Wednesday, 4 December 2013

Dimanakah Agenda Penyatupaduan Orang-Orang Melayu?

Saya tertarik dengan istilah ‘penyatupaduan’ apabila saya mendengar istilah ini ducapkan oleh seorang profesor sebuah universiti termuka tempatan dalam televisyen baru-baru ini. Namun saya tidak tahu samada istilah ini betul atau pun tidak kerana saya bukan pakar bahasa. Mungkin istilah ini sudah lama ada dalam kamus Dewan atau mungkin juga ianya baru sahaja diperdengarkan oleh profesor yang berkenaan itu.

Apa pun, istilah itu sedap didengar dan munasabah bunyinya. Oleh itu saya akan meminjamnya dalam tulisan-tulisan saya.

Pada masa ini, Perhimpunan Agung UMNO 2013 sedang berlangsung. Sudah tentulah usul-usul yang akan dibentangkan adalah seperti biasa. Unsur-unsur itu semuanya untuk menjaga kepentingan orang-orang melayu. Antaranya ialah ekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain. Yang menjadi kelainan sedikit untuk kali ini ialah agenda memperkasakan ekonomi orang-orang melayu dan ini telah ditekankan oleh Ketua salah satu sayap supaya sesuatu dilakukan seperti menubuhkan sebuah konsortium kontraktor wanita melayu untuk menjamin supaya kontrak-kontrak yang sesuai diperolehi oleh kontraktor wanita melayu ini yang sudah tentu terdiri daripada orang-orang UMNO sahaja.

Secara peribadi saya bersetuju dengan cadangan seperti itu selagi ianya tidak disalahguna untuk kepentingan diri pihak-pihak tertentu. UMNO sebagai sebuah parti orang-orang melayu sememangnya diharap menjadi sebuah parti yang berjuang untuk tujuan-tujuan seperti itu. Walau bagaimana pun, kalaulah saban tahun orang asyik mendengar cerita yang sama, saya yakin orang-orang melayu akan mulai merasa jemu dengan UMNO termasuk orang-orang UMNO sendiri.

Tidak salah mengulangi usul-usul yang sama saban tahun. Namun, jika itu sahaja yang ada, UMNO akan dianggap tidak maju dan tidak kehadapan atau ‘advanced’. UMNO dilihat hanya tahu meminta-minta itu dan ini dan mahu mempertahankan hak-hak orang melayu hanya dengan mendiamkan diri tanpa usaha kecuali teriakan dalam perhimpunan seperti ini. Oleh itu, orang-orang melayu pun tetap dianggap oleh bangsa-bangsa lain sebagai bangsa pemalas tetapi mahu hidup bermewah dan bergaya. UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mampu mendidik ahli-ahlinya supaya menggantikan budaya itu kepada budaya kerja kuat sepertimana bangsa-bangsa lain.

Istilah ‘perjuangan’ asal telah terpesong jauh. Teriakan pemimpin-pemimpin sayap contohnya telah menampakkan bahawa mereka tidak matang dan nampak gelojoh mencari populariti sahaja. Saya khuatir mereka pergi ke perhimpunan pun bukan dengan kefahaman dan nawaitu yang betul.

Apa pun, tiada sesiapa boleh berkata apa-apa lagi tentang UMNO yang ada hari ini. Itulah sahaja tahap yang mampu dicapai walaupun pemimpin tertingginya sudah memberikan signal bahawa perjuangan sebenar UMNO hari ini bukan lagi meminta itu dan ini daripada pemerintah. Ini adalah kerana semua yang diminta itu tidak perlu diulang-ulang saban tahun kerana pemerintah tahu apa yang perlu dilakukan sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menentukan ‘survival’ orang-orang melayu.

Sebab itulah bagi saya, ada yang lebih penting dan lebih utama dari semua itu. Yang saya maksudkan ialah perpaduan orang-orang melayu melalui ‘penyatupaduan’ diantara parti UMNO dan PAS. Inilah sebenarnya agenda yang paling penting yang sepatutnya semua orang-orang UMNO fikirkan pada hari ini. Tidak ada gunanya berteriak berapi-api dan bertempik seperti gajah turun minyak dalam perhimpunan yang akan datang meminta itu dan ini lagi, jika pada masa itu kuasa politik orang-orang melayu sudah menurun dan terancam. Kalau pada masa itu barulah orang-orang UMNO berfikir dan faham bahawa kuasa politik orang-orang melayu terjamin hanya dengan penyatuan itu, masanya mungkin sudah terlewat dan usaha kearah itu menjadi semakin sulit.  

YAB Dato’ Sri Presiden UMNO telah pun menunjukkan signalnya baru-baru ini secara jelas tetapi mengapa pemimpin-pemimpin sayap UMNO ini tidak juga faham-faham? Mengapa mereka masih juga leka dengan sikap kebendaan lalu saban tahun meninta-minta sahaja seperti sianak-anak kecil yang merengek-rengek meminta botol susu padahal UMNO itu sendiri sudah menjangkau 67 tahun umurnya? Lupakah mereka bahawa pada hari ini apa yang lebih utama dan penting melebihi perkara-perkara lain untuk menjamin ‘survival’ politik atau kuasa politik orang-orang melayu hanyalah perpaduan orang-orang melayu secara keseluruhan melalui penyatuan dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS? Lupakah mereka bahawa kuasa yang dipegang UMNO sekarang tidak menjamin bahawa ianya akan berkekalan ditangan UMNO jika sekiranya perpecahan dikalangan orang-orang melayu semakin hari semakin melebar?

Saya harap jika pun agenda ini diabaikan pada kali ini, perhimpunan tahunan yang akan menyusul selepas ini akan mengambilkira faktor ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan atau usaha kearah itu terus sahaja dilakukan baik secara tertutup mahu pun secara terbuka. Parti UMNO yang memerintahlah yang sepatutnya bersungguh-sungguh mengajak PAS, bukan sebaliknya. Usaha ini harus dilakukan tanpa jemu dan tanpa mempedulikan apa jua rintangan dan halangan.

Saya tahu ada pihak yang menganggap agenda ini seperti mimpi disiang hari atau angan-angan mat jenin kerana PAS sudah tentu tidak berganjak dengan prinsip dan syarat-syaratnya, apalagi hendak menanggalkan ikatannya dengan PKR dan DAP dalam PR yang dianggap susahnya seperti mencabut paku 16 inci.

Saya tidak menganggapnya begitu selagi pemimpin yang memimpin kedua-dua parti terbesar orang-orang melayu ini bergelar ‘manusia’.

Menyentuh kembali perhimpunan agung yang sedang berlangsung sekarang, tidak ada masalah jika ucapan YAB Dato' Sri Presiden UMNO banyak memuji-muji dan mengangkat UMNO sebagai sebuah parti yang berjaya mendapatkan sokongan orang-orang melayu dan rakyat. Namun, itu semua orang sudah tahu dan tidak perlu diwar-warkan saban tahun. Yang lebih penting ialah apakah UMNO semakin dekat dihati orang-orang melayu atau pun sebaliknya dan jika pun dekat, apakah UMNO mampu menyelesaikan masalah orang-orang melayu yang semakin hari semakin bertambah dalam kehidupan mereka. Apakah UMNO hendak menjadi popular dan juga sebagai penyelesai masalah orang-orang melayu atau pun popular tetapi dalam masa yang sama penyebab kepada semua masalah orang-orang melayu?

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment