Wednesday 1 February 2012

MD 41


MyDiary (41)
2 Feb 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Setiap kali kita melihat seorang buruh kasar yang bekerja sebagai pengutip sampah, kita sentiasa terdorong untuk menganggap kerjanya itu sebagai kerja yang paling hina. Dengan itu kita juga terdorong untuk menganggap orang itu pun hina.

Itu semua kerana kita  melihatnya dengan mata kasar, bukan dengan mata hati.

Sebenarnya orang itu sama mulianya dengan kita bahkan mungkin lebih mulia. Saya berkata begitu kerana beliaulah orang yang bekerja dan berusaha mencari makan secara halal. Beliau juga merupakan orang yang bekerja menghapuskan penyakit berjangkit mendahului seorang doktor kerana seorang doktor hanya bekerja menyembuhkan penyakit seseorang yang telah dijangkiti penyakit yang datangnya dari sampah sarap yang tidak dikutip.

Akhir sekali, jika beliau ialah seorang rakyat Malaysia yang sah, beliau juga mempunyai hak yang sama dengan kita sebagai seorang pengundi.

Jika semua ini kita renungi dan menerima akan hakikatnya, maka itulah sebabnya dalam politik seseorang pemimpin politik itu seharusnya tidak mengambil sikap mengutamakan segolongan orang sahaja.

Mereka yang tergolong dalam pekerjaan ‘hina’ itulah yang sewajarnya diberikan perhatian yang adil dan saksama. Mereka tidak meminta-minta seperti orang-orang lain tetapi cukup sekadar diziarah atau dihubungi jika mereka menghadapi sesuatu masalah peribadi atau keluarga.

Saya melihat pemimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh seperti masih tidak mahu memperbetulkan sikap mereka terhadap golongan ini. Mereka masih asyik dengan aktiviti-aktiviti berat parti yang mementingkan semata-mata hasil pilihanraya bukan mementingkan hubungan baik dengan kelas bawahan dan kebajikan mereka. Mereka masih asyik dengan kuasa yang telah diperolehi itu tanpa sedikit pun mahu melakukan usaha serious kearah mencapai tahap keseimbangan dalam hal-hal kebajikan orang ramai.

Soal siapa yang menjadi calon pilihanraya semakin hari semakin diberikan tumpuan. Soal menambat hati pengundi supaya menyokong dan mengundi BN semakin hari semakin ditekankan program-programnya. Malangnya, soal kelewatan mengagihkan BR1M pula dibiarkan padahal di tempat-tempat lain ada yang sudah dua kali menerimanya.

Saya bersetuju jika UMNO Bahagian Pasir Puteh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam konteks menghampiri PRU13 tetapi soal-soal besar lain seharusnya dijadikan keutamaan juga seperti soal BR1M itu.

Janganlah dibiarkan sesuatu seperti ini menjadi sesuatu yang boleh menghalang atau mengurangkan semula sokongan terhadap parti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment