Buat sementara saya sudah habis menegur dan mengkritik pucuk kepimpinan perhubungan UMNO / BN Kelantan. Sekarang saya hendak menegur dan mengkritik kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian pula.
Namun, tidak banyak yang
boleh saya perkatakan tentangnya. Ini kerana kalau pun saya menyebut tentang
kelemahan-kelemahan UMNO Bahagian, saya hanya mengulangi perkara yang sama
sahaja. Orang pun sudah tahu dan letih serta jemu membacanya terutamanya
mengenai kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Oleh itu, lebih baik saya
menyentuh sedikit tentang UMNO Cawangan pula kerana Cawangan ialah ‘grass root’
dan ‘foundation’ politik kepartian.
Di tempat saya, masalahnya
masih lagi sama. Kepimpinan dan jentera parti di peringkat ini masih tidak
berubah dan berada di takuk lama dari segi strategi pendekatan berpolitik.
Mereka masih mengamalkan sikap lama membawa perasaan sebagai ‘orang penting
parti’. Sikap dan ego mereka jelas dilihat dari cara mereka bergaul dengan
orang ramai termasuk mereka yang baru pertama kali diberikan jawatan parti atau
jawatan politik dibawah JPP. Bila ada majlis pembahagian bantuan beras oleh
parti kepada orang ramai contohnya, ada Ketua Cawangan dilihat lebih mementingkan
diri sendiri. Beras yang diambil bukan satu seperti orang-orang lain tetapi dua
tanpa segan dan silu walaupun beliau ialah imam sebuah madrasah. Mungkin dalam
hatinya dia berkata ‘aku kena ambil dua sebab aku Ketua Cawangan’. Maka mereka
yang tidak mendapatnya pun berkata ‘ambo tak heran boko berah ssupik jah tugak,
ambo buleh beli ehh’ dan itulah saat berputiknya perasaan membenci kepada
kepimpinan Cawangan dan parti.
Diperingkat wanita pula,
jentera utamanya suka mengamalkan sikap pilih kasih. Jika ada apa-apa program
atau majlis yang menghendakkan kehadiran ahli wanitanya, hanya mereka yang
rapat dengannya sahaja disampaikan makluman dan jemputan. Mereka yang lain
ditinggalkan kerana dianggap sebagai ‘bukan orang kita’ walaupun orang itu
sudah menjadi ahli UMNO jauh lebih dulu darinya sejak berpuluh-puluh tahun yang
lalu. Contoh terbaru ialah program asyura dimana hanya ‘orang-orang kita’
sahaja diberikan makluman dan jemputan.
Amalan ini ‘menjauhkan parti dari orang ramai’, bukan ‘menjauhkan orang ramai dari
parti'. Mereka menjadikan parti UMNO seolah-olah seperti hakmilik atau syarikat
peribadi mereka. Apa sahaja dikawal mereka dengan sesuka hati. Akibatnya sudah
ada yang datang mengadu kepada saya tentang perkara ini dan pengadu yang datang
itu sudah membuat keputusan untuk tidak lagi mahu aktif bersama-sama membantu
pemimpin Cawangan dan Wanita. Saya sekadar berupaya untuk menasihatkannya supaya
bersabar dan berehat. Perasaan marah yang keterlaluan tidak membawa sebarang
kebaikan bahkan boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat.
Apa yang boleh saya buat ialah menulis sesuatu dalam blog saya ini dan berharap
kepimpinan parti diperingkat pusat melakukan sesuatu untuk memperbetulkan
semula sikap mereka setelah membaca artikel saya ini.
Jika nasihat dan arahan dari
kepimpinan pusat pun mereka tidak mahu pakai, saya rasa biarkanlah mereka
dengan sikap mereka itu. Membina bangunan pencakar langit pun jauh lebih mudah berbanding
membina sikap manusia.
Mereka ghairah berebut
jawatan semata-mata kerana imbuhan bukan ikhlas untuk berkhidmat. Mereka merasa
istimewa atau ‘privileged’ mendapat jawatan tetapi tidak tahu atau tidak pernah
diajar supaya berlaku adil dan saksama terhadap ahli-ahli UMNO dari semua
peringkat. Pada kebiasaannya orang-orang seperti ini tidak pernah pun menyimpan
perlembagaan parti, jauh sekali untuk membaca dan menghayati lalu mengamalkan
apa yang terkandung di dalamnya.
Kesan dari dasar transformasi
banyak berlaku keatas badan-badan kerajaan dan agensinya tetapi tidak keatas
UMNO sendiri. Jika dibiarkan, lambat laun proses keatas badan-badan kerajaan
pun akan terbantut atau terencat juga akhirnya kerana UMNO ialah tunjang kepada
sistem politik dan pemerintahan negara. Oleh itu, UMNOlah yang sepatutnya
diberikan tekanan terlebih dahulu untuk ditransformasikan secara menyeluruh dan
awal-awal. Transformasi yang paling penting ialah mendidik dan mengubahsuai
keperluan kearah mewujudkan kepimpinan yang tidak mementingkan diri sendiri
disemua peringkat sekaligus menghapuskan rasuah politik dalam parti itu sendiri
terlebih dahulu.
(Sekadar teguran dari seorang ‘non-partisan’ yang bukan dari
jenis membisu seribu bahasa. Saya akan sentiasa menegur dan mengkritik siapa
sahaja dan dari parti mana pun dari masa kesemasa, jika perlu, secara menulis.
Namun saya lebih berkebolehan menegur parti UMNO kerana saya mula menganggotai
parti ini pada tahun 1983 atau 31 tahun yang lalu sewaktu saya berumur 30
tahun. Pernah menjadi Pegawai Perkhidmatan UMNO Bahagian Pasir Puteh di pejabat
UMNO Bahagian Pasir Puteh dibawah bekas Ketua UMNO Bahagian YBhg Datuk
Kamaruddin Md Nor, pernah menjadi wakil calon pilihanraya umum bagi calon BN
DUN Semerak dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan dibawah bekas Ketua
UMNO Cawangan Kg Gelam Pasir Puteh, YBhg Dato’ Pahamin A. Rajab)
No comments:
Post a Comment