Thursday 15 December 2011

MD 40

MyDiary (40)
16/12/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Saya dimaklumkan bahawa ‘Yayasan Semerak’ akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Yayasan ini akan ditubuhkan oleh sekumpulan orang yang terdiri daripada anak-anak jati Semerak yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi ingin membantu orang-orang Semerak dalam pelbagai bidang dan peluang. Mereka adalah tokoh-tokoh korporat, penjawat-penjawat awam, pesara-pesara dan orang-orang perseorangan.

Mereka berkata bahawa usaha perlu dilakukan untuk tujuan itu kerana faedah yang akan diperolehi oleh orang-orang Semerak sangatlah banyak. Tinggal lagi sebuah badan bebas seperti ini haruslah terlebih dahulu diwujudkan supaya program-program yang bersesuaian itu dapat dilaksanakan.

Fokus dan skop utama sudah tentulah perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan orang-orang miskin atau mereka yang memerlukan selain daripada program-program lain yang akan memberikan faedah kepada masyarakat setempat secara keseluruhan di seluruh daerah Semerak.

Kumpulan ini akan berusaha mencari dana yang diperlukan dari masa kesemasa untuk menggerakkan Yayasan dengan cara-cara yang telah dipersetujui. Mereka telah ada ahli-ahlinya yang diberikan amanah untuk mengurus kewangan dan perjalanan yayasan tetapi akan menambahnya lagi dengan ahli-ahli lain yang akan dipilih dari kalangan orang-orang tempatan Semerak.

Saya amat menyokong usaha penubuhan yayasan seperti ini kerana saya pun anak jati Semerak juga. Saya yakin sudah tentulah sebuah yayasan seperti ini boleh memberikan manfaat kepada orang-orang Semerak. Saya tahu jika diuruskan dengan baik dan berkesan serta mendapat sokongan dana dari pihak-pihak yang ingin membantu, banyaklah program-program kebajikan untuk membantu orang-orang Semerak boleh dilaksanakan dari masa kesemasa. Sektor-sektor yang boleh dibantu termasuklah sektor pertanian, perniagaan, industri kecil dan sederhana, pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain.

Oleh itu, selain daripada sokongan oleh pihak-pihak yang akan membantu itu, sokongan balas daripada orang-orang Semerak sendiri pun adalah sesuatu yang sangat diperlukan. 
  
Yayasan ini tidak akan terlibat atau pun bercanggah dengan mana-mana program atau aktiviti kebajikan mana-mana parti politik. Ianya akan berdiri dengan sendirinya tanpa dibiarkan mana-mana pemimpin dari mana-mana parti politik melibatkan diri mereka didalam hal ehwal urusan pentadbiran dan dasar yayasan serta perlaksanaan program-programnya. Ini adalah semata-mata kerana tujuan dan dasar penubuhannya yang mementingkan kebajikan seluruh masyarakat Semerak tanpa mengambilkira latar belakang dan pegangan politik mereka. Dengan kata lain, tiada campurtangan orang-orang politik dalam yayasan.

Saya dengan ini ingin membuka ruang kepada para pembaca blog saya untuk sama-sama menyumbangkan pendapat atau komen berkaitan dengan cadangan penubuhan yayasan ini. Sudah tentulah apa sahaja cadangan atau komen daripada tuan-tuan dan puan-puan amatlah berharga dan dihargai.

Sila hubungi saya melalui emel wanmalekwannoh@yahoo.com.

Terima kasih.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment