Tuesday 4 March 2014

PATI dan Jenayah Berat Di Malaysia

Apabila kita mendapat berita anggota polis sendiri dibelasah teruk oleh pendatang-pendatang asing tanpa izin atau PATI sehingga seorang daripadanya meninggal, ianya dianggap sudah keterlaluan. Dalam Facebook, komen tantang isu ini menjadi panjang dengan ratusan orang memberikan pendapat dan cadangan selain kata-kata kutukan keras terhadap pendatang asing ini.

Seluruh rakyat Malaysia tidak dapat menerimanya. Bermacam-macamlah pandangan dan cadangan masuk bertubi-tubi di dalam Facebook. Ada yang meluahkan perasaan marah terhadap penjenayah asing ini, ada juga yang menyalahkan pihak keselamatan yang dilihat terlalu berlembut dengan mereka. Ada juga yang berkata ianya mungkin berpunca dari kesilapan yang dilakukan oleh mangsa itu sendiri kerana terlalu kerap meminta-minta dari pendatang asing ini.

Tiada siapa yang boleh menentukan pihak mana sebenarnya yang telah menimbulkan punca serangan itu. Yang berhak menentukannya nanti ialah mahkamah setelah prosiding siasatan mengikut saluran undang-undang oleh pihak polis sendiri selesai.

Apa pun puncanya, kejadian itu tetap tidak boleh sama sekali dibiarkan berlaku lagi. Selain daripada keselamatan anggota-anggota polis dan masyarakat sekitar, maruah dan integriti PDRM itu sendiri pun sudah tercalar. Bayangkanlah dimana lagi masyarakat hendak mencari perlindungan jika pihak polis sendiri pun boleh dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh pendatang asing? Dunia pun akan menganggap Malaysia sudah tidak selamat untuk tujuan pelaburan dan pelancongan kerana jenayah seperti itu pun boleh dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin. Ini menunjukkan betapa longgarnya sistem penguatkuasaan undang-undang negara terhadap pendatang asing tanpa izin.

Mungkin kejadian seperti ini dianggap sebagai kejadian terpencil sahaja yang tidak boleh dijustifikasikan sebagai mewakili sifat jahat yang ada pada semua pendatang asing. Bukan semua pendatang asing seperti itu. Hanya segelintir sahaja dari mereka. Namun, sesuatu wabak penyakit harus dikawal dari seawal-awal masa. Janganlah dibiarkan ianya merebak sehingga tidak lagi boleh dikawal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Saya tidak ada statistik tentang jumlah sebenar pendatang asing ini di negara kita buat pada masa ini. Sudah tentu ianya sudah berkurangan kerana tindakan tegas oleh pihak kerajaan telah diambil baru-baru ini. Namun, ramai orang melihatnya sebagai tindakan bermotifkan politik sahaja kerana arahan yang dikeluarkan oleh Menteri KDN itu dibuat hanya bermusim. Musim yang lalu itu ialah musim pemilihan parti apabila menteri yang berkenaan itu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Selepas sahaja beliau menang, tiadalah lagi gerakan susulan menangkap pendatang asing ini kecuali secara rutin sahaja. Dengan itu, baki pendatang asing yang masih belum ditangkap masih lagi ramai berkeliaran dalam negara di merata-rata pelusuk negeri.

Orang ramai tidaklah menyarankan supaya gerakan menangkap mereka dilakukan sekali gus secara besar-besaran sehingga mereka terhapus 100% dari negara ini. Selain daripada masalah ketidakcukupan anggota, pendatang-pendatang asing ini juga bukan mudah untuk dikesan. Oleh itu, masa diperlukan tetapi masa itu janganlah terlalu lama sehingga berlaku lagi jenayah pembunuhan keatas anggota polis sendiri berlaku lagi. Dalam waktu yang sama, pengambilan anggota-anggota polis yang baru harus dipergiatkan. Di tempat saya contohnya, dengan bilangan anggota kurang separuh dari jumlah yang sepatutnya ada bukanlah sesuatu yang harus dibiarkan.

Menteri KDN harus bertindak dengan lebih tegas lagi mulai sekarang. Bukan sebagai orang politik tetapi sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakayat termasuk juga anggota polis.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment