Friday, 28 November 2014

Perhimpunan Agung UMNO 2014 atau PAU 2014


1. 
Saya telah mengikuti Buletin Utama TV3 semalam yang memaparkan sedutan-sedutan ucapan oleh wakil-wakil dari beberapa negeri termasuk wakil dari Kelantan. Semua wakil dari negeri-negeri lain berucap tentang masalah-masalah rakyat tetapi wakil Kelantan agak berlainan sedikit. Beliau mempertahankan sesuatu yang ada kaitan dengan isu AP Kereta Import.

Baguslah kalau setiap orang bercakap tentang sesuatu yang diketahuinya secara mendalam. Yang diharapkan ialah apa sahaja yang berbentuk pembelaan untuk rakyat terutamanya orang melayu. Kalau wakil Terengganu mahukan supaya kawasannya dimajukan, wakil Kedah pula membangkitkan soal kesihatan UMNO yang semakin terganggu pada masa ini. Wakil Pulau Pinang pula tidak berpuas hati apabila adanya menteri kabinet yang memeluk Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu membuat lawatan ke sana. Malangnya, wakil Kelantan membangkitkan sesuatu yang agak janggal.

Rata-rata tahu siapa yang telah menjadi kaya raya dengan kemudahan AP ini. Sumber inilah yang telah membuatkan seseorang itu mampu memiliki rumah banglo yang sangat besar dan mewah nun jauh di Kuala Lumpur yang tidak pernah diketahui oleh rakyat di tempat yang diwakilinya. Sumber inilah juga yang digunakan ke jalan politiknya untuk memenangi jawatan tertinggi Bahagian di tempatnya. Sumber inilah juga yang digunakan ke jalan politiknya untuk memenangi pilihanraya umum yang lalu sebagai Ahli Parlimen di tempatnya.

Oleh itu membela dan mempertahankan sesuatu yang ada kaitan secara langsung dengan kepentingan peribadi mana-mana pemimpin parti adalah sesuatu yang sangat tidak diingini oleh orang ramai. Apalagi jika sesuatu isu itu tidak pun relevan untuk dibawa ke dalam perhimpunan besar seperti ini. Mereka menginginkan pemimpin parti melakukan pembelaan untuk ahli dan rakyat, bukan untuk diri pemimpin itu sendiri.

Inilah barangkali diantara apa yang dimaksudkan oleh wakil dari Kedah itu. Penyakit mementingkan diri sendiri semakin bersarang dan menebal dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO seperti ini. Jika ditegur oleh pemimpin atasan sekali pun, mereka tetap tidak peduli dan tidak merasa apa-apa bahkan sanggup menyebut-nyebutnya lagi dalam ucapan terbuka. Seolah-olah itulah yang diperjuangkan olehnya untuk ahli-ahli UMNO di tempatnya selaku Ketua UMNO Bahagian dan juga untuk rakyat di tempatnya selaku Ahli Parlimen.

Itulah wakil Kelantan dalam perhimpunan kali ini dan itulah sahaja ‘standard’ kepimpinan parti UMNO yang ada di negeri Kelantan sejak akhir-akhir ini. Menambahkan lagi rumitnya untuk BN mengambilalih kuasa pemerintahan negeri pada PRU14 ini. 

2.
Dalam wawancara khas TV3 bersama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO pula, program kali ini dilihat lesu apabila penjelasan dan jawapan oleh kesemua mereka sepanjang program itu kurang bersemangat. Banyak kali dilihat ada yang bercakap tersekat-sekat dengan batuk yang dibuat-buat seolah-olah bercakap sambil meraba-raba mencari idea. Sepatutnya mereka yang dianggap sebagai panglima UMNO ini mampu bercakap dengan lancar dan santai sahaja terutamanya dalam rancangan televisyen yang ditonton umum.

Suasana seperti itu boleh mengurangkan keyakinan orang ramai bahawa mereka mampu menentang dan menepis serangan lawan secara berdepan. Mereka hanya juara di hadapan penyokong-penyokong sendiri dan di gelanggang sendiri sahaja tetapi kalah jika berhujah dengan parti lawan di tempat lawan.

Oleh itu, saya bersetuju jika ketiga-tiga mereka ini pun dimasukkan juga ke dalam senarai peserta untuk latihan perkaderan yang bakal dilaksanakan nanti. Diharap mereka tidak dikecualikan supaya mereka pun mendapat peluang latihan juga untuk memantapkan semula percakapan dengan idea-idea yang lebih bernas. Sekurang-kurangnya tahun hadapan sedap didengar biar pun belum tentu ‘competent’. Jika enggan, eloklah mereka pun bersedia juga untuk memberikan laluan kepada pemimpin yang lebih muda selaras dengan agenda ‘peremajaan’ UMNO.

Sebagai kesimpulan, saya rasa perhimpunan kali ini tidaklah sehebat mana dan boleh dibanggakan. Kehadiran memanglah ramai dengan dewannya penuh di setiap sudut tetapi itu adalah biasa dan tidak menghairankan kerana setiap tahun sememangnya orang seronok ke sana. Seronok kerana boleh datang ke ibu kota Kuala Lumpur terutamanya bagi orang-orang Kelantan dan lebih seronok lagi kerana semua perbelanjaan ditanggung oleh Ketua yang ingin mengukuhkan lagi kedudukan dalam parti diperingkat Bahagian.

No comments:

Post a Comment