Wednesday 21 November 2012

MyDiary (100)


MyDiary (100)
22 Nov 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

Program Parti UMNO vs Parti PAS

Pada 20hb November, 2012 iaitu hari Selasa waktu pagi, saya terpandang begitu ramai orang di hadapan pejabat ADUN Semerak dengan beberapa buah khemah terpasang sewaktu saya memandu kereta untuk pulang ke rumah saya di Taman Jaya atau Rumah Murah (RM). Apabila saya keluar semula, barulah saya tahu ianya ialah program ‘berkhatan’ kanak-kanak.

Saban tahun, ADUN Semerak tidak lupa untuk memberi khidmat ini kepada kanak-kanak DUN Semerak. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa tentang politik. Mereka hanya tahu ibubapa mereka membawa mereka ke situ untuk tujuan dikhatankan. Yang tahu selebihnya ialah ibubapa mereka itu. Ibubapa-ibubapa ini sememangnya tahu bahawa mereka mendapat faedah daripada program parti PAS ini. Selain daripada memperkukuh dan memperluaskan lagi sokongan mereka terhadap parti PAS, sekurang-kurangnya mereka boleh berjimat kerana kos sebenar berkhatan ialah RM100.00 seorang tetapi bayaran yang dikenakan hanyalah RM30.00 sahaja atau 30% daripadanya.

Pagi ini saya dimaklumkan bahawa jumlah kanak-kanak yang berkhatan semalam itu berjumlah 98 orang atau orang kampong menyebutnya ‘kurang 2 seratus’. Jumlah doktor yang terlibat menyumbang khidmat pula ialah seramai 7 orang.

Program seperti ini tidak pernah dibuat oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh untuk kanak-kanak yang beribubapakan orang-orang UMNO. Saya tidak tahu mengapa ianya tidak dibuat. Mungkin UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak mahu dilabelkan sebagai ‘meniru’ apa yang dibuat oleh PAS kerana program seperti itu sudah dianggap ‘rutin’ tahunan parti PAS pada setiap kali musim cuti penggal akhir persekolahan.

Kalau inilah alasannya, maka apa sahaja yang menjadi rutin parti PAS perlu ditinggalkan termasuk jugalah program ‘kacau asyura’ dibulan Muharam. Namun program ini dibuat juga oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Saya tidak pernah melihat atau mendengar apa-apa yang dilakukan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh akhir-akhir ini yang boleh dianggap melebihi sambutannya berbanding dengan apa yang dibuat oleh PAS Kawasan Pasir Puteh. Kalau pun acara ‘kacau asyura’ dibuat contohnya, jumlah ‘kawah’ yang dibuat oleh PAS masih banyak bezanya.

Oleh itu, sekarang orang-orang PAS DUN Semerak tidak lagi berkata ‘kami akan ‘mengulangi’ kemenangan dalam PRU13 ini tetapi mereka lebih gemar menggunakan ayat ‘kami akan menang sokmo’.

Saya tidak boleh membuat sebarang andaian tentang mengapa UMNO Bahagian Pasir Puteh begitu lemah dalam bab merancang dan melaksanakan sesuatu. Apa yang saya rasa secara peribadi ialah kelemahan ini adalah disebabkan ketiadaan semangat ‘kesepakatan’ dan ’kerasian’ diantara mereka yang memegang jawatan-jawatan utama parti diperingkat Bahagian. Faktor kedua ialah kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak tahu atau pun tidak suka kepada mana-mana pihak yang berupaya memberikan khidmat nasihat terutamanya orang-orang lama parti atau pun veteran. Kalau pun ada percubaan atau usaha dibuat, ianya hanyalah sekadar sebuah kumpulan baru atau ‘group Facebook’ yang dinamakan sebagai ‘P28 SUARA RAKYAT’  di link Facebook
https://www.facebook.com/groups/212680755531127/  yang dtubuhkan di pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh baru-baru ini. Inipun sudah agak lewat kerana pihak parti PAS sudah lama mengguna peluang IT seperti ini termasuk siaran radio internet sejak bertahun-tahun yang lalu.

Oleh itu, memandang kepada suasana semasa, saya berpendapat secara peribadi bahawa DUN N31 Semerak masih ditahap sukar untuk diambilalih daripada genggaman parti PAS.

Apa pun, Selamat Bersidang saya ucapkan kepada semua perwakilan dari UMNO Bahagian seluruh Malaysia terutamanya dari Pasir Puteh yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO 2012 ini. Dengan iringan doa semoga persidangan berjalan dengan lancar sehingga selesai dan direstui Allah SWT.

“BERSATU  BERSETIA  BERKHIDMAT”

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment