Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 12)
Semalam
saya menulis tentang lawatan Obama ke Malaysia. Dalam tulisan tersebut
saya menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya saya tidak bersetuju
dengan kenyataan kedatangan Obama "sebagai satu malapetaka buat
Malaysia." Saya juga menceritakan pengalaman buruk saya dengan imigresen
Amerika dan tidak suka dengan negara itu. Pun begitu, saya katakan kita
jangan hanya melihat AS dari sisi negatifnya sahaja, lihat juga dari sisi positifnya.
Lebih lanjut saya menyatakan jangan hanya menyatakan AS sebagai punca
semata kepada kekecohan yang berlaku di negara-negara Islam. AS hanya
mengambil kesempatan daripada kekecohan yang berlaku di negara Islam
untuk campur tangan akibat dari sengketa sesama Islam di negara
berkenaan. Inilah yang berlaku di semua negara yang saya nyatakan dalam
tulisan.
Apabila saya menulis demikian ramai sahabat yang
marahkan saya. Mulanya saya 'cool', biasa sahaja tanpa mengikuti
komen-komen yang diberikan. Tetapi apabila ada komen sahabat yang
menyentuh soal akidah, menyatakan saya mula anti Islamis dan
seumpamanya, saya rasa 'terpanggil' untuk segera membalas hujah
berkenaan.
Adakah betul saya anti kumpulan Islamis? Saya tidak
anti kumpulan Islam. Tetapi yang saya lawan ialah mereka yang
berselindung di sebalik nama Islam untuk mengukur akidah seseorang dan
suka menghukum alim lebai seseorang. Saya melihat politik seperti ini
politik silam yang tidak harus diulangi lagi.
Saya bersetuju
dengan komen bahawa AS adalah negara samseng, negara jahat dan zalim.
Saya sepakat dengan kenyataan tersebut tanpa ragu. Cumanya dalam konteks
kehidupan bernegara, saya amat dengan tidak bersetuju dengan kenyataan
kedatangan Obama membawa malapetaka.
Mengapa begitu? Inilah
kesedaran dan fahaman politik yang cuba saya bawakan. Dalam apapun
tindakan kita tentang politik, utamakan kepentingan negara bukannya
kepentingan parti. Oleh sebab itulah, dalam komen balas saya, saya
tanyakan persoalan ini: Apakah jika PR membawa Obama ke sini, maka kita
juga akan anggap kedatangan Obama suatu malapetaka buat Malaysia? Jika
Obama itu malapetaka, mengapa selepas tidak berpuas hati dalam pilihan
raya yang lepas, kita menulis kepada Obama? Semudah itu sahaja hujah
saya.
Saya hujahkan begini supaya kita konsisten dalam
perjuangan. Jangan hanya AS dan Obama baik apabila ia memenuhi
kepentingan politik kita dan sebaliknya apabila ia tidak membawa manfaat
kepada politik kita. Sekadar itu pun, hujah saya, soal akidah dan
lainnya dikaitkan. Itulah yang saya tentang, bukannya saya menentang
perbezaan pendapat antara kita dan sesama kita.
Saya akui ada
juga sahabat yang menganggap kedatangan Obama sebagai malapetaka atas
andaian kedatangan beliau adalah untuk mendesak Malaysia menandatangani
TPPA. Saya sudah menulis tentang TPPA sebanyak dua kali memberikan
pandangan saya. Dalam hal TPPA, saya tidak melihat Obama boleh memaksa
kita menandatangani TPPA secara 'shotgun signature' jika kita tidak mahu
menandatanganinya. Maka saya tegaskan jika negara kita menandantangi
TPPA, jangan salahkan Obama yang datang, tetapi salahkan pemimpin kita
yang menandatanganinya.
Sahabat, jujur saya akui saya habiskan
masa semalaman untuk menjawab balas komen sahabat. Itu adalah kali
pertama saya lakukan sejak menulis dalam fb menjelang PRU ke-13 yang
lepas. Saya menjawabnya di sela-sela waktu saya menyiapkan kertas kerja
saya untuk pembentangan pada Sabtu ini.
Dalam komen sahabat
kepada tulisan saya dan komen balas saya, mungkin ada kekasaran. Jika
itu yang berlaku dan saya menyinggung hati kawan-kawan, maaf saya pohon.
Begitupun, dari segi hujah, saya kekal mempertahankannya.
Jam 5
petang ini saya sekali lagi bertolak ke seberang laut. Saya balik pada
awal minggu depan dengan posting yang lain pula. Sehingga itu, saya
mohon doanya.
No comments:
Post a Comment