Friday, 13 September 2013

Terbitan Khas

Borang Pendaftaran Calon Pemilihan UMNO Diedar Esok

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Pemilihan UMNO 2013 membuka tirai dengan borang pendaftaran pencalonan mula diedarkan kepada ahli-ahli parti bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bermula esok, 14 September (Sabtu).
pemilihan-umno-kotak-undi-mengundi-pemuda-cawangan-bahagian-pusat
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Datuk Tajudin Harif, borang pendaftaran calon telah dikeluarkan untuk tiap-tiap bahagian dan mana-mana individu yang ingin bertanding dalam pemilihan terbabit boleh mengambilnya.
“Kepada mana-mana ahli UMNO yang merasakan layak, menepati kriteria kepimpinan dan ingin bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini maka bolehlah dapatkan borang pencalonan bermula esok,” katanya kepada UMNO-Online.
Dilaporkan, Ibu Pejabat UMNO telah mengeluarkan pekeliling kepada semua UMNO Bahagian berkaitan makluman pengambilan borang pendaftaran calon yang dikeluarkan bermula 14 September dan tarikh pendaftaran calon adalah pada 21 September 2013 (Sabtu).
Dimaklumkan, kepada mana-mana calon yang ingin bertanding bagi jawatan di peringkat Jawatan Kuasa Bahagian dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian maka borang pendaftaran calon boleh diambil di Pejabat UMNO Bahagian masing-masing sementara bagi mana-mana individu yang ingin bertanding peringkat majlis tertinggi dan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia maka borang pendaftaran calon boleh diambil di Ibu Pejabat UMNO.
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 telah meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan UMNO dengan menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Selain itu UMNO juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baru UMNO dan mengiktiraf sumbangan setiausaha bahagian. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment