Friday 5 December 2014

Parti IKATAN Sebagai Pilihan Baru Anda


Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 baru-baru ini, isu rasuah tidak sedikit pun diberikan keutamaan dan perhatian. Laungan dan jeritan serta sorakan hanya untuk isu-isu lain termasuk akta hasutan dan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan orang-orang melayu sahaja. Seolah-olah isu rasuah tiada kaitan dengan orang-orang melayu atau kalau ada pun ianya dianggap  sesuatu yang ‘minor’ sahaja.

Kalau pun ada yang bercakap tentangnya, ianya tidak kedengaran ditentang dengan lantang dan tegas. Ianya sekadar luahan perasaan dan keluhan sahaja.

Saya tidak tahulah mengapa isu ini tidak disentuh dan dijadikan sebagai salah satu daripada agenda atau usul utama oleh UMNO. Sepatutnya di sinilah isu ini hebat diperkatakan oleh perwakilan dan pemimpin parti yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara. Dengan ribuan perwakilan yang hadir untuk mendengar, isu ini seolah-olah dilupakan sahaja padahal isu inilah yang sedang mengancam negara sebagai musuh nombor satunya.

Mungkinkah perwakilan sudah jemu memperkatakannya? Atau semenangnya lubuk rasuah berada dalam parti ini sejak sekian lama sepertimana yang terpapar dalam akhbar dua hari yang lepas? Dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk membendungnya?

Rakyat biasa seperti saya sememangnya tiada apa yang boleh dibuat kecuali melihat dan mendengar sahaja. Ada orang kata ianya boleh dibendung melalui undang-undang dan SPRM. Ada juga yang berkata SPRM pun tidak boleh membendung gejala ini sepenuhnya kecuali pemerintah tertinggi negara sendirilah yang terlebih dahulu memberikan kerjasama.

Jika semua diatas itu tidak juga boleh dilakukan dan jika dilakukan pun hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, maka cara membendung atau mengurangkan gejala ini adalah denga pilihan terakhir yang ada di tangan rakyat.

Pilihan terakhir itu ialah dengan menggantikan parti yang memerintah negara dalam pilihanraya umum. Walaupun cara ini tidak boleh menjanjikan dan menjamin bahawa kerajaan baru akan membawa perubahan, namun ianya sekurang-kurangnya menjadi pilihan dan harapan baru kepada rakyat. Jika masih dibiarkan kerajaan sekarang berkuasa, sudah tentulah gejala ini tidak berubah bahkan bertambah teruk dari masa kesemasa.  Dalilnya mudah sahaja. Isu ini tidak dipandang berat oleh parti pemerintah walaupun dalam perhimpunan agung setahun sekalinya itu baru-baru ini.

Kepada rakyat yang mengundi, selain adanya parti-parti yang telah pernah bertanding itu, sekarang sudah ada parti baru yang boleh dijadikan pilihan. Parti baru yang membawa asas dan wadah perjuangan biasa untuk rakyat. Tiada sebarang kelainan daripada parti-parti lain termasuk UMNO dari segi kewujudannya disisi undang-undang dan perlembagaan negara. Parti ini ialah sebuah parti yang sederhana yang diasaskan untuk rakyat yang tidak mahu menyokong mana-mana parti lain yang ada itu diatas sebab-sebab tersendiri masing-masing. Maka dengan itu rakyat bolehlah memilih untuk menyertai dan menyokongnya.

Parti ini bukan sebuah parti yang teristimewa dengan barisan kepimpinan yang hebat-hebat tetapi ianya dipimpin oleh seorang tokoh yang sederhana tetapi berpengalaman. Ahli parti ini dan rakyatlah yang akan menentukan nanti samada parti ini akan menjelma sebagai sebuah parti yang teristimewa, bukan pemimpinnya. Parti ini adalah untuk rakyat bukan untuk pemimpin.

Parti baru yang saya maksudkan ini ialah ‘Parti Ikatan Bangsa Malaysia’ atau singkatnya ‘IKATAN’. Parti ini boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa atau kaum asalkan warganegara Malaysia dan cukup umur.  Semua kaum boleh berada di bawah satu bumbung bersama. Kalau BN ada UMNO, ada MCA, ada MIC dan lain-lain duduk bersama, maka parti IKATAN mengambil jalan yang lebih memudahkan ‘persaudaraan’ dan ‘perpaduan kaum’ dibina dengan membuka pintunya kepada semua kaum untuk menyertainya. Tinggal di bawah satu bumbung dengan tidak payah membina rumah-rumah yang lain secara berasingan.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut atau untuk menyertai parti baru ini, sila emelkan maklumat peribadi anda kepada saya iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan, pekerjaan, alamat surat menyurat atau rumah dan nombor telefon bimbit anda kepada saya di :-

wanmalek53@yahoo.com

No comments:

Post a Comment