Monday, 17 November 2014

Pengerusi Perhubungan UMNO / BN Kelantan


Kelantan sudah diperintah oleh PAS selama hampir 25 tahun atau suku abad lamanya. Pada PRU13 yang lalu BN bermati-matian menabur janji dengan berkata bahawa itulah piliharaya yang akan mengubah Kelantan kerana pada kali ini BN betul-betul serious hendak mengambilalihnya. Terbukti ianya tidak berlaku sepertimana yang diinginkan. Padamlah cita-cita dan terkuburlah impian.

Maka rakyat Kelantanlah yang terus dipersalahkan lagi seperti biasa. Pemimpin tidak bersalah. Kata-kata bahawa rakyat Kelantanlah yang kononnya menolak dan tidak mahukan pembangunan terus kedengaran. Sebab itu maka sampai hari ini Kelantan tidak dimajukan sepertimana negeri-negeri lain di pantai barat semenanjung. Jalanraya atau lebuhraya tidak diberikan keutamaan yang serious. Landasan keretapi dan kocnya masih ditahap lama dan tidak dinaiktarafkan. Tok Bali tidak dimajukan secara pesat sepertimana sewajarnya. Rakyat Kelantan pun dihukum lagi seperti anak tiri walaupun tempuh hukuman yang telah berjalan ialah 25 tahun bersamaan dengan tempuh kebiasaan hukuman penjara seumur hidup keatas banduan yang melanggar undang-undang dengan melakukan jenayah berat. Tidak diketahuilah sampai bila banduan ini akan terkurung kecuali pengampunan diraja diberikan.

Itu semua dari satu sudut secara umum untuk membayangkan betapa kuasa politik memainkan peranannya yang sangat berkesan dalam memajukan sesebuah negeri atau kawasan. Saya faham dan akur dengan kehendak pemimpin BN yang seolah-olah memberikan signal bahawa jika Kelantan hendak maju maka Kelantan hendaklah diberikan kepada BN. Selagi ianya berada ditangan PAS, selagi itulah negeri ini tidak akan merasa kemajuan dan pembangunan setaraf dengan negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN. Maka menderitalah lagi rakyat Kelantan termasuk orang-orang UMNO dan BN.

Dari satu sudut yang lain pula atau ‘from the other side of the coin’ yang orang selalu lupa, sebenarnya bukan semua daerah tidak maju disebabkan tekanan politik ini. Salah satu daerah yang pesat membangun secara senyap ialah Jeli. Dulu Jeli sangat ketinggalan berbanding dengan daerah-daerah yang lain tetapi membangun apabila ahli parlimennya ialah seorang menteri. Menteri ini adalah juga pengerusi perhubungan UMNO dan BN negeri.

Menteri ini sudah lama dilihat tidak begitu memperdulikan daerah-daerah yang lain. Baginya, pembangunan harus diberikan keutamaan kepada daerahnya sendiri sahaja. Daerah-daerah lain dibiarkan kerana apa yang penting baginya ialah pembangunan di daerahnya sendiri kerana itulah faktor utama yang membolehkannya memenangi pilihanraya untuk terus menjadi menteri.

Sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini bahawa sudah sampai masanya Kelantan mempunyai pengerusi perhubungan negeri yang baru dan adil. Pengerusi yang baru ini hendaklah orang yang mengutamakan keseluruhan negeri bukan daerahnya sahaja. Inilah sahaja caranya jika BN hendak mengambilalih negeri Kelantan pada PRU yang akan datang.

Jika pengerusi lama masih dikekalkan lagi sehingga PRU yang akan datang ini, apa yang boleh diharapkan hanyalah datang berkunjung sekali sekala ke rumah Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang lain sahaja. Berbual-bual dan makan nasi sahajalah hasilnya. Negeri Kelantan tetap dibawah PAS dan beliau pun tidak mengambil kisah kerana beliau masih boleh menang dan menjadi menteri kerana peruntukan pembangunan untuk daerahnya sentiasa dibawa balik dan bertambah dari masa kesemasa demi memperkukuhkan sokongan rakyat kepadanya secara peribadi, bukan kepada parti. Mempamerkan banyak gambar dalam Faebook melawat pengundi dalam daerah sendiri hanyalah kepura-puraan kerana itu bukanlah kerja utamanya selaku pengerusi perhubungan. Kerja utamanya ialah membantu daerah-daerah yang lain secara menyeluruh dan seimbang serta berkesan sesuai dengan jawatan itu. Beliau sepatutnya menjadi ‘Menteri Besar’ Kelantan bagi pihak BN.

Itulah ‘roma’ sebenar pengerusi perhubungan UMNO dan BN Kelantan hari ini. Beliaulah yang sepatutnya dipersalah dan dipertanggungjawabkan apabila Kelantan masih tidak boleh diambilalih pada PRU13 yang lalu, bukan rakyat Kelantan seperti saya yang tidak punyai apa-apa kepentingan.

‘Last but not least’, jikalau ditanya kepada saya siapa orangnya yang lebih layak dan adil, saya akan menulis lagi. Namun, veteran UMNO Kelantanlah yang  seelok-eloknya dijadikan tempat rujukan kerana mereka lebih tahu dan tidak ada kepentingan politik kecuali mahukan supaya Kelantan diambilalih oleh BN semata-mata.

No comments:

Post a Comment