Friday 12 December 2014

Khutbah dan Solat Jumaat Stail Zaman Dahulu Kala


Pada 12hb Disember 2014 bersamaan 19hb Safar 1436H iaitu hari Jumaat semalam, sesiapa yang bersolat Jumaat di Masjid Al-Taqwa Semerak tentu merasa begitu kecewa apabila suara khatib yang membaca khutbah dan juga bacaan dalam solat oleh imam tidak langsung kedengaran kerana kegagalan secara total sistem pembesar suara masjid ini.

Makmum yang berada di depan bolehlah mendengar suara khutbah terus dari mulut khatib dan bacaan solat terus dari mulut imam (orang yang sama) tetapi mereka yang berada di saf-saf belakang tidak mendengar langsung. Saya boleh mengandaikan bahawa lebih dari 50% makmum tidak mendengar apa-apa. Ketika hendak memulakan solat pun, masing-masing memandang diantara satu sama lain sahaja kerana tidak tahu samada imam sudah mengangkat takbirratulihramnya atau pun belum. Keadaan tidak dapat mendengar apa-apa dari imam ini berterusan sampailah kepada rukun ke-12 iaitu memberi salam. Makmum sekadar mengikut sahaja makmum lain di hadapan atau di sebelahnya.

Saya tidak tahulah mengapa masjid ini menjadi semakin dibiarkan padahal masjid ini ialah masjid utama dalam Mukim atau DUN Semerak. Sudahlah imam tuanya tidak dilantik-lantik lagi sejak kematian imam asalnya setahun lebih yang lalu, sistem pembesar suaranya pun tidak dijagai dengan rapi. Saya rasa pihak MAIK seharusnya mengambil berat tentang soal-soal seperti ini. Jangan lagi dibiarkan gejala memegang jawatan-jawatan dalam sesebuah jawatankuasa masjid menjadi rebutan dan kebanggaan sahaja sedangkan masalah-masalah seperti ini pun tidak mampu diselesaikan. Lantiklah orang-orang yang layak untuk memegang semua jawatan bermula dari pengerusi sehinggalah kepada siak lalu pastikan tugas-tugas dijalankan dengan sempurna sepadan dengan elaun yang dibayar termasuk memeriksa dan menyelenggara sistem pembesar suara.

Membiarkan khutbah dibaca tanpa dapat didengari oleh makmum adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai kecuaian dan kegagalan besar dipihak jawatankuasa masjid kerana khutbah yang disampaikan adalah untuk didengari. Kalaupun peralatannya dicuri orang, ianya tetap bukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai alasan. Kewajipan untuk menentukan khutbah didengari oleh semua makmum adalah tanggungjawab ahli jawatankuasa masjid walau dalam apa keadaan sekalipun, kecuali terputus bekalan elektrik. P.A. System masih boleh dipinjam dari mana-mana sekolah yang berhampiran contohnya, kerana ada ahli jawatankuasa masjid ini bekerja sebagai guru bahkan rumah seorang gurubesar sebuah sekolah berdekatan masjid ini pun terletak di depan masjid. Malangnya, mereka memandang remeh perkara seperti ini dan mengambil jalan mudah dengan mewujudkan sahaja suasana zaman dahulu kala.

Saya harap artikel dalam blog saya ini mendapat perhatian pihak-pihak yang berkenaan dan tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera supaya dengan itu masalah yang sama tidak berulang lagi pada minggu hadapan dan minggu-minggu seterusnya. Sepatutnya kelengkapan dan peralatannya harus dijaga melebihi apa yang ada di dalam sebuah istana kerana masjid bukan sekadar masjid tetapi ianya adalah rumah Allah.

No comments:

Post a Comment