Saturday, 7 December 2013

Perhimpunan Agung UMNO 2013


Perhimpunan Agung UMNO 2013

Saya telah mengikuti ucapan-ucapan penggulungan pada hari ini iaitu hari terakhir perhimpunan di kaca televisyen. Walau bagaimana pun, ucapan YAB Dato’ Sri Presidenlah yang saya berikan tumpuan kerana ucapan belaiulah yang benar-benar ‘menggulung’ keseluruhan perhimpunan.

Daripada ucapan beliaulah baru kita boleh mengetahui hala tuju UMNO yang sebenar. Apa yang UMNO hendak buat sekarang terletak pada hasrat yang ada dalam hatinya. UMNO hanyalah sebuah pertubuhan yang tidak bernyawa dan tidak boleh berbuat apa-apa tetapi Presidennyalah yang akan mengepalai gerakannya. Presidennya diibaratkan seperti seorang pemandu bas manakala ahli-ahlinya yang lain seperti penumpang. Pemandu baslah yang mengawal stering, pedal minyak, signal, brek dan lain-lain dan pemandu bas hanya seorang sahaja pada masa bas itu bergerak. Kalau bas ekspres untuk perjalanan jauh, biasanya ada pemandu kedua yang akan membantu apabila diperlukan atau digilirkan separuh perjalanan. Jalan yang dilalui pula ada yang rata, ada yang lebar, ada yang sempit, ada yang lurus, ada yang bengkang bengkok, ada yang menaiki bukit dan ada juga yang menjunam turun.

Begitulah juga dengan UMNO. Selama 67 tahun, tentulah perjalanannya sudah beribu batu atau beribu kilometer jauhnya. Ada tempat rata, ada naik bukit dan ada menurun. Pada masa ini, bas UMNO yang membawa penumpang ini dianggap sedang menaiki bukit selepas melalui jalan yang rata. 

Saya tidak menganggapnya sedemikian. Saya menganggap bas UMNO sedang menuruni bukit yang curam. Jika pemandunya tidak cekap dan sistem breknya pun tidak baik, bas UMNO ini akan mengalami kemalangan dan semua penumpang termasuk pemandunya akan mati jika bas ini terjatuh ke dalam gaung.

Pada masa ini bas UMNO ini dipandu oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Cara pemanduannya berbeza dengan pemandu-pemandu terdahulu. Beliau dilihat agak lebih berhati-hati walaupun kadang-kadang kaset lagu nasyid dipasangnya terlalu kuat sehingga mengganggu tidur penumpang. Sebelum ini beliau menyukai lagu-lagu inggeris.

Saya melihat minat pemandu pada kali ini agak berbeza dengan minat pemandu-pemandu yang terdahulu. Pemandu-pemandu yang telah bersara tidak ada yang berminat kepada lagu-lagu nasyid berunsur dakwah. Tiada seorang pun daripada mereka sebelum ini yang pernah memasang lagu-lagu nasyid kecuali lagu-lagu inggeris atau lain-lain. Mungkin tiada permintaan oleh penumpang sebelum ini.

Dalam kaitan minat ini, sebenarnya YAB Dato’ Sri Mohd Najib pun baru sahaja tiba-tiba berminat kepada lagu-lagu nasyid berunsur dakwah. Sebelum ini pun, beliau asyik memasang lagu-lagu lain bukan nasyid. Saya tidak tahulah samada minat ini datangnya dengan sendiri atau sengaja dibuat-buatnya untuk tujuan tertentu yang saya pun tidak dapat hendak pastikan apa yang ada dalam hatinya. Mungkin juga beliau telah menyedari bahawa minat penumpang sudah beralih untuk menaiki bas yang ada lagu-lagu nasyid pada masa sekarang. Sebab itulah beliau pun mula memasang lagu-lagu nasyid berunsur dakwah secara kuat dan berterusan supaya penumpang bas dengar dan tahu bahawa bas UMNO sudah berubah. Harapan pemandu ialah supaya penumpang bas tidak beralih kepada bas-bas lain bahkan penumpang bas-bas lain pun diharap akan tertarik untuk menaiki bas UMNO pula.

Inilah yang dilakukan oleh YAB Dato’ Sri Presiden UMNO hari ini. Menyerapkan beberapa orang tokoh-tokoh agama ke dalam MT merupakan tindakan pantas beliau menyelamatkan UMNO. Saya bersetuju secara peribadi dengan tindakan bijaknya ini dan ingin sekali mengucapkan Syabas kepadanya. Namun, peluang yang telah diberikan oleh YAB Dato’ Sri Presiden ini harus diambil dengan bijak oleh Ahli-Ahli MT yang berkenaan itu. Mereka harus bijak menyesuaikan diri dengan tidak menunjukkan sikap ‘terlebih lajak dari laju’ dan faham perlara-perkara berikut:

1)      UMNO tidak pernah menyediakan tempat untuk tokoh-tokoh agama secara drastik dan serious sebelum ini. Tidak pernah dalam sejarah ada mana-mana presidennya yang melakukan perubahan besar dengan melantik tokoh-tokoh agama ke dalam MT.
2)      Majoriti kepimpinan di semua peringkat parti bukan terdiri daripada orang-orang agama, bahkan ada sesetengah Bahagian mengenepikan mereka. Kalau pun ada, mereka hanyalah sebagai kosmetik sahaja untuk tujuan-tujuan tertentu seperti mengimamkan solat, tahlil kematian dan membaca doa dalam majlis sahaja, bukan diletakkan di barisan hadapan kepimpinan.
3)      Oleh yang demikian, tokoh-tokoh agama yang baru dilantik ini tidak boleh berlagak sombong dan harus bijak mengambil hati mereka yang lain supaya kedudukan mereka lebih terjamin dan selamat didalam parti. Jika tidak, tindakan secara halus sudah tentu akan dilakukan oleh mereka yang anti-agama atau nasionalis di dalam UMNO untuk menyingkirkan semula mereka nanti. Ini berlaku di Bahagian tempat saya dan tidak mustahil ianya boleh juga berlaku di peringkat MT.

Dalam ucapan penggulungannya hari ini, tiada juga kedengaran suara dari YAB Dato’ Sri Presiden yang mengutuk keras parti PAS kecuali sedikit sindiran secara sederhana terhadap pemimpin nombor dua PAS sahaja. Ini juga saya anggap baik kearah agenda penyatupaduan orang-orang melayu secara keseluruhan melalui dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS.

PAS tidak perlu lagi meletakkan sebarang syarat terhadap UMNO jika UMNO mengajaknya untuk berunding. Apalagi jika UMNO sanggup mengubah perlembagaannya tak lama lagi.

Akhir sekali, saya ingin mengingatkan semua orang bahawa UMNO hanyalah sebuah parti politik yang tidak bernyawa. Yang bernyawa ialah pemimpin dan ahli-ahlinya. Begitulah juga parti PAS. Parti PAS hanyalah sebuah parti politik yang tidak bernyawa juga. Yang bernyawa ialah pemimpin dan ahli-ahlinya.

Oleh itu UMNO dan PAS sebenarnya tidak ada perbezaan. Kedua-duanya hanyalah parti politik yang tidak bernyawa. Yang bernyawa ialah pemimpin dan ahli-ahlinya.  Pemimpin dan ahli kedua-dua parti ini pula sama. Semuanya orang-orang melayu yang beragama Islam.

Sepertimana juga bas. Bas tidak bernyawa. Yang bernyawa ialah pemandu dan penumpang-penumpangnya. Pemadu dan penumpangnya pula sama. Semuanya orang-orang melayu yang beragama Islam.

Apa salahnya jika kedua-dua syarikat bas ini menjalinkan kerjasama menubuhkan ‘konsortium’? Bukankah cara ‘merger’ ini lebih baik dan menguntungkan apabila syarikat diperbesarkan dan saham-saham awam pun boleh diterbitkan? Tidakkah cara ini sekali gus boleh juga memperteguhkan lagi kedudukan ekuiti pemegang-pemegang sahamnya?

Oleh itu, saya harap YAB Dato’ Sri Presiden UMNO ikhlas 100%, bukan 99.9%, supaya dengan itu pelapis kepimpinan disemua peringkat yang akan di’manufacture’ melalui perkaderan nanti pun akan terdiri daripada mereka yang ikhlas juga. Supaya dengan itu juga, bas UMNO yang tidak bernyawa terus hidup dengan lancar enjinnya untuk membawa penumpang ke destinasi yang dituju dengan selamat oleh pemandu yang terlatih, ikhlas, jujur dan amanah sekali gus dapat pula menarik minat syarikat bas lain untuk ‘merge’ satu hari nanti.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

(gambar di atas sekadar bermaksud saya pernah ke PWTC)

No comments:

Post a Comment