3. Selain daripada agenda ‘meremajakan’ UMNO, terdapat juga perkara-perkara baru yang lain yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Salah satu daripadanya ialah sistem ‘on-line’ bagi pemohon-pemohon baru untuk menjadi ahli parti. Ianya boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam dunia oleh mana-mana orang melayu yang layak dan permohonan ini adalah secara terus ke ibu pejabat UMNO.
Perkembangan terbaru ini sememangnya sesuatu yang amat baik. Pemohon
tidak lagi perlu mengisi borang secara konvensional melalui mana-mana Cawangan
seperti dahulu. Ini meringkaskan prosedur dan tiada lagi masalah mendapatkan
tandatangan Cawangan.
Walau bagaimana pun, sistem yang baru diperkenalkan ini hanyalah
sesuatu yang berbentuk teknikal sahaja dan ianya bukan dasar parti. Pengumuman
mengenainya hanyalah sesuatu yang menggambarkan bahawa UMNO ketinggalan jauh
kebelakang kerana baru sahaja membuat keputusan untuk mengambil faedah dari
kemudahan teknologi maklumat atau IT. Saya beranggapan ini pun satu lagi
kelewatan parti ini dalam menyesuaikan diri dengan kemajuan pesat IT. Oleh itu,
tidak perlulah ditemual dalam tv orang-orang yang ghairah bercakap memberikan
sokongan dan menyambut pembaharuan ini termasuk Naib-Naib Presiden parti yang
juga Menteri Kabinet.
4. Menyentuh tentang isu Akta Hasutan pula, saya melihat ianya hanyalah
laungan beramai-ramai setahun sekali sahaja apabila diadakan perhimpunan agung.
Pemimpin ketiga-tiga sayaplah yang selalu dilihat lantang bersuara dalam dewan
di hadapan para perwakilan bilamana ada sesuatu yang dianggap menyentuh
sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan.
Bagi saya, laungan dan jeritan mereka hanyalah sebagai halwa telinga
sahaja. Berpidato dengan bersemangat dan berdegar-degar sehingga pembesar suara
pun boleh pecah kononnya mempertahankan agama, bangsa dan tanah air hanyalah
latihan tahunan supaya lidah mereka menjadi lebih petah sahaja. Kononnya
merekalah panglima-panglima angkatan perang bagi orang-orang melayu. Setahun
sekali sahajalah kita boleh melihat latihan ini. Apabila selesai perhimpunan
dan mereka balik ke tempat masing-masing, tahun hadapan pulalah mereka ke dewan
untuk latihan berpidato lagi.
Saya menganggap banyak kerja sia-sia yang berlaku semasa perhimpunan
agung ini. Laungan dan jeritan seperti itu contohnya tidak diperlukan oleh
negara sebenarnya. Musuh-musuh politik di luar sana tetap juga bebas menghina
dan menghasut serta menconteng arang ke muka orang-orang melayu dan raja-raja
serta agama Islam. Mereka terus bebas melakukannya kerana pemimpin-pemimpin
melayu ini hanya bertegas setahun sekali sahaja hanya semata-mata untuk
mempamerkan kehebatan berpidato sahaja. Bersemangat hanya di hadapan khalayak
ramai dalam sebuah dewan yang dipenuhi dengan orang-orang UMNO sahaja. Mereka
tidak pula bersemangat seperti itu apabila bersama dengan pemimpin dari
parti-parti komponen BN.
Saya berpendapat isu Akta Hasutan ini tidak memerlukan tiupan semangat
yang berlebihan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam perhimpunan besar seperti
ini. Apa yang lebih perlu dilakukan ialah penguatkuasaan undang-undangnya pada
setiap masa dan dimana-mana serta keatas sesiapa pun sahaja. Untuk menangkap
pencuri lebih baik dilakukan dengan cara diam dan senyap berbanding dengan cara
bising dan menjerit-jerit. Jika bising, pencuri itu tidak akan datang buat
sementara waktu tetapi tetap akan datang juga pada masa yang lain.
Begitulah juga dengan isu Akta Hasutan ini. Mereka yang terlibat akan
berdiam diri buat sementara waktu tetapi akan melancarkan lagi serangan demi
serangan yang lebih hebat apabila penguatkuasaannya menjadi longgar dan
longlai. Mengapa ianya menjadi longgar dan longlai, anda jawablah sendiri.
5. Penubuhan Angkatan atau Skuad Semut Api Puteri UMNO mendapat tepukan
gemuruh di dalam dewan tetapi menjadi bahan rajalawak mega di luar sana
sebaliknya. Pemimpin dan ahli Puteri tidak menyedari bahawa mereka sekadar
menciplak sesuatu yang sudah lama dijalankan oleh orang lain. Perkataan semut
itu sendiri pun tidak sesuai sebenarnya kerana sengatannya tidak sehebat mana.
Tanyalah orang-orang Kampong Semut Api di Kelantan (dalam DUN Kijang yang
diwakili oleh YB Ubaidah Bt Omar dari parti PAS) tentang setakat mana kesakitan
digigit semut api. Memang sakit tetapi tidaklah lama sangat.
Saya lebih bersetuju jika namanya ialah Angkatan atau Skuad Tebuan
Tanah atau Lipan Bara. Denyutan bisa dari sengatan seekor tebuan tanah atau
seekor lipan bara tidak sama walaupun dibandingkan dengan sengatan 100 ekor semut
api pun. Hanya mereka yang pernah disengat tebuan tanah atau lipan bara
sahajalah yang tahu dan faham maksud saya ini.
Oleh itu, jika hendak menciplak sesuatu yang orang lain sudah pun lebih
lama dan lebih dahulu buat, buatlah sesuatu yang melebihi apa yang orang lain
sudah buat itu. Kalau dari segi sengatan, biarlah lebih berbisa. Istilah yang
digunakan biarlah berbeza kerana Semut Api tetap sama spesisnya dengan Semut
Merah. Begitu jugalah kerbau dan seladang yang tidak jauh bezanya dari segi
rupa dan bentuk kecuali saiznya. Malahan semut merah lebih besar saiz badannya
berbanding semut api. Pada kebiasaannya, yang lebih besarlah yang akan menelan dan
memakan yang lebih kecil.
Ini menunjukkan bahawa Puteri UMNO ketandusan idea kerana masih
budak-budak yang belum cukup pengalaman politik (walaupun sesetengahnya dari
golongan profesional) tetapi enggan bertanya kerana hendak tunjuk pandai dan
bijak kononnya. Saya tidak yakin Puteri mampu menyaingi dan berdepan dengan
musuh-musuh politik di luar sana yang lebih berpengalaman dan lebih berani menyerang
serta lebih bijak dan lebih matang itu kecuali bergabung tenaga dengan Pemuda
dan Wanita. Sayangnya kedua-dua sayap abang dan kakak ini tidak ada masa untuk
ke medan perang ini bersama Puteri kerana sibuk mengukuh dan mengejar kedudukan
politik masing-masing dalam parti. Maka adik perempuan bongsu inilah yang
disuruh pergi berperang sebagai pemanah hadapan dan menjadi mangsa serta makanan
musuh apabila ditewaskan.
Apa pun, saya tetap mendoakan dari jauh di perkampungan terpencil
Semerak semoga Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 ini berjalan lancar dan
berjaya. Saya harap tidak ada lagi ‘war lord’ yang marah (termasuk 'war lord' di tempat saya) setelah dipesan oleh
YAB Tan Sri Timbalan Presiden. Saya akan terus menulis dan menulis dalam blog
saya ini seperti yang telah saya lakukan sejak 5 tahun yang lalu.
Hidup Melayu !!!
No comments:
Post a Comment