Tuesday 7 May 2013

MyDiary PRU13-1

Kemenangan dan Kekalahan

PRU13 sudah pun selesai. Di tempat saya calon BN menang. Oleh itu, DUN N31 Semerak pun mendapat wakil rakyat baru. Tahniah saya ucapkan.

Sepanjang tempuh berkempen, saya tidak pernah keluar malam dan tidak pernah dihubungi atau diziarahi oleh sesiapa pun termasuk juga calon-calon yang bertanding. Namun, itu tidak bermakna saya tidak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku. Saya masih boleh menerima laporan dari kawan-kawan melalui telefon atau emel.

Setiap calon yang bertanding itu sebenarnya tahu samada beliau akan menang atau kalah. Calon yang tahu bahawa beliau boleh menang adalah calon yang sudah lama atau awal-awal lagi melakukan kerja-kerja persiapan manakala calon yang tahu beliau boleh kalah adalah calon yang melakukan kerja-kerja persiapan disaat-saat akhir.

Sudah tentulah kedua-dua calon ini berhadapan dengan kadar risiko yang berbeza. Calon yang mampu menang akan lebih leka disaat-saat akhir kerana beliau yakin bahawa kerja-kerja persiapannya selama ini sudah memadai untuk memenangkannya. Calon yang tahu kemungkinannya adalah tipis untuk menang sebaliknya akan bertungkus lumus melakukan segala usaha disaat-saat akhir dengan apa jua cara yang termampu.

Didalam peperiksaan, Mr Bean berusaha sedaya upaya untuk meniru dari seorang penuntut lain yang berada di sebelahnya. Berbagai-bagailah cara dan helah dilakukannya untuk meniru setelah beliau tersilap menarik keluar kertas soalan yang lain dari sampul surat. Maka dalam pilihanraya pun, kaedah ini juga dilakukan. Yang berbeza hanyalah huruf  'r' yang digantikan dengan huruf  'p'.

Saya banyak mendengar cerita-cerita disebalik tabir pilihanraya baru-baru ini. Ada cerita seorang calon yang sudah tahu beliau akan kalah tetapi memungkinkan semula kemenangan dengan cara-cara luar biasa. Ada cerita jutaan ringgit ditabur kepada pengundi. Ada cerita puluhan ribu dibelanjakan setiap malam untuk membeli 'air minuman khas' untuk segolongan komuniti di sebuah perkampungan terasing. Ada cerita-cerita lain yang sebelum ini tidak pernah kita dengari termasuk arahan dan paksaan mengangkat sumpah. Semua itu saya sendiri tidak boleh mengatakan benar atau pun tidak, namun cerita-cerita ini telah menjadi bahan perbualan hangat dikalangan masyarakat setempat pada masa kini.

Saya harap semua yang diperbualkan itu tidak benar kerana jika ianya benar, maka sudah tentulah elaun yang akan diterima oleh wakil rakyat yang menang dengan cara itu menjadi haram dan tidak diberkati.

Sekian dan Salam Silaturrahim dari saya,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.



No comments:

Post a Comment