Saturday 8 September 2012

MyDiary (93)


MyDiary (93)
8 Sept 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN PASIR PUTEH
PEMILIHAN G7

Mesyuarat ini telah berlangsung pada pagi ini di Dewan Besar SMK Kamil, Pasir Puteh dengan perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Datuk SUK UMNO Malaysia.

Mesyuarat pada kali ini adalah Mesyuarat Perwakilan Bahagian terakhir sebelum PRU13 dan tiada pertandingan diperingkat AJK Bahagian kecuali Perwakilan ke Persidangan Agung di Kuala Lumpur yang dipanggil sebagai G7. Oleh itu, selain daripada urusan pertandingan ini, perkara lain yang penting ialah ucapan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan ucapan perasmian Wakil UMNO Malaysia itu.

Dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh tentang ucapan-ucapan mereka ini kerana apa yang telah disampaikan sudah tentulah mudah difahami dan dihayati oleh semua perwakilan dan juga ahli-ahli UMNO lain tanpa perlu diulas-ulas lagi.

Yang saya ingin sentuh sedikit di sini ialah tentang pemilihan G7. Pemilihan ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semua pihak telah berpuas hati apabila keputusan diumumkan. Mereka yang telah menang, telah menang dengan proses pengundian yang bersih dan telus. Mereka yang kalah, kalah pun begitu juga. Semua ini adalah kerana pemilihan untuk menjadi G7 sememangnya tidak seperti pemilihan AJK Bahagian. Pemilihan ini tidak memerlukan seseorang calon itu melobi perwakilan sepertimana biasa dilakukan untuk pemilihan AJK Bahagian. Ianya tidak sehebat suasana sepertimana kempen pemilihan AJK Bahagian dimana seseorang calon itu akan melalui satu tempuh masa tertentu yang lebih panjang untuk kerja-kerja berkempen selain daripada melibatkan kewangan untuk tujuan perbelanjaan makan minum, kenderaan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Kalau ada pun, hanya sedikit ruang yang direbut seperti mewar-warkan diri di dalam Facebook atau sms kepada perwakilan yang terlibat.

Saya dimaklumkan bahawa pada mulanya usaha telah dilakukan supaya G7 ini tidak dipertandingkan. Apabila pencalonan ditutup, terdapat 12 orang telah menawarkan diri. Ini bermakna bahawa 5 orang diharapkan menarik diri tetapi hanya 2 sahaja yang telah melakukannya secara sukarela. Disebabkan terdapat 10 orang yang hendak bertanding, maka proses pemilihan terpaksa dijalankan.

Didalam hal ini, tiada sesiapa yang berhak berkata apa-apa. Siapa pun yang hendak bertanding, itu adalah hak mereka mengikut perlembagaan parti. Sudah tentulah siapa sahaja yang hendak bertanding itu merasakan bahawa dirinya berpeluang untuk memenanginya. Tiada orang yang hendak bertanding hendakkan kekalahan. Kalau pun kalah juga, mereka akan menganggap ianya bukan pun kekalahan pula tetapi sebagai sesuatu yang boleh mengukur populariti diri mereka. Istilah politik yang biasa digunapakai ialah ‘market test’.

Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan sikap seperti ini. Parti UMNO bukan tempat untuk orang-orang yang mempunyai kepentingan diri seperti ini. UMNO tidak harus membiarkan orang-orang seperti ini menyebarkan penyakit berjangkit mereka ini kepada orang-orang lain yang ikhlas memperjuangkan hasrat dan cita-cita murni parti.

Sebab itu secara peribadi juga, saya sangat bersetuju jika terdapat orang-orang tertentu menarik diri apabila mereka mendapat tahu jumlahnya sudah melebihi 7 orang. Selain daripada lebih memudahkan perjalanan mesyuarat kerana tidak perlu melibatkan perwakilan didalam urusan pengundian, orang-orang ini pun tahu bahawa walaupun mereka berhak bertanding, perpaduan parti hendaklah diutamakan dan cara menarik diri ini adalah juga sekurang-kurangnya diantara caranya untuk mencapai tujuan ini.

Membuktikan kita mengutamakan perpaduan parti dengan cara menarik diri adalah lebih mulia daripada menghadapi pertandingan tetapi kalah kerana itu pun akan dianggap juga sebagai satu pengorbanan mulia kepada parti.

BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment