Mati UMNO maka Matikah Melayu?
Ketua Puteri UMNO telah membuat kenyataan secara lantang
dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 Kali ke 67 pada
7hb Disember 2013 bahawa ‘mati UMNO maka matilah melayu’.
Sebagai seorang orang melayu yang sudah berumur 60 tahun,
saya kurang faham apa maksudnya. Apakah ‘mati’ terhadap UMNO itu dimaksudkannya
seperti ‘mati’ orang, maka matinya itu akan ditanam atau dikuburkan buat
selama-lamanya? Atau matinya sementara seperti matinya UMNO dahulu mengikut undang-undang
tetapi dihidupkan semula dengan UMNO Baru?
Sebagai seorang peguam, saya rasa mungkin beliau maksudkan
mati secara teknikal mengikut peruntukan undang-undang. Jika ini yang
dimaksudkannya, saya tidak menyalahkannya tetapi ianya sudah tentu tidak mungkin
berlaku lagi kerana UMNO sudah ada pengalaman pahit mati seperti itu.
Jika mati yang dimaksudkannya itu adalah mati buat
selama-lamanya seperti orang, maka saya tidak bersetuju dengan kenyataannya
itu. Saya anggap kenyataan seperti itu seperti cakap budak-budak yang baru
belajar berpolitik.
Kalau pun UMNO mati, orang-orang melayu mana mungkin mati
kerana mereka akan terus berusaha untuk hidup lagi. Mereka akan berpindah
kepada parti-parti lain yang tidak mati seperti PAS atau PKR atau pun boleh
juga menjadi ‘non-partisan’ seperti saya. Mereka akan berkata, biarlah UMNO
mati kerana matinya pun bukan kerana kami. Mati UMNO kerana pemimpinnya yang
tidak bijak.
Pada masa-masa dahulu kita tidak pernah sekali pun mendengar
ungkapan ‘mati’ yang dipadankan dengan parti UMNO apalagi oleh
pemimpin-pemimpinnya. Sekarang mereka sendiri sudah tergamak memadankan
ungkapan ini terhadap UMNO padahal UMNO dianggap sebagai parti keramat
orang-orang melayu.
Pada hari ini kadang-kadang belum tentu seorang pemimpin
pelapis seperti Ketua Puteri bijak berpidato walaupun beliau berkelulusan
undang-undang dan lancar ucapannya. Kita melihat beliau tidak menghormati
orang-orang lama termasuk pemimpin-pemimpin yang sudah bersara dengan membuat
kenyataan secara terbuka seperti itu. Apalagi jika didepannya ada
bekas-bekas pemimpin UMNO ini yang sudah sangat lanjut usia mereka menunggu mati.
Sudah tentulah mereka pun tidak menyenangi istilah ‘mati’ digunakan di atas
pentas. Amaran sekeras itu bukan selayaknya diberikan oleh pemimpin muda
seperti beliau kerana beliau hanyalah seorang Ketua Puteri bukan Presiden
parti.
Saya berkata begini kerana seperti yang selalu saya katakan dalam
tulisan-tulisan saya sebelum ini bahawa kerja
politik ialah kerja bercakap dan kerja bercakap ialah kerja yang paling mulia
di dalam dunia kerana itulah juga kerja para nabi dan rasul. Tiada pemimpin
dalam dunia yang tidak bercakap. Sebab itu tiada pemimpin dunia yang bisu.
Hari-hari PM kita pun bercakap dalam tv, radio atau pun teks ucapannya
diterbitkan dalam akhbar. Itulah kerja utama mereka. Manakala kerja menulis pula menjadi kerja kedua paling mulia sebab
Al-Quran dihasilkan dalam bentuk tulisan untuk dibaca. Sebab itu walau
sepatah pun orang-orang politik tidak boleh buat silap dalam ucapannya. Jika
tidak, orang akan menegur dan selebihnya orang akan menilai diri pemimpin itu
samada akan terus diberikan peluang untuk naik lebih tinggi atau pun
sebaliknya. Jika dibiarkan kesilapan bercakap ini tanpa diperbetulkan,
akibatnya boleh juga sampai kepada tahap menjejaskan imej parti itu sendiri.
Parti yang sudah semakin menurun sambutan dan sokongannya seperti UMNO akan
ditinggalkan oleh orang-orang melayu untuk mencari alternatif lain.
Ketua Puteri UMNO seharusnya tidak boleh terlalu ‘emotional’
apabila melihat sambutan orang-orang melayu terhadap UMNO semakin berkurangan
terutamanya kaum muda. Beliau sepatutnya berfikir dan bercakap secara rasional
termasuk juga mendapatkan nasihat dari orang-orang lama sebelum membuat ucapan
dikhalayak ramai seperti dalam perhimpunan agung ini. Beliau tidak perlu terlalu
angkuh dan sombong melantangkan suara seolah-olah sudah lama memegang jawatan
itu. Kalau masih budak, buatlah cara budak dan hormatilah orang-orang lama.
Jangan berlagak seperti pejuang sedangkan umur baru setahun jagung. Setiap
istilah yang hendak digunakan hendaklah mengkajinya terlebih dahulu secara
mendalam sepertimana kajian yang dibuat dalam kerjayanya sebagai seorang peguam.
Justeru, ‘mati UMNO' bukanlah isu. UMNO semenangnya bukan
bernyawa dan hidup. Yang bernyawa dan hidup ialah orang-orangnya. Tiada
orang-orang melayu maka tiadalah UMNO. Bukan tiada UMNO maka tiadalah
orang-orang melayu.
Khas untuk YB Ketua Puteri UMNO:
Maaf menegur. Saya menegur kerana saya menganggap anda
seperti anak-anak saya yang sebaya usia mereka dengan anda. Saya mulai
menyertai UMNO pada tahun 1983 dengan nombor keahlian 592247. Sekarang saya ‘non-partisan’
kerana hendak menulis secara bebas.
Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
No comments:
Post a Comment