Monday 20 February 2012

MD 42


MyDiary (42)
20 Feb 2012

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PDK atau Pemulihan Dalam Komuniti adalah satu nama yang agak asing bagi kebanyakan orang tetapi nama ini adalah sesuatu yang boleh diibaratkan sebagai ‘institusi pembelajaran sepanjang hidup’ bagi mereka yang bergelar OKU. Mula dan akhirnya pembelajaran mereka hanyalah di situ, kecuali bagi mereka yang melepasi tahap-tahap tertentu.

Pusat ini ada di setiap DUN dalam parlimen Pasir Puteh. Terdapat berpuluh-puluh pelajar OKU yang belajar di situ dibawah penyeliaan beberapa tenaga pengajar. Mereka ini tidak boleh melalui proses pembelajaran seperti di sekolah-sekolah harian biasa kerana ketidakmampuan mereka dari segi mental atau fizikal. Mereka berhimpun di situ bersama rakan-rakan sebaya yang lain, belajar perkara-perkara asas dan diberikan elaun oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mereka tidak minta dilahirkan sedemikian. Mereka adalah orang-orang yang memerlukan perhatian dan penjagaan sehingga akhir hayat. Yang masih mempunyai ibu dan bapa, ibu bapalah tempat mereka menumpang kasih dan penjagaan. Bagi mereka yang tiada ibu dan bapa, abang atau kakaklah pula tempat mereka menumpang hidup. Bayangkanlah jika kesemuanya tiada nanti, kepada siapa pula mereka hendak menumpang sedangkan hidup berdikari seperti orang-orang normal lain bukanlah sesuatu yang mungkin tercapai bagi mereka.

Oleh itu, PDK sewajarnyalah diberikan perhatian oleh UMNO. Tidak cukup dengan sekadar membiarkan mereka di pusat-pusat itu walaupun segala-galanya sudah tersedia. Oleh kerana urusan pentadbirannya adalah dibawah seliaan dan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat atau JKM dimana jabatan ini pula adalah dibawah Kementerian pusat, saya tidak melihat ada kewajarannya jika terus dibiarkan jawatan Pengerusinya disandang oleh seorang wakil rakyat parti PAS seperti PDK Semerak.

Sebagai contoh, pada 19 Feb 2012, satu program “Semai Bakti’ telah diadakan di Pasir Puteh tetapi Pengerusi PDK Semerak telah tidak hadir dan mewakilkannya kepada salah seorang AJK yang mempunyai keahlian dalam UMNO. Begitu jugalah, jika terdapat apa-apa urusan yang berkaitan dengan UMNO Bahagian Pasir Puteh, maka urusan itu menjadi tergendala bahkan kadang-kadang tersekat hanya disebabkan Pengerusinya ialah wakil rakyat PAS.

Walaupun PDK tidak dianggap memberikan kesan yang ketara dalam politik, tetapi kesannya ada juga secara tidak langsung dan secara tidak disedari. Kesan tidak langsung politiknya ialah mengapa jawatan Pengerusi yang sepatutnya disandang oleh salah seorang pemimpin UMNO, tiba-tiba didapati dipegang oleh seorang wakil rakyat PAS. Dari segi moral politiknya, ini boleh menunjukkan bahawa wakil rakyat PAS yang berkenaan itu sangatlah kuat pengaruh politiknya sehingga tiada langsung orang-orang UMNO yang mampu dan sanggup menyaingi beliau dalam pemilihan semasa mesyuarat agong tahunan. Pada masa ini, orang pun boleh berkata, macam mana UMNO hendak menang di DUN Semerak sedangkan PDK sekecil itu pun dipengerusikan oleh pemimpin PAS?

Jika alasan di atas itu tidak tepat, kemungkinan kedua ialah pemimpin UMNO tidak berminat untuk mengambil berat tentang hal ehwal PDK, termasuklah Ketua Wanita UMNO Bahagian sendiri yang tinggal di DUN Semerak. Ini kerana beliau hanya dilihat berminat untuk muncul di dalam program atau majlis seperti ‘Semai Bakti’ apabila majlis seperti itu dihadiri oleh orang-orang penting tertentu seperti isteri Pengerusi Perhubungan dan Ketua Bahagian, tetapi tidak pernah pun dilihat menjengok-jengok pusat itu untuk bertanya khabar murud-murid dan guru-gurunya.

Kemungkinan lain pula ialah, kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak menganggap PDK yang dipengerusikan oleh wakil rakyat PAS sebagai sesuatu yang penting dalam urusan politik UMNO.

Jika tidak, saya ingin menasihatkan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh supaya janganlah lagi melupakan pusat ini dan mulakanlah langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengambilalih kepimpinannya.

Murid-murid PDK itu tidak tahu apa-apa tentang politik dan saya pun bukan berniat untuk cuba mempolitikkannya, tetapi ibubapa mereka tahu dan mereka sebetulnya mahukan supaya jawatan Pengerusi PDK Semerak ini disandang oleh pemimpin UMNO, bukan pemimpin PAS.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment