Wednesday 30 January 2013

MyDiary (104)

ANGKA DALAM PRU13
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

Dalam pemerintahan negara yg mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, jumlah undi yg diperolehi menjadi sesuatu yang paling utama dan paling penting bagi sesebuah parti politik. Oleh kerana PRU13 sudah semakin hampir, sudah tentu anggaran setepat-tepatnya sudah pun ada ditangan masing-masing pihak pada masa ini di setiap kawasan mengundi. Maklumat ini sangat penting dan sulit dan pucuk kepimpinan setiap parti yang akan meletakkan calonnya masing-masing sudah pun boleh membuat perkiraan dan tahu sejauh mana jumlah undi yang akan diperolehi oleh calon itu dalam pilihanraya nanti. Jumlah atau angka-angka ini jika boleh dibandingkan dengan pihak parti lain, saya rasa perbezaannya tidak jauh kerana usaha untuk mengenalpasti sikap pengundi telah dibuat lama sebelum ini oleh parti masing-masing.

Angka inilah yang sangat penting walaupun perbezaannya hanyalah 1 undi sahaja. Calon yang menang nanti walaupun hanya dengan 1 undi sahaja pun tetap akan dinobatkan sebagai wakil rakyat. Oleh itu, angkalah yang akan menjadi faktor terpenting dalam pilihanraya.


Banyaklah faktor yang akan memberi kesan ke atas angka ini. Diantaranya ialah isu-isu politik, perancangan sesebuah parti untuk rakyat merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keamanan, kesejahteraan dan lain-lain. Semua ini menjadi sesuatu yang akan dijadikan ukuran oleh setiap pengundi dalam menentukan parti mana yang hendak disokongnya. Semua ini sudah berlalu dan setiap pengundi sudah membuat keputusan masing-masing. Mereka hanya menunggu saat dibubarkan sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


Sebab itulah, jika ada pihak-pihak yang masih ingin berkempen lagi, ianya bukan tidak boleh dilakukan tetapi pendekatannya haruslah dipertingkatkan dan diubahsuai. Bagi saya, jika mahu berkempen dengan cara menjatuhkan maruah seseorang pemimpin contohnya, ianya tidak lagi boleh memberi kesan yang positif. Jangkaan dan sangkaan bahawa kempen berbentuk ini boleh menarik penyokong parti lain kepada kita tidak lagi boleh dianggap berkesan lagi, bahkan sia-sia sahaja. Ini adalah kerana jika pun seseorang pemimpin itu sememangnya diketahui umum mempunyai peribadi yang buruk, tindakan untuk menyeimbangkan semula jumlah undi yang dijangka hilang itu sudah pun dilakukan oleh pemimpin itu terlebih dahulu. Jika jumlah undi yang hilang itu contohnya 600, pemimpin itu telah awal-awal berusaha untuk mempastikan jumlah 600 itu diperolehinya semula dengan cara yang lain. Cara yang saya maksudkan ini ialah dengan menambat hati pengundi-pengundi luar.


Saya bersetuju jika dikatakan bahawa usaha ini sukar. Namun ianya tidak menjadi sukar bagi seseorang yang telah bertungkus lumus selama beberapa tahun untuk mendapatkan jumlah undi yang diperlukannya itu. Di mana sahaja ada pengundi luar, pemimpin itu merantau kesegenap pelusuk dan penjuru tanah air untuk berjumpa dengan mereka secara peribadi. Dalam masa 4 tahun, sudah tentulah jumlah 600 orang ini tidak menjadi sukar untuk dicari gantinya.


Apabila tiba hari mengundi, mereka yang 600 ini akan pulang memberikan undi mereka kepada pemimpin ini kerana mereka berpuas hati dengan layanan dan kemesraan yang telah diberikan oleh pemimpin ini. Oleh itu, jika dahulu pemimpin ini menang dengan majoriti 800 undi contohnya, pada pilihanraya ini beliau tetap akan menang dengan majoriti yang sama juga jika pun beliau kehilangan 600 undi dari pengundi-pengundi tempatan.


Inilah yang akan terjadi kepada calon PAS di DUN Semerak nanti kecuali dengan kehendak Allah jua, berlaku sebaliknya. Jentera UMNO Pasir Puteh masih tidak menyedarinya, walaupun telah lama diberikan peringatan beberapa kali, kerana terlalu leka dengan usaha-usaha lain yang dilihat lebih 'menguntungkan' pihak-pihak tertentu sahaja, bukannya parti.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

No comments:

Post a Comment