Tuesday 6 December 2011

MD 38


MyDiary (38)
07/12/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Kedua-dua parti UMNO dan PAS sudah pasti akan menjadikan PRU13 ini sebagai satu perlawanan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya tanah air. UMNO dengan BNnya sudah pun membuat pengistiharan terbukanya bahawa PRU13 sebagai ‘ibu’ kepada segala pilihanraya dengan alasan-alasan tersendirinya manakala PAS dengan PRnya pula sudah tentu mahu sekurang-kurangnya mempertahankan jumlah kerusi parlimen dan kerusi negeri yang pernah ditawan mereka dalam PRU12 dulu bahkan bercita-cita untuk menawan Putrajaya. Ini memberi makna bahawa kedua-dua parti besar orang melayu ini akan ‘berperang dan berjuang’ habis-habisan diantara satu sama lain. Sesuatu yang dijangka tidak pernah berlaku sebelum ini.

‘Peperangan’ ini bukan sahaja akan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya bahkan ianya juga akan mendapat perhatian dunia terutama negara-negara ‘commonwealth’ dan rakan-rakan yang lain. Ini adalah kerana ‘perlawanan’ yang dijangka sengit ini berlaku diantara dua kumpulan besar orang-orang melayu. Perlawanan politik ini bukan berlaku diantara kumpulan parti melayu dengan kumpulan parti Cina atau India. Kedua-dua kumpulan etnik utama ini hanyalah sebagai rakan kongsi kepada kedua-dua parti besar orang melayu. Oleh itu mereka tidak mendapat perhatian yang ketara sebagaimana terhadap orang-orang melayu itu sendiri nanti.

Dalam amalan pemerintahan sistem demokrasi berpelembagaan negara, tiadalah apa-apa yang salah walaupun kedua-dua parti besar orang-orang melayu ini akan bertembung secara sengit nanti. Sengit tidak bererti perbalahan yang mengakibatkan persengketaan melampau. Sengit juga tidak bererti permusuhan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda. Sengit ini hanyalah dari segi usaha politik masing-masing memenangi kerusi-kerusi pilihanraya yang dipertandingkan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan negara. Suasana panas bukan terhasil dari provokasi tetapi kempen-kempen yang sihat. Inilah amalan rakyat negara ini sejak dari dahulu turun temurun.

Orang melayu tetap orang melayu. Mereka berbeza pendapat sejak sedari dahulu lagi tetapi tidak sekali-kali mahu melakukan apa-apa yang boleh menghakis orang-orang melayu itu sendiri dari muka bumi negara ini. Orang-orang melayu tetap sentiasa mahu memperingatkan diri sendiri tentang perkara ini. Mereka tahu mereka harus menjaga rapi keamanan dan kestabilan yang telah selama ini sama-sama dikecapi walau apa pun yang mendatang dan membadai.

Mereka bersaudara, sebangsa dan seagama.

Buku bertajuk ‘Awas Melayu Akan Lenyap’ oleh Ruslan Kasim mungkin berguna untuk terus dijadikan peringatan kepada orang-orang melayu. Buku ini telah diterbitkan dan sudah berada di pasaran.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment