Thursday, 26 December 2013

Isu Subsidi Baja Padi Di Kelantan


Sebelum ini saya ada menulis tentang perkara ini dalam sebuah artikel terdahulu. Ianya berkaitan dengan kenyataan YB Cikgu Zawawi Othman, ADUN Semerak merangkap Pengerusi Pemnbangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh apabila beliau memulakan kenyataannya bahawa kerajaan persekutuan telah menyalurkan peruntukan subsidi baja padi sejumlah RM4 juta kepada kerajaan negeri Kelantan. Oleh itu beliau menyarankan supaya mana-mana orang Kelantan yang menanam padi tetapi tidak memperolehi bantuan baja padi ini melalui kerajaan pusat supaya mendapatkannya melalui kerajaan negeri. Kenyataannya itu telah diterbitkan dalam Sinar Harian edisi Kelantan tempuh hari.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, BioTeknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi menafikan perkara tersebut dan memberitahu kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan peruntukan sendiri bagi melaksanakan tujuan tersebut. Sila rujuk keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 26 Disember, 2013 edisi Kelantan muka surat 18.

Sekarang, orang ramai tertanya-tanya. Yang mana satu betul atau yang mana satu bercakap bohong? Orang Kelantan kata ‘Tok Wakil Pelawok’ atau TWP. Bagi orang-orang UMNO sudah tentulah mereka berkata bahawa kenyataan YB Cikgu Zawawi Othman yang betul dan kenyataan balas oleh YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi itu tidak betul. Manakala bagi orang-orang PAS pula sudah tentulah mereka menyokong exco mereka dan berkata bahawa YB Cikgu Zawawi Othman bercakap bohong dan bermain politik menekan dan menindas orang-orang PAS dengan mereka-reka cerita dan alasan palsu sambil juga dalam masa yang sama semata-mata untuk memburuk-burukkan imej kerajaan negeri Kelantan.

Sebagai penganilisis dan pengkritik bebas, saya tidak melihat pertelingkahan kenyataan oleh dua orang pemimpin politik ini sebagai sesuatu yang penting. Perkara seperti ini sudah lama berlaku dan orang Kelantan sudah ‘kalih’ dengan perangai pemimpin-pemimpin politik seperti ini. Kenyataan oleh YB Cikgu Zawawi Othman contohnya, tiada siapa yang tahu samada benar atau pun tidak. Begitu juga kenyataan balas oleh YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Kedua-dua mereka sahaja yang tahu atau percanggahan kenyataan mereka dibawa ke mahkamah untuk dicari kebenaran melalui proses undang-undang untuk dibuktikan siapa yang benar dan siapa yang berbohong dimata orang ramai.

Saya berkata bahawa apa yang diperkatakan oleh mereka itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah penyelesaian kepada masalah yang timbul. Ada petani-petani yang menanam padi tetapi tidak mendapat bekalan baja subsidi ini telah menjadi mangsa. Mata pencarian mereka hilang hanya kerana perbezaan fahaman politik. Penanam-penanam padi yang menjadi ahli atau penyokong UMNO sudah tentu semuanya mendapat bekalan ini tetapi mereka yang lain tidak.

Inilah kadang-kadang masalah yang timbul apabila negara mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Sepatutnya amalan sistem demokrasi ini tidak menimbulkan masalah kepada rakyat biasa orang-orang kampong terutamanya dalam urusan mencari nafkah hidup menampung keluarga. Orang-orang Kelantan semuanya rakyat Malaysia dibawah kerajaan pusat dan juga rakyat negeri Kelantan di bawah kerajaan negeri. Sepatutnya, apa sahaja yang disalurkan oleh kerajaan pusat boleh dinikmati oleh semua rakyat negeri Kelantan tanpa mengira fahaman politik mereka. Begitu jugalah, apa sahaja yang disalurkan oleh kerajaan negeri sepatutnya boleh dinikmati oleh semua rakyat Kelantan juga.

Apa yang terjadi pada hari ini amat menyedihkan. Bantuan dari kerajaan pusat seolah-olah hendak dinafikan kepada orang-orang PAS kerana mereka menentang BN. Bantuan akan dipertimbangkan hanya jika sekiranya orang-orang PAS ini sanggup ‘bersumpah’ atau ber ‘akujanji’ untuk memberikan sokongan kepada BN dalam pilihanraya. Bila ini berlaku dan orang-orang PAS menyokong, maka orang-orang UMNO pun berkata bahawa pemimpin mereka kononnya bijak memainkan peranan sebagai pemimpin UMNO sehingga beliau menang dalam pilihanraya.

Tidak kurang juga dengan kerajaan negeri Kelantan. Terdapat juga bantuan-bantuan tertentu tidak diberikan kepada orang-orang UMNO padahal mereka pun orang Kelantan juga. Sebagai contoh, orang-orang UMNO tidak disertakan ke dalam skim Ladang Rakyat dan lain-lain skim dibawah kuasa kerajaan negeri. 

Jadi, dalam hal seperti ini kita tidak boleh selalu sahaja menuding jari kepada orang lain. Orang Kelantan kata ‘mung kata ko aku, aku kata ko mung, ukk aloh, pah ceroh meno nge pah takleh nikoh!!’. Maka sebab itulah YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi menjawab kenyataan YB Cikgu Zawawi Othman. Sudah tentulah selepas ini YB Cikgu Zawawi Othman pula yang akan membuat kenyataan balasnya.

Petani-petani yang tidak mendapat bekalan baja subsidi terus tidak mendapatnya kecuali masa yang terbuang dengan sia-sia dan merugikan akibat diasyikan sebagai penonton dengan nyanyian dan dikir karut oleh dua pasukan dikir barat pemimpin politik ini yang terus menerus berbalas dikir dan ‘mengarut’ sampai pagi. Petani-petani hilang punca pendapatan mereka tetapi kedua-dua ‘tukang karut’ politik ini tetap mendapat elaun dan kemewahan serta keistimewaan yang disediakan kerajaan untuk mereka sebagai wakil rakyat. Petani-petani sebaliknya terus menjadi mangsa mainan politik oleh pemimpin-pemimpin yang mementingkan diri mereka sendiri..

Mereka tidak ingin bertemu dan berbincang tetapi terus mempolitikkan isu ini tanpa sebarang penyelesaian. Tradisi Membela Rakyat dan Rakyat Didahulukan entah kemana. Tunggu dekat-dekat pilihanrayalah pula, baru dilaungkan semula. Begitulah juga dengan Membangun Bersama Islam. Walaupun ajaran agama menuntut pemimpinnya berlaku adil kepada semua pihak, slogan ini dilindungi jerebu ‘pembakaran kertas-kertas isu’ setiap kali selepas pilihanraya umum.

Sebab itulah saya memilih untuk menjadi non-partisan. Saya boleh mengkritik kedua-dua belah pihak secara bebas sebagai rakyat biasa tanpa memihak kepada mana-mana parti politik sehinggalah saat orang-orang Kelantan berkata ‘kalu nikoh, bule pun buleh suluh, baru nampak jarung nimbe denge jelah, nego pung tak doso’.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment