Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 11)
PEMILIHAN UMNO: SIAPA PEMIMPIN PILIHAN SAYA?
Gendang pemilihan pemimpin UMNO Oktober ini telah dipalu. Daripada
sekian ramai mereka yang bertanding, saya tertarik kepada beberapa
calon. Antaranya ialah Datuk Mukhriz Mahathir bagi jawatan Naib
Presiden, Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda, Datuk Suraya
Yaacob bagi jawatan Naib Ketua Wanita, dan Datuk Nur Jazlan Mohamed
serta Datuk Saifuddin Abdullah bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Mengapa begitu? Ini kerana saya melihat merekalah barisan pemimpin
pelapis yang mempunyai keupayaan dan wawasan untuk membawa negara ke
depan. Kenyataan ini tidak bermakna saya memperkecilkan keupayaan calon
lain, tetapi saya menegaskan calon-calon inilah yang membuatkan saya
teruja untuk mengikuti pemilihan UMNO kali ini.
Bayangkan
betapa hambarnya pemilihan Naib Presiden UMNO jika Datuk Mukhriz tidak
bertanding? Apakah yang baru yang boleh ditawarkan oleh UMNO tanpa
adanya calon muka baru yang bertanding? Apakah perubahan yang boleh
diharapkan dari UMNO jika sekadar muka lama sahaja yang bertanding? Oleh
sebab itulah saya teruja untuk mengikuti pemilihan UMNO kali ini
apabila Datuk Mukhriz turut memasuki gelanggang untuk bertanding jawatan
Naib Presiden.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya
kerana melihat Datuk Mukhriz sebagai jelmaan bapanya Tun Mahathir. Saya
tegas menyatakan ini adalah tanggapan yang tidak adil pada Datuk
Mukhriz. Jika pun beliau masih dibayangi oleh ayahnya, saya fikir beliau
tetap memahami aspirasi rakyat terkini. Oleh sebab itulah saya mahu
sekali melihat ahli UMNO menerima pencalonan beliau sebagai pemimpin
pelapis parti itu dan sekiranya UMNO terus berkuasa di negara ini, untuk
melihat Datuk Mukhriz menjadi pemimpin negara seterusnya.
Yang
saya harapkan untuk turut juga bertanding di jawatan Naib Presiden
ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed, tetapi tanggapan saya salah. Dalam
pemilihan UMNO tahun 2008, beliau membuat kejutan apabila mengumumkan
untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi kemudiannya terpaksa
menarik diri kerana tidak cukup pencalonan. Tetapi kali ini, tanpa ada
lagi sistem kuota, saya berharap sekali beliau menawarkan diri untuk
bertanding di jawatan Naib Presiden, tetapi kemudiannya hanya mengisi
borang untuk bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi sahaja.
Apapun jawatan yang ditandingi Datuk Jazlan, saya beharap beliau dipilih
oleh seramai 150,000 perwakilan kali ini. Sebagai seorang akauntan,
beliau mempunyai idea baru untuk membawa perubahan kepada UMNO. Rugi
rasanya untuk negara jika pemimpin seperti Datuk Nur Jazlan diketepikan
kerana untuk terus bertahan, UMNO perlukan pemimpin yang mempunyai jiwa
dan roh pemimpin yang dapat memahami tuntutan dan keperluan semasa
rakyat dan negara.
Seorang lagi calon yang bertanding ialah
Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan jawatannya di Majlis
Tertinggi. Berkelulusan dari Universiti Malaya, saya melihat beliau
berkeupayaan untuk meremajakan parti itu dengan menarik minat anak muda
kepada UMNO. Gaya politiknya yang menerima perbezaan pendapat dan
sederhana dalam banyak hal sepatutnya didokong oleh para perwakilan
kerana sikap politik seperti inilah yang diperlukan oleh UMNO untuk
kekal relevan dalam arus politik negara seterusnya.
Begitu
juga dengan YB Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan kita.
Berkelulusan Politik dan Falsafah dari Universiti Oxford, saya melihat
beliau sebagai pemimpin muda yang dinamik, enegertik dan mempunyai idea
yang segar. Seorang kawan memberitahu saya YB Khairy tidak sesuai
menjadi pemimpin pelapis kerana semangat Melayunya yang kurang
disebabkan sikapnya yang liberal. Tetapi saya berhujah sebaliknya; sikap
liberal Khairy itulah kelebihan kerana ini menunjukkan beliau telah
menonjolkan imejnya bukan sahaja sebagai pemimpin UMNO semata, tetapi
juga sebagai pemimpin nasional.
Bagi Wanita pula, saya teruja
dengan tindakan Datuk Suraya Yaacob menawarkan diri sebagai calon Naib
Ketua Wanita. Mengikuti perkembangan politik Wanita UMNO setakat ini,
saya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang mendekati rakyat.
Berkelulusan dalam bidang undang-undang, saya melihat Datuk Suraya
sebagai seorang yang aktif melaporkan aktiviti hariannya bersama rakyat
melalui facebook beliau. Sikap beliau menunjukkan tahap kepekaannya yang
tinggi kepada isu-isu masyarakat dan negara. Oleh itu saya lega apabila
beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita
kerana beliau adalah antara pemimpin yang saya harap memainkan peranan
untuk memacu Malaysia ke depan.
Bagi saya, melihat politik
Malaysia ke depan, nama-nama yang saya sebutkan ini adalah antara
barisan pemimpin UMNO yang dapat menyaingi kehebatan barisan pemimpin
pembangkang seperti YB Nurul Izzah Anwar, YB Rafizi Ramli—kedua-duanya
dari PKR, Salahuddin Ayub dari PAS dan Tony Pua, Anthony Loke dan Lim
Guan Eng dari DAP.
Jikalah saya mempunyai kelayakan untuk
mengundi, saya pasti akan mengundi pemimpin ini. Jikalah juga saya
mempunyai upaya membuat keputusan, saya ingin sekali melihat kesemua
pemimpin pelapis Malaysia yang hebat ini—sama ada dari UMNO atau
pembangkang bersatu di kemudian hari untuk membangunkan negara ini.
Mungkinkah!
No comments:
Post a Comment