Sunday 16 September 2012

MyDiary (94)


MyDiary (94)
17 September 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PERPADUAN PARTI UMNO PASIR PUTEH

Seorang kawan baik saya telah meminta supaya saya menulis sekali lagi mengenai perkara ini. Pada mulanya saya berkata bahawa saya sudah banyak menulis tentang perkara ini dan saya khuatir jikalau saya menulis lagi dengan topik yang sama, orang akan merasa jemu. Kawan saya berkata, tulislah lagi kerana sememangnya perkara ini sangat penting dan perlu diulang-ulang. Katanya, perpaduan sahajalah yang boleh memberikan harapan untuk UMNO dan BN Pasir Puteh menang dalam PRU13 ini. Biarkanlah apa yang orang lain hendak katakan, asalkan niat kita ikhlas dalam membantu parti dengan cara kita.

Saya pun bertanya kepada kawan saya ini apa lagi yang boleh saya tulis mengenai perpaduan parti ini? Beliau menjawab, buatlah seruan demi seruan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh supaya mereka memulakan sesuatu sebelum terlewat. Katanya, masa masih lagi ada untuk kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh melakukan sesuatu.

Bagi kawan saya ini, kepimpinan UMNO Bahagianlah yang sepatutnya mengambil langkah permulaan untuk tujuan ini. Kelompok yang menentang kepimpinan Bahagian harus diajak duduk semeja dan bersemuka untuk berbincang dari hati ke hati. Kepimpinan Bahagian harus sedar bahawa pihak yang menentangnya tidak akan sekali-kali mengadakan sebarang langkah permulaan seperti itu kerana mereka tidak menyandang sebarang jawatan penting parti seperti dahulu lagi. Walaupun begitu, sokongan terhadap kumpulan ini semakin hari semakin meningkat dan ianya sangatlah merbahaya jika terus dibiarkan. Kumpulan ini boleh menjadi ‘liability’ kepada UMNO Pasir Puteh semasa PRU13 ini.

Kawan saya ini yakin bahawa jika usaha ini dimulakan oleh kepimpinan UMNO Bahagian sendiri, kumpulan yang dimaksudkan itu sudah pasti akan menyambut baik dan memberikan respon yang positif. Ini adalah kerana mereka pun ahli-ahli UMNO juga yang mahukan supaya UMNO dan BN menang dalam pilihanraya nanti. Mereka hanya tidak sehaluan dengan kepimpinan Bahagian disebabkan beberapa perkara sahaja tetapi dibiarkan selama ini tanpa sebarang tindakan untuk memperbetulkan keadaan oleh kepimpinan Bahagian.

Kawan saya ini berkata lagi, jika pun usaha yang dimulakan oleh kepimpinan Bahagian ini tidak diberikan sambutan atau respon yang positif, sekurang-kurangnya ahli-ahli UMNO tahu bahawa kepimpinan Bahagian ada melakukan sesuatu. Mereka akan tahu bahawa perpecahan yang sudah lama berlaku ini hendak diperbetulkan oleh kepimpinan Bahagian. Oleh itu, tidaklah lagi timbul tohmahan bahawa kepimpinan Bahagian sengaja membiarkan masalah ini berlarutan sehingga musim pilihanraya. Bahkan, ahli-ahli UMNO akan memuji kepimpinan Bahagian kerana sanggup memulakan usaha ini dan ini sudah tentulah akan menambahkan lagi sokongan terhadap kepimpinan Bahagian.

Disebabkan apa sahaja yang berlaku dan dilakukan semuanya akan sampai kepada pengetahuan pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat, kawan saya berkata bahawa jika perpaduan betul-betul dapat dicapai dalam parti UMNO Pasir Puteh, sudah tentulah kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh jugalah yang akan mendapat penghargaan dan dianggap istimewa disebabkan kejayaan ini.

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh”
“BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT”

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

No comments:

Post a Comment