Tuesday 26 June 2012

MyDiary 59

MyDiary (59)
26 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sejak akhir-akhir ini, PERKASA Pasir Puteh dianggap ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu’.

Pertubuhan ini hanya gah pada nama sahaja diperingkat pusat tetapi lesu selesu-lesunya di Pasir Puteh. Pada mulanya, saya tidak banyak mengetahui tentangnya, tetapi setelah dijemput dan terlibat didalam dua mesyuarat AJKnya, barulah saya mendapat tahu bahawa pertubuhan ini berada di dalam keadaan seperti pepatah melayu di atas itu.

Pada awal-awal penubuhannya beberapa tahun yang lalu, saya telah hadir pada malam perasmian yang telah diadakan di Dewan Besar SMK Kamil, Pasir Puteh. Pada malam itu, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali selaku Presiden PERKASA hadir untuk merasmikannya sementara YBhg. Sdr. Hj. Ruslan Kasim selaku Ketua Penerangan PERKASA pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Pada malam itu saya melihat sambutan dan kehadiran orang ramai sangat memberangsangkan. Semua orang memandang PERKASA sebagai sebuah NGO yang sangat kuat dan gagah untuk membela orang-orang melayu disamping UMNO sebagai sebuah parti politik untuk orang-orang melayu juga. Orang ramai melihat gandingan kerjasama kedua-dua organisasi besar ini sebagai sebuah platform politik dan benteng pertubuhan yang kukuh serta kebal untuk orang-orang melayu. Maka pada malam perasmian itu, sebahagian besar yang hadir sewajarnyalah juga orang-orang UMNO. Bahkan pada malam itu, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali sendiri pun ada menyebut bahawa PERKASA berperanan sebagai ‘supplement’ atau ‘ganti tubuh’ kepada UMNO (didalam keadaan-keadaan tertentu) dalam agenda mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu.

Semua yang hadir rata-rata menyatakan rasa puas hati mereka selepas majlis itu, terutamanya orang-orang UMNO sendiri. Mereka berkata sudah sampai masanya PERKASA diberikan sokongan yang padu kerana pertubuhan ini sudah jelas akan mampu ‘membantu’ UMNO memperjuangkan hak-hak orang melayu yang semakin hari semakin dicabar oleh bangsa-bangsa lain. Maka mereka pun pulanglah kerumah masing-masing dengan perasaan lega bercampur harapan setinggi gunung.

Sayang seribu kali sayang, harapan hanya tinggal harapan. Apa yang telah diucapkan oleh Presiden PERKASA pada malam itu hanya tinggal kenangan. Apa tidaknya, sejak daripada malam itu, PERKASA Pasir Puteh semakin hari semakin layu dan longlai. Tiada sebarang kemajuan dicapai kecualilah perasaan bangga dan megah Pengerusinya sahaja kerana jumlah ahli yang dianggap ramai tercatat di dalam buku rekodnya.

Bayangkanlah, bagaimana kita hendak menganggap PERKASA Pasir Puteh berjaya jikalau urusan mudah seperti membawa rombongan ke Kuala Lumpur dan urusan wakil ke perhimpunan di Kota Bharu pun gagal? Bagaimana kita hendak menganggap PERKASA Pasir Puteh berjaya jikalau sesuatu yang dijanjikan tiba-tiba sentiasa dimungkiri disaat-saat akhir? Sudah tentulah akibatnya ialah keyakinan dan semangat ahli-ahlinya menurun atau pun hilang.

Saya tidak melihat faktor lain dalam persoalan seperti ini kecuali faktor kepimpinan yang lemah. Sesebuah organisasi tidak akan mampu mencapai sebarang kejayaan jika pemimpinnya bukan dari kalangan mereka yang benar-benar mampu memimpin. Seseorang pemimpin itu hendaklah terdiri daripada orang yang menepati kriteria-kriteria tertentu seperti kebolehan menyelesaikan masalah, kebolehan merancang, kebolehan menyesuaikan diri dengan segenap lapisan masyarakat selain daripada mempunyai sifat-sifat amanah atau ‘accountability’.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan sebelum hari-harinya menjadi semakin terlewat. Barisan kepimpinan PERKASA Pasir Puteh, terutama Pengerusi Daerahnya sendiri harus segera ditukar dengan barisan kepimpinan yang baru. Mahu tidak mahu, kepimpinan sekarang hendaklah sedar dan akur serta bersedia memberikan laluan kepada muka-muka baru demi kesinambungan perjuangan sebuah pertubuhan yang telah diasaskan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk orang-orang melayu ini.

Supaya dengan itu juga, PERKASA Pasir Puteh tidak berterusan menjadi sia-sia bagi orang-orang melayu Pasir Puteh.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment