Sunday, 29 December 2013

Kelab Pewaris Kerajaan Barisan Nasional





Kelab Pewaris Kerajaan Barisan Nasional (KPKBN)

Kelab tersebut di atas telah ditubuhkan dalam bulan Oktober 2013. Di Semerak pendaftaran keahliannya sedang rancak dijalankan. Setakat ini dianggarkan seramai hampir 200 orang sudah didaftarkan sebagai ahli dan kebanyakannya adalah kaum belia. Saya dimaklumkan bahawa kelab ini bermula di Pasir Puteh. Keahliannya akan dikembangkan di negeri Kelantan diikuti seluruh Malaysia.

Saya tidak terlibat dengan kelab ini tetapi berminat untuk mengikuti perkembangannya kerana pengerusi KPKBN Kelantan ialah sahabat baik saya iaitu YBhg Cikgu Azmi Mohd Noor, bekas Pengetua SM Selising, Pasir Puteh, Kelantan. Di sini saya ingin terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas kepada beliau diatas usaha yang dilakukannya itu. Ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin tetap terserlah walaupun tidak bertanding dalam pilihanraya yang lalu dan juga tidak bertanding sebarang jawatan parti dalam UMNO Bahagian Pasir Puteh tempuh hari. Kata orang, jatuh ke darat menjadi gunung, jatuh ke laut menjadi pulau.

Walau bagaimana pun oleh kerana saya ialah seorang pengkritik bebas, maka saya tetap akan mengkritik kerasionalan penubuhan kelab ini. Kalau dilihat kepada nama kelab itu sendiri, ianya jelas bahawa kelab ini agak eksklusif hanya untuk mereka yang menyokong UMNO dan BN sahaja secara tidak langsung walaupun syarat penyertaannya terbuka dan tidak disebut bahawa seseorang itu perlu terlebih dahulu menjadi ahli UMNO atau MCA atau MIC atau mana-mana parti komponen BN yang lain.

Disebut juga bahawa terkandung dua peranan atau fungsi besar yang akan dimainkan oleh kelab ini untuk faedah ahli-ahlinya. Pertama, penglibatan ahli dalam koperasi dan kedua, sebagai sebuah yayasan bagi membantu ahli-ahlinya yang layak.

Nampak tujuan penubuhannya agak munasabah dan baik namun sejauh mana ianya akan bertahan tiada siapa yang boleh meramalkannya. Sebuah kelab sepatutnya tidak membawa nama yang ada kaitan secara langsung dengan kerajaan atau mana-mana parti politik. Kelab seperti KPKBN ini sudah tentulah akan dianggap ada kaitan secara langsung dengan kerajaan BN dan parti UMNO. Bila ini berlaku, sambutan orang ramai untuk menyertainya sudah tentulah datangnya hanya daripada orang-orang yang menjadi ahli UMNO atau MCA atau MIC atau lain-lain parti komponen BN atau sekurang-kurangnya generasi muda anak-anak mereka yang belum menjadi ahli UMNO.

Apabila kelab ini wujud sebagai sebuah kelab yang baru bagi membantu BN, maka bertambahlah satu lagi ‘sayap terselindung’ BN. Sebelum ini sudah ada PERKASA yang bukan sahaja dilihat membantu UMNO dan BN secara tak langsung, bahkan dana aktivitinya pun disalurkan oleh UMNO melalui beberapa agensi dibawah kuasa pemerintah. Maka tidak mustahillah jika dana untuk kelab baru ini pun akan juga disalurkan oleh UMNO dan BN nanti.

