23 Tahun PAS Memerintah Kelantan
23 Tahun BN Gagal Menawan Kelantan
Kedua-dua ayat di atas itu sama maknanya bagi rakyat negeri Kelantan. Yang tak sama ialah negeri-negeri lain yang diperintah BN rakyatnya boleh menikmati kemudahan pembiayaan pelbagai projek, sedangkan negeri yang tidak, sebaliknya.
Kedua-dua ayat di atas itu sama maknanya bagi rakyat negeri Kelantan. Yang tak sama ialah negeri-negeri lain yang diperintah BN rakyatnya boleh menikmati kemudahan pembiayaan pelbagai projek, sedangkan negeri yang tidak, sebaliknya.
Saya bukan menulis di sini hanya
sebagai rakyat negeri Kelantan, tetapi saya menulis juga sebagai rakyat
Malaysia. Jika sikap saya hanya sebagai rakyat Kelantan, sudah tentu saya sudah
berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak perlu menulis artikel ini.
23 Tahun sudah berlalu. 23 tahun
jugalah rakyat Kelantan tidak pernah merasai pembangunan sepertimana rakyat
negeri-negeri lain nikmatinya. 23 tahun jugalah rakyat Kelantan telah bersabar dan
berjuang untuk mendapatkan hak mereka.
Mahu tidak mahu negeri Kelantan
ketinggalan. Jika negeri-negeri lain ada banyak pembangunan infra-struktur,
negeri Kelantan tidak pun punyai lebuhraya yang setanding sejak sekian lama.
Jika negeri-negeri lain ada banyak peluang pekerjaan untuk rakyatnya, negeri
Kelantan tidak pun punyai kilang-kilang yang besar atau pelabuhan untuk menampung
keperluan rakyatnya yang menganggur.
Sampai bila rakyat Kelantan hendak
dianaktirikan? Sampai bila rakyat negeri Kelantan hanya melihat negeri-negeri
lain maju sedangkan negeri sendiri tidak tahu bila akan dimajukan?
Jangkamasa 23 tahun sudah lebih untuk
menginsafkan semua pihak terutamanya pihak pemerintah negeri Kelantan sendiri
bahawa tahun ke-24 sudah semakin melampau jika dibiarkan keadaan ini
berlanjutan. Jangkamasa 23 tahun juga sudah lebih untuk menginsafkan pihak
pemerintah negara bahawa rakyat Kelantan pun berhak diberikan apa yang
sepatutnya dinikmati seperti rakyat negeri-negeri lain juga.
Oleh itu, kedua-dua pihak harus
memulakan langkah-langkah baru untuk tidak terus membiarkan rakyat Kelantan
dinafikan hak mereka. Kedua-dua pihak harus mula bertemu dan berbincang secara
serious sebelum rakyat Kelantan terus menerima akibat hanya disebabkan
perbezaan politik. Rakyat Kelantan adalah rakyat Malaysia juga, sama dengan
rakyat negeri-negeri lain yang sudah lama diberikan peluang menikmati hak-hak
mereka.
Untuk langkah ini, saya secara
peribadi ingin menyeru supaya pihak kepimpinan kerajaan negeri Kelantan
terlebih dahulu memulakan perubahan sikap. YAB Menteri Besar negeri Kelantan
harus mengepalai usaha kearah memperbaharui sikap pemimpin-pemimpin yang lain
dalam hal ini. Rakyat negeri Kelantan pula harus menyambut baik dan menyokong
di belakang.
Tidak guna kita hidup dalam keadaan
ini berpanjangan dan berterusan. Berbeza pendapat dalam soal politik tidak apa, tetapi
kemajuan harus jangan disekat. Jika sekatan ini disebabkan Kelantan diperintah
oleh PAS, maka kepimpinan negeri harus melepaskan sekatan ini dengan cara-cara
yang memungkinkan sekatan ini dilepaskan. Ini boleh dicapai jika kerajaan
negeri Kelantan mengutamakan kesejahteraan rakyatnya melebihi kepentingan
politiknya.
Rakyat Kelantan majoritinya melayu.
Rakyat Kelantan majoritinya bersaudara. Mereka tinggal sekampong dan ziarah
menziarahi diantara satu sama lain terutamanya pada waktu ada kematian atau
kenduri kahwin.
Oleh itu, baik pihak pemerintah pusat
mahu pun negeri, janganlah lagi membiarkan rakyat Kelantan teraniaya
berpanjangan. Mereka tidak punyai apa-apa sedangkan pemerintah kedua-dua pihak pusat dan negeri
hidup selesa dan mewah dengan pelbagai kemudahan dari kerajaan yang mandatnya dari rakyat ini juga.
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
No comments:
Post a Comment