Friday 21 December 2012

MyDiary (102)


MyDiary (102)
20 Disember 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB SEBENAR AHLI DAN PENYOKONG UMNO

Semua orang sedang menanti-nanti tarikh diumumkan PRU13. Jangkaan terkini ialah selepas sahaja Hari Raya Cina. Jika ini betul, bermakna semua parti, secara adilnya, masih ada masa yang banyak untuk melakukan kerja-kerja persiapan akhir seperti menyemak segala butiran dalam rekod dan melakukan kerja-kerja ulangkaji termasuk gerakerja ‘bilasan’ masing-masing. 

Didalam artikel saya pada kali ini, seperti biasa saya ingin menulis sesuatu yang menyentuh ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO sahaja. Ini lebih bersesuaian dengan saya sebagai seorang ahli UMNO. Saya tidak banyak menulis tentang orang-orang dari parti lain kerana saya bukan pemegang sebarang jawatan penting parti kecuali ahli biasa parti UMNO sahaja. Oleh itu,tulisan saya pada kali ini adalah berbentuk seruan kepada seluruh ahli-ahli dan penyokong-penyokong biasa UMNO seperti saya sahaja.

Jika pada pilihanraya-pilihanraya yang lalu, gejala ahli UMNO memangkah calon dari parti lain dianggap salah satu daripada punca utama kekalahan BN, maka pada kali ini gejala dan malapetaka ini masih lagi dianggap sebagai sesuatu yang akan berulang lagi dalam PRU13 jika sesuatu tidak dilakukan segera. Sebab itulah pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat terutamanya YAB Dato’ Sri Presiden sendiri telah mengambil inisiatif dan langkah awal melakukan satu perubahan besar didalam usaha untuk menentukan gejala ini dibendung atau pun seboleh-bolehnya dihapuskan. Maka itulah diperkenalkan istilah ‘winnable candidate’ atau ‘calon mampu menang’.

Pada masa-masa yang lepas, secara kebiasaan dan tradisinya hampir keseluruhan calon-calon yang bertanding itu terdiri daripada mereka yang memegang jawatan parti. Pada kali ini apabila istilah dan konsep ‘winnable candidate’ ini diperkenalkan dan digunapakai, maka ini bermakna bahawa bukan semua calon yang akan bertanding itu nanti akan dipilih oleh pucuk kepimpinan parti terdiri daripada mereka yang memegang jawatan-jawatan utama parti lagi. Ada orang yang tidak memegang sebarang jawatan penting parti pun akan tetap dipilih juga semata-mata kerana orang itu sudah dikenalpasti boleh dan mampu membawa kemenangan kepada parti.

Pada tanggapan saya secara peribadi, pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat sebenarnya bukan dengan sengaja dan sewenang-wenangnya mahu memperkenalkan sesuatu yang baru dan diluar tradisi seperti itu tanpa alasan yang munasabah. Apalagi untuk mengajendakannya dan menjadikannya sebagai amanat dan peringatan terpenting Presiden parti didalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Mereka terpaksa mencari formula baru dan menyuntik sesuatu yang berkesan semata-mata untuk membendung gejala itu. Kalaulah gejala ini tidak mengancam calon-calon yang bertanding, sudah tentulah istilah itu tidak diperlukan.

Walau bagaimana pun, perubahan terhadap polisi ‘pra-kelayakan’  yang diperkenalkan oleh pucuk kepimpinan parti ini sebenarnya bukan mudah untuk diterima oleh sesetengah pemimpin parti di peringkat Bahagian. Laungan ikrar sokongan yang diucapkan secara terbuka oleh mereka hanyalah di bibir sahaja hanya semata-mata untuk menunjukkan sikap akur mereka terhadap pucuk kepimpinan parti secara luaran sahaja. Ianya tidak sekali-kali boleh dianggap sebagai jaminan bahawa jika mereka tidak terpilih sebagai calon nanti, mereka ini tidak akan terlibat didalam usaha untuk menentukan calon parti sendiri kalah. Bagi mereka menjadi calon pilihanraya adalah kemuncak matlamat kerjaya politik mereka setelah diasaskan dengan jawatan yang disandangnya itu.

Itu semua adalah suatu kemungkinan tentang apa yang akan dilakukan oleh pemegang-pemegang jawatan penting parti yang tidak terpilih menjadi calon. Jika inilah yang akan berlaku, sudah tentulah mereka akan cuba mempengaruhi orang-orang lain untuk bertindak serupa.

Maka di sinilah saya ingin membuat seruan saya supaya mereka ini jangan sekali-kali diikuti.
Apabila anda memasuki kotak mengundi nanti, letakkanlah kepentingan parti melebihi kepentingan orang perseorangan. Jika anda ialah seorang ahli UMNO, maka BNlah yang perlu dipilih dan dipangkah tanpa soal. Biarkanlah orang-orang lain yang hendak menipu diri mereka sendiri itu melakukan sebaliknya. Begitu jugalah kepada penyokong-penyokong UMNO. Walaupun mereka bukan ahli parti tetapi hendak menyokong UMNO, inilah juga masanya untuk anda buktikan kemuncak sokongan anda.

‘Bersatu’   ‘Bersetia’   ‘Berkhidmat’
Salam 1Malaysia

Dari,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak,
Pasir Puteh,
Kelantan.

No comments:

Post a Comment