Jalan Sudah Rosak Semula
Saya masih ingat sebelum PRU13 bilamana banyak jalan menjadi
rosak dan berlubang di kawasan saya iaitu Semerak, maka lubang-lubang itu
ditampal dengan bancuhan simen dan batu oleh orang ramai secara sukarela dan
bergotong royong. Jika berkebetulan saya melalui di tempat mereka sedang
melakukan kerja itu, saya terus berhenti dan mengambil gambar untuk dimuatkan
ke dalam blog dan FB saya.
Itu semua dilakukan kerana orang-orang kampong sudah tidak
tahan dengan wakil rakyat PAS yang dikatakan tidak mengambil peduli tentang
jalan-jalan yang rosak itu. Sudah tentulah mereka itu adalah orang-orang UMNO
yang diketuai oleh pengerusi JKKKP dan Ketua Cawangan tempat yang berkenaan.
Saya tidak tahulah dari mana mereka mendapat peruntukan untuk membeli simen dan
batu-batu itu.
Jalan-jalan yang diperbaiki dan ditampal dengan simen-simen
itu sekarang sudah mulai rosak semula. Keadaannya sama seperti sebelum PRU13
kerana jalan-jalan ini tidak terlibat dengan proses penurapan semula yang telah
dilakukan sebaik sahaja wakil rakyat BN mengambilalih kuasa pada PRU13.
Sebelum ini saya ada menulis tentang jeti untuk
nelayan-nelayan kecil yang dijanjikan oleh wakil rakyat BN tetapi sampai
sekarang belum ditunaikannya lagi. Jika penurapan jalan ini pun termasuk juga
dalam senarai yang dijanjikan, maka isu ini menjadi perkara kedua yang
ditunggu-tunggu oleh orang ramai.
Dalam kaitan ini saya tidak boleh meramalkan apa pula yang
akan dilakukan oleh orang-orang PAS jika jalan-jalan yang rosak itu terus dibiarkan.
Mungkinkah mereka akan bertindak sepertimana orang-orang UMNO dulu? Mungkinkah
mereka akan bergotong royong membaikinya juga dan bila saya melaluinya mereka
akan menahan saya supaya mengambil gambar dan muatkannya ke dalam blog dan FB
saya juga?
Saya harap ianya tidak berlaku seperti itu. Wakil rakyat BN
harus membuktikan bahawa beliau lebih peka dan pro-aktif berbanding wakil
rakyat PAS terdahulu. Jika tidak, sekali lagi orang-orang Semerak akan berkata
bahawa wakil rakyat BN ini hanya pandai menabur janji pilihanraya sahaja tetapi
tidak mampu menunaikannya. Sekali lagi juga mereka akan menggelarkan wakil
rakyat BN ini sebagai ‘TWP’. Maka tidak mustahil mereka akan berbalik semula
kepada tabiat lama mereka menyokong parti lawan dalam PRU14 nanti.
Berbalik semula kepada isu jeti yang dijanjikan itu. Sebagai
contoh, orang-orang Semerak tidak lupa kepada jasa besar YBhg Datuk Hj
Kamaruddin Md Nor semasa beliau menjadi wakil rakyat BN DUN Semerak. Walaupun
tempuh perkhidmatannya singkat (tak sampai satu penggal kerana beliau menang
melalui PRK), namun beliau berjaya membawa pulang peruntukan berjumlah puluhan
juta ringgit untuk membina sebuah jambatan merentangi Sungai Semerak.
Orang-orang Semerak sangat memerlukannya untuk menyeberangi ke Tok Bali bagi
menggantikan jambatan sedia ada yang sudah rosak kerana jambatan itu sudah
sangat lama dan diperbuat daripada kayu.
Maka, saya harap wakil rakyat BN yang baru ini dapat
membuktikan bahawa beliau pun boleh meninggalkan jasa-jasanya juga, bukan lagi
digelar sebagai wakil rakyat yang makan gaji buta dan TWP.
Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penaganalisis dan Pengkritik Bebas
No comments:
Post a Comment