Saturday 22 December 2012

Terbitan Khas


LAWATAN KERJA MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH KE TOK BALI

Pada 21hb Disember, 2012, YB Dato’ Seri Shaffei Afdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah berkunjung ke Tok Bali dalam program Lawatan Kerja ke tapak projek Penempatan Semula Nelayan Tok Bali.

Projek yang dimaksudkan itu terletak berdekatan dengan Pelabuhan LKIM yang telah beroperasi dan kawasan penempatan semula ini mempunyai 300 buah rumah di atas tanah seluas hampir 100 ekar. Rumah-rumah ini telah pun siap dibina dengan segala kemudahan infra-strukturnya seperti jalanraya, sistem perparitan, sistem bekalan elektrik dan air termasuk menara tangki air berkapasiti 40,000 gelen, sebuah masjid, sebuah bangunan Tadika KEMAS, bangunan kedai dan lain-lain. Projek ini menelan belanja sebanyak lebih RM30 juta.

Lawatan kerja oleh YB Menteri ini sangat bersesuaian dengan masalah yang sedang dihadapi di tapak projek ini. Walaupun projek ini telah lama siap tetapi rumah-rumah ini belum lagi dapat diserahkan kepada peserta-peserta yang akan menghuninya. Ini adalah kerana bekalan air tidak mencukupi. Usaha telah dibuat untuk diatasi masalah ini apabila kos tambahan dikeluarkan oleh kerajaan pusat kepada kontraktor untuk membina tangki tambahan di bawah tanah. Pembinaan tambahan yang disalurkan berbentuk V.O. ini telah melibatkan kos tambahan sebanyak RM0.5 juta namun usaha sokongan ini tidak juga dapat menyelesaikan masalah bekalan air itu kerana jumlah air dari punca bekalannya tetap juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian pengguna-pengguna itu nanti.

Diantara apa yang telah disampaikan oleh YB Menteri di dalam ucapannya: -
Kerajaan Barisan Nasional telah terbukti mampu mengadakan program-program untuk kesejahteraan rakyat melalui kementeriannya selama ini. Sebab itulah rakyat perlu mengekalkan lagi mandat kepada kerajaan yang ada dalam PRU13 ini jika mahu apa yang dirancang dapat diteruskan lagi. 

Beliau berkata, banyaklah contoh negara-negara luar yang dahulunya sangat kuat ekonomi mereka tetapi sekarang sudah menjadi lemah. Ada negara yang telah kita jadikan ‘pujaan’ seperti Jepun contohnya, lalu ‘memandang ke timur’ telah kita jadikan sebagai dasar negara. Namun, negara itu sendiri sudah mengakui bahawa ekonomi mereka sudah tidak kuat lagi seperti dahulu walaupun dibandingkan dengan negara yang dahulunya mundur seperti China. Beliau berkata, apabila ditanya mengapa keadaan ini terjadi, orang-orang Jepun itu sendiri mengakui bahawa punca paling utamanya ialah ketiadaan kestabilan politik negaranya sejak akhir-akhir ini. Mereka berkata, bayangkanlah bagaimana negara mereka hendak maju jikalau pemimpinnya pun sudah 6 kali bertukar orang dalam masa 7 tahun. Kata YB Dato’ Seri Shaffei Afdal lagi, selain daripada negara Jepun, negara-negara maju lain yang mengalami masalah yang sama termasuklah juga Amerika Syarikat dan Great Britain. Kestabilan politik di negara-negara ini juga tidak mencukupi untuk menjamin ianya tidak memberi kesan kepada ekonomi negara sehingga mengakibatkan masalah pengangguran yang tinggi.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi rakyat Malaysia membuka mata dan melihat apa yang sedang terjadi kepada negara-negara lain itu apabila kestabilan politiknya tidak kuat dan kukuh yang disebabkan oleh terlalu kerap menukar kuasa pemerintahan sesebuah parti yang memerintah negara. Apabila kuasa politik tidak stabil dan kuat, ekonomi negara pun menjadi tidak kuat. Apabila ekonomi tidak kuat, keperluan dan kesejahteraan rakyat pun tidak dapat dipenuhi. Maka rakyat jugalah yang akan menerima akibatnya.

Dalam selingannya, YB Menteri ada menyebut bahawa kalau hendak dibandingkan Menteri Kewangan dahulu dengan yang sekarang, maka yang sekarang sudah terbukti lebih berkemampuan. Menteri Kewangan yang dahulu hanya mampu membelanjakan sebanyak RM3 bilion sahaja dalam masa 6 tahun memegang jawatannya untuk tujuan pembangunan masyarakat desa dan luar bandar sedangkan Menteri Kewangan sekarang sudah mampu mengadakan peruntukan sebanyak RM24 bilion hanya dalam masa 4 tahun sahaja.

Diakhir ucapannya, beliau meluluskan peruntukan tambahan dari Kementeriannya untuk projek tambahan 100 buah lagi rumah di tapak projek ini.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak,
Pasir Puteh,
Kelantan.

No comments:

Post a Comment