Apabila YAB Dato’ Sri PM merangkap Presiden UMNO berkata pada 31hb Oktober 2014 bahawa UMNO Selangor lembab dan itulah sebabnya maka Selangor masih belum dapat ditawan, orang-orang Kelantan tidak perlu merasa apa-apa. Yang merasakannya ialah orang-orang UMNO Selangor sahaja. Orang-orang UMNO Kelantan tidak terlibat dengan teguran YAB Dato’ Sri Presiden itu kecualilah jika beliau menyebut UMNO semua negeri yang diperintah oleh parti pembangkang lembab.
Saya
tidak tahu mengapa hanya kepada UMNO Selangor sahaja beliau berkata begitu
seolah-olah UMNO negeri-negeri lain yang diperintah oleh parti pembangkang
tidak lembab. Apakah
Kelantan yang hampir memasuki tahun ke-25 diperintah oleh parti PAS, UMNO
Kelantan tidak lembab?
Saya
mempunyai pendapat yang hampir sama atau selari dengan YAB Dato’ Sri Presiden UMNO dan saya
yakin beliau sebenarnya tidak bermaksud bahawa UMNO negeri-negeri lain tidak
lembab. Sebagai permulaan sahaja, beliau berkata UMNO lembab di negeri
Selangor. Selepas ini, beliau mungkin akan membuat lawatan kerja ke
negeri-negeri lain termasuk Kelantan dan berkata di Kelantan bahawa UMNO
Kelantan pun lembab juga, bahkan lebih teruk lembabnya dari UMNO Selangor.
Apabila
kita membicarakan tentang lembab atau tidaknya UMNO di negeri-negeri yang
diperintah oleh parti pembangkang, kita tidak boleh lari dari satu hakikat
bahawa bukan UMNO itu yang lembab sebenarnya. Yang lembab itu ialah
kepimpinannya iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO setiap negeri yang berkenaan itu.
Yang lembab itu ialah barisan kepimpinan di bawah Pengerusi Perhubungan setiap
negeri yang berkenaan itu. Yang lembab itu ialah Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan
jentera bawahan setiap negeri yang berkenaan itu. Yang lembab itu ialah
petugas-petugas diperingkat akar umbi setiap negeri yang berkenaan itu.
Bagaimana
kita hendak berkata sebaliknya jika seorang Ketua Bahagian merangkap ADUN tidak
pernah pun mendekatkan dirinya dengan rakyat diperingkat akar umbi? Usaha
‘turun padang’ yang menjadi asas kekuatan politik tidak pernah diambil peduli
oleh Ketua-Ketua Bahagian walaupun teriakan demi teriakan dilaungkan oleh
kepimpinan pusat terutamanya oleh YAB Dato’ Sri Presiden sendiri supaya usaha
ini dipergiatkan bahkan dilipatgandakan pada setiap masa.
Saya
tidak mahu menafikan bahawa isu-isu politik ada memainkan peranannya secara
‘substantial’ dalam menentukan samada sokongan terhadap UMNO bertambah atau
sebaliknya berkurangan. Namun isu-isu politik sentiasa berubah. Adakalanya
timbul dan adakalanya tenggelam. Isu-isu politik ini ada yang boleh dikawal dan
ada yang tidak. Itu sebahagian daripada kaedah dan cara orang ramai membuat
ukuran dan penilaian terhadap sesebuah parti politik itu. Bahagian yang lain
pula ialah orang ramai melihat dan menilai terhadap sesebuah parti yang ingin
diberikan sokongan. Mana satu parti yang disukai bergantung juga kepada sejauh
mana kemampuan parti itu menghadapi masalah dalamannya.
Saya berkata begini
kerana parti-parti lain pun ada masalahnya seperti UMNO juga.
Dasar
dan matlamat sesebuah parti politik sudah tentu bunyinya pun berlainan berbanding
parti-parti yang lain. Dasar parti UMNO sudah tentulah berbeza dengan dasar
parti PAS. Dasar UMNO membawa prinsip nasionalisma manakala dasar PAS membawa
prinsip keIslaman. Inilah yang telah memisahkan kedua-dua parti terbesar
orang-orang melayu di tanah air kita ini sejak sekian lama.
Orang-orang melayu
yang kononnya alim dan warak menyertai PAS manakala yang tidak menyertai UMNO.
Maka berbalah dan bermusuhanlah orang-orang melayu hanya semata-mata kerana
perbezaan ideologi ini. Orang-orang UMNO tiada masalah berjemaah dengan imam
UMNO dan PAS dimana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja tetapi
orang-orang PAS menolak imam UMNO mentah-mentah dari dulu lagi. Suasana ini
dibiarkan oleh kepimpinan kedua-dua parti ini sudah sekian lama sehinggalah
kepada peringkat menguruskan jenazah termasuk pengkebumiannya.
Sekarang,
zaman sudah semakin berubah. Kepimpinan UMNO nampak sudah semakin bersedia
untuk menerima semula PAS sebagai rakan kongsi atau sekurang-kurangnya sebagai
kawan. Begitu juga dengan kepimpinan PAS. Sudah ada tanda-tanda ketaksuban
mereka mulai reda dan faham bahawa perpecahan orang-orang melayu boleh
menguntungkan pihak yang lain. Jika perpecahan dibiarkan berterusan, tidak
mustahil satu hari nanti bangsa melayu sendiri pun hilang. Apabila melayu
hilang, sudah tentu hilanglah juga agama Islam dari negara ini atau
sekurang-kurangnya tidak lagi menjadi agama rasmi negara.
Oleh
itu, bagi saya UMNO dan PAS sama sahaja. Kalau pun UMNO tidak meletakkan Islam
sebagai asas perjuangan partinya, namun perjuangannya masih juga betul selagi
pemimpinnya tidak keterlaluan sehingga melanggar larangan agama. Begitu juga
terhadap parti PAS. Tidak bermakna dasarnya jika pemimpinnya tidak mahu
berusaha kearah menyatupadukan umat Islam negara ini seolah-olah perpaduan
ummah bukan sesuatu yang penting dan dituntut dalam agama. Menjaja kesana
kemari kata-kata ‘aku sahaja yang betul, semua orang lain salah maka orang kena
ikut aku’ adalah kata-kata yang sudah tidak lagi laku walaupun dilelong di pasar
minggu pada masa ini.
Berdasarkan
kepada inilah, mungkin agaknya inilah sebabnya maka YAB Dato’ Sri Presiden UMNO
belum lagi mahu mengkritik UMNO negeri-negeri lain terutamanya UMNO Kelantan.
UMNO Kelantan berdepan dengan PAS sebagai lawan utamanya sedangkan UMNO Selangor berdepan dengan PKR sebagai lawan utamanya.
Jika UMNO Kelantan berdepan dengan PKR juga sepertimana UMNO Selangor, saya
yakin YAB Dato’ Sri Presiden UMNO akan datang ke Kelantan satu hari nanti dan
berkata ‘UMNO Kelantan pun lembab juga, takdak beja minyak gah dengan minyak
bejen’
No comments:
Post a Comment