Tuesday, 31 December 2013

KRT Cherang Ruku dan Kecurian Kabel Bawah Tanah TM



Kelab Rukun Tetangga atau KRT dan Kecurian Kabel Bawah Tanah TM

Saya ditemui oleh beberapa ahli KRT Cherang Ruku yang sudah lama tidak berpuas hati tentang prestasi kerja Pengerusinya. Mereka meminta supaya saya menulis sesuatu tentangnya.

Kelab Rukun Tetangga atau KRT Pekan Cherang Ruku (Semerak), Pasir Puteh, Kelantan sudah lama wujud tetapi tidak pernah berfungsi dengan betul. Saya difahamkan bahawa saban tahun peruntukan untuk menjalankan aktivitinya diterima tetapi mesyuarat tidak pernah diadakan. Walaupun begitu, tiada siapa yang tahu berapa jumlahnya yang sebenar. Ada yang berkata RM10 ribu setiap tahun, ada yang berkata lebih.

Kalau pun RM10 ribu setiap tahun, orang-orang pekan Cherang Ruku berkata, bayangkanlah kalau dah 10 tahun. Mereka tidak tahu apa yang telah dibuat dengan wang peruntukan itu kerana mesyuarat tidak pernah diadakan untuk dibentangkannya kepada ahli-ahli KRT. Apa yang pernah dilihat hanyalah beberapa pasang ‘walkie talkie’ yang dibawa oleh beberapa ahli KRT Cherang Ruku pada suatu masa dahulu. Itu pun dibawa pada siang hari untuk diletak di atas meja dalam kedai makan sebagai tanda orang yang membawanya diberikan kemudahan dan keistimewaan menggunakannya. Orang-orang kampong sudah tentulah berasa megah dan bangga dapat membawa peralatan atau ‘gadget’ seperti ini dalam poket seluar belakang mereka. Ada juga yang berkata sebahagian daripada peruntukan ini disalurkan juga kepada pemain-pemain badminton Semerak.

Pekan Cherang Ruku merupakan pusat daerah Semerak. Di situlah terdapat banyak kedai-kedai dan tempat orang ramai membeli belah selain daripada balai polis daerah, pejabat pos, pejabat penggawa, pusat kesihatan daerah, sekolah-sekolah, tapak pasar malam, tapak pasar tani dan lain-lain termasuk menara-menara internet. Sepatutnya KRT Cherang Ruku menjadi KRT yang paling utama dan contoh terbaik kepada KRT di kawasan-kawasan lain kerana di situlah terdapat banyak premis-premis dan infra-struktur penting awam. Namun, apa yang terjadi pada hari ini, KRT Cherang Ruku sebaliknya sangat ketinggalan berbanding dengan KRT-KRT lain di kawasan sekitar. KRT-KRT di tempat lain sangat aktif dalam kerja-kerja sosialnya. Contohnya, KRT Telaga Papan.

Ini berlaku kemungkinan disebabkan pengurusan KRT Cherang Ruku tidak ‘efficient’. Mungkin juga kerana tidak jujur dan amanah. Saya tidak mahu menyebut siapa orangnya yang memegang jawatan pengerusi sebab semua orang Semerak sudah tahu.

Saya tidak pasti menteri mana atau jabatan apa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ini. Jadi, saya harap melalui artikel saya ini, ada orang yang boleh tolong panjangkan isu ini kepada pihak yang berkenaan supaya mereka tahu keadaan sebenar. Maka dengan itu diharap sesuatu dapat dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Jika dirasakan perlu menukar pengerusi yang berkaitan, maka jalankanlah usaha itu segera. Apalagi jika benar seperti yang dipercakapkan bahawa peruntukan KRT pernah digunakan untuk maksud-maksud lain yang tidak berkaitan seperti perbelanjaan keatas pasukan badminton atau seumpamanya. Sudah tentulah salahlaku seperti ini termasuk juga dalam jenayah ‘CBT’ dan pihak SPRM boleh dilibatkan kerana peruntukan itu adalah wang kerajaan untuk kepentingan awam, bukan individu.

Janganlah dibiarkan gejala kecurian kabel seperti itu berulang lagi sebagai contoh, sedangkan KRT wujud dan boleh memainkan peranan penting membantu pihak keselamatan dalam menjaga keharmonian masyarakat dan keselamatan kemudahan-kemudahan awam. Jika tidak, ianya seolah-olah KRT sendiri pun mengiakan atau bersetuju dengan pencuri-pencuri itu yang menganggap bahawa kabel TM yang dicuri itu bukan milik kerajaan sepertimana juga pengerusi KRT yang menganggap dana yang diterimanya bukan milik kerajaan.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak

No comments:

Post a Comment