Tuesday, 3 September 2013

Terbitan Khas


Sikap Politik Saya

Ramai juga kawan-kawan saya bertanya mengapa saya mengambil keputusan meninggalkan parti UMNO dua hari selepas PRU13 yang lalu sedangkan calon BN di DUN saya menang. Kata mereka, biasanya seseorang ahli UMNO tidak akan mengambil tindakan seperti ini selepas calon partinya menang.

Saya menjawab bahawa saya mengambil keputusan itu kerana saya tidak lagi mahu terlibat dalam sebarang aktiviti kepartian, baik UMNO mahu pun parti-parti lain. Ianya tiada kena mengena dengan siapa menang siapa kalah dalam PRU13 baru-baru ini kerana saya sedikit pun tidak terlibat dalam gerakerja parti untuk PRU13 itu. Oleh itu, menang atau kalah calon parti UMNO baru-baru ini di tempat saya tiada kena mengena atau kaitan dengan keputusan yang telah saya ambil itu.

Selain daripada itu, selepas membuat keputusan itu saya dapat merasakan kepuasan dalam hobi saya iaitu menulis. Tiada lagi rasa tersekat disebabkan saya ahli UMNO. Saya juga sudah mula didampingi oleh lebih ramai kawan-kawan dari parti lain seperti PAS dan PKR kerana saya telah berkata sebelum ini bahawa apabila saya menjadi ‘non-partisan’, saya tidak lagi kisah siapa kawan saya asalkan sahaja mereka hendak berkawan dengan saya.

Ada juga yang bertanya bagaimana hubungan saya dengan beberapa orang kawan-kawan saya di KL itu. Maksud mereka kawan-kawan saya yang terdiri daripada orang-orang kenamaan dan berpengaruh yang sudah lama saya kenali itu. Saya berkata, mereka pun sama seperti saya. Mereka tidak kisah dan tidak pernah mencampuri urusan peribadi saya. Hubungan kami sebagai kawan tetap juga sama walaupun sikap politik saya sudah berubah.

Saya tahu mengapa mereka mengetengahkan persoalan itu. Mereka menyangka selama ini saya berkawan dengan kawan-kawan seperti itu dengan tujuan lain. Mereka tidak tahu saya berkawan sudah lama dengan mereka ini tanpa sebarang unsur-unsur lain kecuali semata-mata persahabatan biasa sahaja. Sudah tentulah ramai orang menyangka sebaliknya kerana bukan senang untuk berkawan rapat dengan mereka yang seperti itu, tambahan pula bukan seorang tetapi ramai.

Saya tidak nafikan mungkin orang yang pandai mencari peluang sudah lama menjadi kaya raya apabila berpeluang berkawan rapat dengan orang-orang seperti kawan-kawan saya itu. Saya pun pernah diperli oleh seseorang yang berbangsa cina bahawa saya terlalu ‘lurus’ dan ‘jujur’ kerana tidak pernah mahu ‘mencuri’ peluang berkawan dengan mereka.

Dengan mesej dalam blog saya kali ini, ingin saya tekankan sekali lagi bahawa itulah keadaan dan suasana yang ada pada masa ini berbanding dengan sikap orang dulu-dulu. Nampak sahaja sesiapa yang berkawan dengan ‘orang-orang besar’, maka disangkanya ‘kabel’ sudah ada untuknya mencari peluang melalui orang itu. Ada yang datang meminta pertolongan kerja untuk anaknya, ada yang meminta lobi projek, ada yang meminta bantuan dan ada yang minta diperkenalkan sahaja.  Saya hanya layan mereka yang hendak berkawan seperti saya sahaja. Yang hendakkan projek atau lain-lain saya tidak pernah layan kerana sepatutnya mereka sedar bahawa saya sendiri pun tidak pernah mendapat sebarang projek yang boleh membuatkan saya menjadi kaya raya.

Berbalik kepada keputusan saya itu, itulah signal dan contoh yang ingin saya tunjukkan kepada semua ahli UMNO di Pasir Puteh. Bagi seseorang yang lain, sudah tentulah apabila calon dari partinya menang, beliau akan menjadi lebih rapat dengan calon yang menang itu kerana itulah peluang untuk ‘menambah rezeki’. Saya pun boleh lakukannya juga, bahkan lebih dari yang lain-lain kerana sayalah diantara orang yang paling awal rapat secara peribadi dengan calon yang memang itu sewaktu beliau bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat Bahagian dulu. Ini adalah kerana saya telah banyak membantunya dengan menulis beberapa artikel pada masa itu dan menyebarkannya ke seluruh perwakilan. Kesan tulisan dalam artikel-artikel saya itu hampir pun menyebabkan saya disaman untuk dibawa kemahkamah tetapi ianya tidak diteruskan kerana semua risalah terbuka saya itu tiada satu pun yang mengandungi unsur-unsur fitnah dan menyentuh peribadi kecuali hal-hal politik dan kepimpinan sahaja.

Sebagai rumusan, diharap kawan-kawan saya yang masih berada di dalam UMNO, sokong dan bekerjalah untuk parti itu jika dirasakan parti itu masih lagi sebuah parti yang benar-benar dipimpin oleh mereka yang tidak berkepentingan diri.

Saya tidak lagi melihatnya seperti itu, sekurang-kurangnya buat pada masa ini. 

Dari,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment