bandar Pasir Puteh dan mendengar dari orang-orang lain kerana di rumah mereka pun sudah ada internet. Oleh itu mereka keluar dan masuk ke kedai kopi di kampong hanyalah untuk berbual dengan kawan-kawan sekadar untuk memenuhi masa sahaja.

Dalam hal ini, saya dapati inilah masanya yang terbaik untuk UMNO mula memberikan penekanan terhadap program parti. Apa sahaja program perlu dijalankan dengan lancar dan agresif. Program parti bukan bermakna ceramah sahaja. Banyak perkara yang boleh dirancang dan dilaksanakan supaya masa tidak terbuang dan menjadi sia-sia. Malangnya, UMNO Semerak masih seperti ‘tidor lena’ dalam bilik berhawa dingin. Kelibat kepimpinannya pun masih lagi belum dapat dilihat turun padang berjumpa dan bermesra dengan orang ramai. Begitu jugalah Bilik Gerakan BN DUN Semerak yang masih belum dibuka-buka dan diaktifkan lagi.

Dalam keempat-empat DUN parlimen Pasir Puteh, saya dapati DUN Gaal sudah mula aktif dengan berbagai-bagai program politik. Jentera DUN Gaal nampak mendahului DUN-DUN lain dengan gerakan bersepadu mereka. Saya tidak tahu mengapa hanya DUN Gaal yang sudah dilihat sebagai sebuah DUN yang ‘hidup’ berbanding DUN-DUN lain. Apakah semuanya disebabkan oleh semangat dan kerja kuat jentera DUN sendiri atau pun ianya datang dari arahan ‘bertenaga’ dari Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri?

Kalau jawapannya ialah disebabkan oleh semangat kerja berpasukan DUN, maka itu menunjukkan bahawa DUN Gaal mempunyai kepimpinan yang berkebolehan. Jika jawapannya ialah disebabkan oleh arahan ‘bertenaga’ dari Ketua UMNO Bahagian, maka itu menjadi petanda bahawa beliau berkemungkinan ingin ke sana dalam PRU13 nanti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693 (asal 592247)
Semerak.   

No comments:

Post a Comment