Monday 20 May 2013

MyDiary PRU13 - 4

UMNO SUDAH HENDAK MATI?

Selepas perlantikan barisan kabinet baru oleh PM Najib baru-baru ini, semua rakyat Malaysia terutamanya orang-orang melayu mengintai-intai mana diantara mereka yang boleh diharapkan untuk mengembalikan semula sokongan orang-orang melayu terhadap UMNO.

Orang bukan sahaja ingin melihat mereka yang dilantik itu berupaya atau pun tidak untuk membawa kemajuan kepada negara, tetapi orang mahu melihat juga siapakah diantara mereka yang mampu menjadi 'pembela' kepada nasib orang-orang melayu. Ini adalah kerana PM ialah orang UMNO, TPM orang UMNO, dan sebahagian besar menteri-menteri pun orang-orang UMNO juga. Oleh itu, walaupun barisan kabinet itu ialah barisan pentadbir negara, mahu tidak mahu UMNO masih juga tidak boleh dipisahkan darinya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang mereka ini kerana saya lebih suka kepada perkara-perkara asas atau 'basic' sahaja sebagai blogger amatur. Oleh itu, bagi saya siapa mereka tidak penting, yang penting ialah apa yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO di peringkat 'foundation' seperti Bahagian dan Cawangan.

Bagi saya, mereka di sinilah yang sebenarnya perlu memperbetulkan sikap dan kerja mereka.

Terdapat beberapa pandangan yang bermacam-macam dalam soal ini. Ada yang berkata, semuanya salah parti-parti lain yang siang malam kerjanya menghasut orang-orang melayu. Ada juga yang menyalahkan parti sendiri. Saya berpihak kepada yang kedua.

Saya berkata begini kerana, masalah sokongan terhadap UMNO yang semakin hari semakin merosot dikalangan orang-orang melayu ialah disebabkan tingkahlaku tamak haloba pemimpin-pemimpinnya sendiri. Ini sangat dapat dirasakan oleh mereka yang telah lama menjadi ahli UMNO seperti saya. Kalau dahulu, pemimpin-pemimpin UMNO termasuk orang-orang rapatnya sanggup berkorban harta dan benda demi UMNO walaupun susah dan miskin, sekarang pemimpin-pemimpinnyalah yang mendahului dalam rebutan untuk mendapatkan peluang-peluang mengaut keuntungan kebendaan dengan menggunakan kedudukan dan jawatan. Kata-kata seperti ini sudah agak sinonim dengan UMNO, 'siapa yang nak jadi kaya, aktifkan sedikit diri anda dalam UMNO dan rapatkan diri anda dengan kepimpinan parti, pasti tuah akan datang bergolek'.

Sebab itulah, jika kita perhatikan betul-betul, ramailah tenaga-tenaga yang bekerja untuk parti UMNO sekarang, dahulunya miskin tetapi sudah menjadi kaya dan sombong setelah mereka berbuat seperti itu.

Oleh itu, jika UMNO hendak dipulihkan semula sokongannya oleh orang-orang melayu, tiadalah lagi jalan atau cara lain, melainkan membuang penyakit ini. Jika dibiarkan terus menular, saya pasti semakin hari semakin merudum sokongan oleh orang-orang melayu ini.

UMNO tidak boleh dijadikan sebagai 'platform' untuk tujuan mencari peluang. UMNO seharusnya dijadikan sebagai sebuah parti politik yang tidak memberikan sebarang keuntungan peribadi kepada mana-mana pemimpin kecuali nikmat dari hasil perjuangannya sepertimana matlamat asal penubuhannya.

Jika ianya masih dibiarkan, barah atau 'canser' yang menyerang itu mungkin tidak lagi boleh dibendung dan diubati, maka kaedah memotong mana-mana bahagian tubuhnya pun sudah tidak memadai.

Pada masa itu, kita akan bersetuju dengan pendapat orang-orang melayu yang berkata pada hari ini, bahawa 'UMNO Sudah Hendak Mati' dan yang mematikannya ialah pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.







No comments:

Post a Comment