Saya tidak mahu menyalahkan kelab ini dan peranannya. Sesiapa pun boleh menubuhkan apa sahaja kelab dan daftarkannya. Sesiapa pun juga boleh memohon atau diajak masuk kelab yang ditubuhkan itu. Apa yang ingin saya bahaskan di sini ialah tentang faedah sebenar untuk orang-orang melayu. Kalaulah faedahnya ialah melalui koperasi, kenapa orang-orang melayu perlukan sebuah kelab baru seperti ini sedangkan sudah terdapat banyak koperasi-koperasi yang telah ditubuhkan dan ‘established’?. Tidakkah koperasi-koperasi sedia ada ini sudah lebih dari mencukupi? Kalau faedahnya ialah melalui yayasan, kenapa orang-orang melayu harus mendapatkan bantuan dari sebuah yayasan baru seperti ini sedangkan sudah banyak yayasan-yayasan sedia ada dan ‘established’? Ada yang ditaja oleh kerajaan pusat, ada oleh kerajaan negeri dan ada juga oleh badan-badan bebas atau NGO.

Pada sebuah parti politik seperti UMNO pula, apakah ini menunjukkan bahawa parti ini memerlukan ‘sayap’ baru lagi? Apakah sayap-sayap yang ada tidak mencukupi atau tidak berkesan? Bukankah dalam UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri contohnya, sudah ada Biro Ekonomi untuk membantu kaum bumiputera di Pasir Puteh? Kenapa tugas untuk membantu kaum bumiputera tidak digerakkan melalui biro ini? Apakah tugas untuk membantu petani-petani kecil yang menghadapi kesukaran ketiadaan kalbot di kawasan pasar tani sepertimana dalam keratan akhbar di atas mithalnya, tidak mampu dibantu dan diselesaikan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh yang mana Ketuanya pun menjadi Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, maka tugas ini diambilalih oleh KPKBN? Jika kemampuan membantu petani-petani kecil ini ada pada KPKBN, apakah ada kemungkinan kelab ini boleh juga membantu nelayan-nelayan kecil di Semerak membina sebuah jeti pendaratan bot-bot kecil di Sungai Semerak? Jeti ini telah dijanjikan oleh ADUN Semerak untuk membinanya dengan serta merta selepas PRU13 jika beliau menang dan menjadi wakil rakyat tetapi sampai sekarang tiada sebarang berita disampaikan kepada mereka. Bagaimana juga dengan jalan-jalan kampung yang rosak dan isu baja padi subsidi yang gagal disempurnakan oleh ADUN Semerak itu? Jika kalbot di kawasan pasar tani boleh diselesaikan oleh KPKBN, mungkinkah masalah-masalah lain seperti itu boleh juga KPKBN campur tangan dan selesaikan untuk orang ramai jika mereka menjadi ahli KPKBN?

Dari perspektif lain pula, ini menunjukkan bahawa UMNO gagal membantu kaum bumiputera sehingga mendorong pihak lain menubuhkan sebuah kelab baru untuk tujuan itu. Orang-orang ini masih sayangkan UMNO tetapi tidak diberikan peluang untuk bergerak melalui parti.  Oleh itu, kewujudan sebuah kelab baru seperti ini bolehlah dikatakan untuk kepentingan politik pihak pemerintah sebenarnya, bukan untuk membantu kaum bumiputera orang-orang melayu sepertimana yang diwar-warkan itu. Sebab itulah nama kelab pun tidak boleh diasingkan daripada perkataan BN.

Akhir sekali saya tidak tahulah samada pihak yang menamakan kelab ini sedar atau pun tidak bahawa perkataan ‘pewaris’ itu sudah pun memberi makna dan tanda awal seolah-olah BN akan ‘mati’. Jika mereka sedar, ini bermakna bahawa mereka sudah tahu bahawa BN memang akan ‘mati’ maka sebab itulah perlu dilahirkan segera generasi pewaris ini untuk menghidup dan memulihkan semula BN dengan cara ‘mengumpan’ mereka dengan beberapa faedah melalui kelab seperti ini. Oleh itu, matlamat sebenar dan terakhir kelab ini ialah supaya ahli-ahlinya kekal memangkah lambang dacing dalam pilihanraya yang akan datang. Itulah yang tersirat di penghujung jalan, bukan dengan tujuan yang lain.

Kalau begitu, bukankah PERKASA lebih baik sebagai ganti kepada UMNO? Mengapa hendak disainginya?

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment