Bagi saya jika UMNO lembab di
Selangor, ianya bermakna UMNO lembab juga di semua negeri-negeri lain
terutamanya negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang. Ini
disebabkan kerana UMNO hanyalah satu dan berpusat. UMNO Selangor dan UMNO
Kelantan contohnya, adalah UMNO yang sama bukan berlainan entiti. Cubit peha
kanan, peha kiri pun terasa juga. Begitu jugalah apabila YAB Dato’ Sri Presiden
berkata bahawa UMNO Selangor lembab, maka UMNO Kelantan pun sepatutnya terasa
juga kerana UMNO Kelantan lebih-lebih lagilah lembabnya.
Setelah ditegur dengan suatu
teguran yang tidak pernah dibuat seperti ini sebelum ini, sepatutnya teguran
ini terus dijadikan sebagai sesuatu yang amat penting oleh semua pengerusi
perhubungan UMNO setiap negeri yang terlibat. Mereka sepatutnya terus memanggil
semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk bermesyuarat dan berbincang tentang
mengapa YAB Dato’ Sri Presiden berkata demikian. Mesyuarat ini harus memberikan
tumpuan kepada segala kelemahan yang ada dan mencari jalan bagaimana hendak
memperbetulkannya dengan segera.
Meneruskan sikap untuk tidak
mengakui kelemahan-kelemahan sendiri adalah sesuatu yang tidak berguna lagi
apabila YAB Dato’ Sri Presiden sendiri pun sudah menyebutnya. Dalam saat-saat
seperti ini, selain mengakui secara jujur dan ‘jantan’, pengorbanan drastik pun
harus juga dilakukan jika perlu. Maksud saya, ini termasuk proses menggantikan
pengerusi perhubungan negeri contohnya jika jawatan ini sudah sampai masanya
orang lain yang lebih berkebolehan pula menjawatnya. Dalam saat-saat seperti
ini budaya bodek dan ampu sudah tidak ada tempatnya bagi mereka yang
mengamalkannya selama ini. Demi parti terbesar orang-orang melayu, seorang
pengerusi perhubungan harus berundur untuk memberikan laluan kepada orang baru
jika terbukti kepimpinannya selama ini tidak membuahkan hasil sepertimana yang
diharapkan. Negeri Kelantan merupakan salah satu daripadanya.
Saya berani berkata bahawa
sudah sampai masanya UMNO Kelantan dipimpin oleh seorang pengerusi perhubungan
yang baru. Pengerusi baru ini hendaklah seseorang dari kalangan mereka yang
berpengalaman dan berkebolehan serta dihormati oleh sebilangan besar ahli-ahli
UMNO Kelantan sendiri. Ahli-ahli ini diwakili oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian.
Orang baru ini juga hendaklah
yang disegani oleh kawan dan lawan. Orangnya hendaklah bersikap sederhana
tetapi tegas dan berani dalam membuat keputusan dan arahan. Tidak mudah tunduk
dan takut kepada tekanan seperti pengerusi yang ada.
Namun, bukan mudah mencari
orang seperti ini. Dikalangan Ketua-Ketua UMNO Bahagian negeri Kelantan, boleh
dikatakan hampir tiada orang yang menepati kriteria seperti yang dimaksudkan
itu. Yang ada ialah orang yang berpura-pura sederhana dalam kehidupannya tetapi
mempunyai rumah bagaikan istana di Kuala Lumpur. Di daerah dimana beliau
menjadi Ketua UMNO Bahagian, beliau tinggal di rumah yang sederhana dan
bergerak kesana kemari keluar masuk kampung hanya dengan kereta Proton sahaja.
Orang tidak tahu kekayaan dan kemewahan sebenar beliau kerana tidak seorang pun
diberikan peluang bertandang ke rumahnya di Kuala Lumpur. Yang dibenarkan pergi
hanyalah kaum kerabat terdekat sahaja dan itu pun dipesannya supaya gambar
rumahnya tidak diposkan ke laman media sosial seperti Facebook atau lain-lain.
Bayangkanlah rumah-rumah dihubungkan dengan jejantas berhawa dingin dan lantai
rumah berkaca tebal kerana di bawahnya ada kolam ikan mewah.
Saya khuatir jika orang
seperti ini dipilih untuk menerajui UMNO Kelantan, nasib UMNO menjadi semakin
parah. Ini kerana orang seperti ini nampak sahaja bekerja dan berkorban untuk
parti tetapi dalam masa yang sama tujuan utamanya ialah untuk mengkayakan lagi
diri sendirinya sahaja. Nampak sahaja berderma di sana sini pada siang hari,
tetapi pada malamnya menghitung dan mengira-ngira bersama isterinya yang
menguruskan perniagaan bagi pihaknya berapa juta pulangan atau untung yang akan
diperolehi jika jawatan dalam parti dapat terus dipertingkatkan lagi. Kalau
sekarang hanya sebagai Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen, sudah tentu dengan
jawatan pengerusi perhubungan menjadi menteri pula.
YAB Dato’ Sri Presiden UMNO
harus berhati-hati dalam soal ini. Kena orangnya maka UMNO menjadi bertambah
baik dengan pertambahan sokongan. Tidak kena orangnya maka UMNO menjadi semakin
dibenci dan ditinggalkan. Hanya YAB Dato’ Sri Presidenlah yang boleh
menentukannya kerana beliaulah satu-satunya orang yang layak membuat teguran itu dan
layak pula untuk menentukan siapa orangnya yang patut menggantikan pengerusi
perhubungan negeri, jika perlu. Jangan bertanya kepada mereka yang menginginkan
atau mengidamkan jawatan itu tetapi tanyalah orang-orang lain termasuk
orang-orang lama iatu kaum veteran seperti saya.
No comments:
Post a Comment