Saya telah membuat panggilan telefon beberapa kali kepada salah seorang
daripada tiga pemimpin teratas UMNO Bahagian Pasir Puteh sebelum
Perhimpunan Agung berlangsung tetapi tidak dijawabnya.
Missed calls saya itu pun tidak dibalasnya sampai sekarang.
Mungkin beliau takut saya hendak pergi ke perhimpunan agung dan ingin
meminta supaya beliau sponsor padahal bukan itu tujuan saya kerana saya
pun tahu beliau ialah seorang yang paling ‘prudential’ dalam UMNO
Bahagian Pasir Puteh.
Inilah sikap pemimpin UMNO diperingkat Bahagian di tempat saya.
Sudahlah tidak pernah turun padang mendekati orang ramai,
kalau ada panggilan telefon pun tidak mahu menjawabnya walaupun orang
yang membuat panggilan itu sudah lama dikenalinya secara rapat.
Inilah secara asasnya diantara perkara-perkara yang boleh menyebabkan
orang ramai semakin rasa muak dan cemuh terhadap pemimpin UMNO di
peringkat Bahagian sekaligus muak dan cemuh juga terhadap parti UMNO.
Saya sangat menghormati pemimpin itu selama ini tetapi sekarang tidak
boleh lagi walaupun beliau orang ‘bergelar’ dan saya mengharapkan supaya
pemimpin-pemimpin yang lain di Bahagian Pasir Puteh tidak
mencontohinya.
Sunday, 30 November 2014
Perhimpunan Agung UMNO 2014
1. Kesimpulan akhir saya tentang PAU 2014 ialah kali ini ianya menyaksikan satu kelainan yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Ianya ialah tiada lagi kecaman, kutukan dan cemuhan serta cabar mencabar secara keterlaluan terhadap parti PAS dan pemimpin-pemimpin utamanya sepertimana sebelum ini setiap tahun termasuk terhadap individu-individu tertentu. Sejak perhimpunan ini bermula pada 25 Nov yang lalu sehinggalah hari terakhir pada 29 Nov semalam, para perwakilan dan pemimpin-pemimpin parti hanya menumpukan kepada persoalan-persoalan yang ada kaitan rapat dengan isu mempertahankan agama, bangsa dan institusi raja selain daripada isu-isu lain yang ada kepentingan untuk orang-orang melayu.
Kalau dahulu suasana panas dan marah terhadap parti-parti lawan
terutamanya PAS menjadi perkara biasa dan rutin dalam perhimpunan setiap tahun
tetapi pada kali ini suasana ini sudah reda. Saya tidak tahulah samada ianya
menjadi reda kerana arahan oleh pucuk kepimpinan parti atau dengan kehendak
para perwakilan sendiri. Kalau dengan kehendak perwakilan sendiri, saya juga
tidak tahu mengapa sikap dan pendekatan ini diambil sedemikian pada tahun ini.
Apa pun sebabnya, bagi saya perkembangan terbaru ini sangat baik bagi
parti UMNO sendiri. Sikap baru parti UMNO ini boleh dijadikan sebagai petanda
atau ‘benchmark’ yang kukuh, jelas dan positif bahawa usaha kearah menyatukan
semula kedua-dua parti terbesar orang-orang melayu ini boleh dipertingkatkan.
Kedua-dua parti ini telah lama bermusuhan sehingga memecahbelahkan perpaduan
orang-orang melayu . Sekarang sudah sampai masanya orang-orang melayu disatukan
semula melalui dua parti utama orang-orang melayu ini. Orang yang berbalah dan
bermusuhan pun berbaik semula juga akhirnya walaupun tidak bertegur sapa sudah
sekian lama. Ada kes di tempat saya contohnya, pernah berlaku satu kemalangan
seorang murid sekolah rendah berumur 8 tahun dilanggar kereta. Tempat berlaku
ialah di hadapan sebuah rumah yang terletak di tepi jalan besar berdekatan
sekolah di mana murid itu belajar. Apabila tuan rumah itu melihat kejadian itu,
beliau terus meluru keluar kearah murid yang dilanggar itu lalu mengusung dan
mengejarkannya ke pusat kesihatan dengan keretanya. Apabila murid ini
diserahkan kepada pihak pusat kesihatan untuk rawatan, beliau pun pulang ke
rumah dengan pakaian dan tempat duduk keretanya dipenuhi darah.
Selang tidak berapa lama selepas itu, beliau telah disapa dari belakang
oleh seseorang semasa beliau sedang minum di sebuah kedai makan berdekatan
rumahnya. Orang itu ialah bapa kepada murid sekolah yang telah dibantunya itu.
Beliau terkejut besar kerana sibapa ini adalah orang yang telah berpuluh tahun
tidak bercakap dengannya disebabkan satu perselisihan faham. Sampai hari ini
mereka berdua menjadi kawan baik seperti sediakala semula. (Cerita benar bukan
rekaan).
Maka oleh itu, UMNO dan PAS pun saya menganggap begitulah juga. Akan
ada harinya nanti apabila mana-mana diantara dua parti ini ingin berbaik semula
apabila disedari pihak yang satu lagi telah membantu pihak yang lain itu dalam
kecemasan.
Jika ini benar-benar berlaku nanti, itulah ‘solidarity’ atau 'solidaritas' dalam ertikata yang
sebenar.
2. Sepanjang tempuh musim perhimpunan ini, tiada sebuah pun kedai makan
di tempat saya yang tuan kedainya pasang saluran tv yang ada siaran langsung
perhimpunan ini. Saya ada bertanya mengapa tak pasang siaran itu? Ada tuan
kedai yaang jawab, ‘tak minat tok wan’. Ada juga yang jawab, ‘kecek hak tulo
jah genak2 taon, kito hak sesak ni mintak zink sekeping pun takleh’. Ada juga tuan kedai yang lain menjawab ‘tak
faham tok wan, gapo nyo duk sarah, serabut’
Itu jawapan oleh tuan-tuan kedai yang saya sudah lama kenal sebagai
orang-orang UMNO di tempat saya. Kalau tuan kedai ialah orang PAS, sudah
tentulah saya tidak payah bertanya.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa apa yang diperbincangkan di
Perhimpunan Agung tidak mendapat perhatian dan sambutan di luar walaupun oleh
orang-orang UMNO sendiri. Mana kedai yang ada tv pun, tuan kedainya lebih suka
membuka rancangan lain di saluran lain yang tidak ada siaran langsung
perhimpunan agung.
Saya yakin barisan kepimpinan tertinggi UMNO di Kuala Lumpur tidak
menyedari keadaan ini. Mengapa perhimpunan tidak diminati oleh orang-orang UMNO
sendiri di kampong-kampong seperti Semerak ini sepatutnya menjadi sesuatu yang
perlu diambil perhatian. Walau bagaimana pun, bagi saya kepimpinan tertinggi
tidaklah juga boleh dipersalahkan. Yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah
barisan kepimpinan diperingkat Bahagian dan Cawangan. Merekalah yang
menyebabkan minat orang ramai terhadap UMNO menjadi semakin hari semakin pudar
dan luntur. Sikap sombong dan angkuh serta tidak mahu mendekati orang ramai
untuk meninjau masalah mereka tidak dijadikan amalan kecuali apabila tiba musim
pemilihan parti dan pilihanraya sahaja. Di tempat saya, masih ada pun yang merungut
bahawa mereka belum lagi mengenali wakil rakyat DUN ini sampai sekarang kecuali
mendengar namanya sahaja walaupun PRU13 sudah lama berlalu.
Sukan Tahunan Sekolah Rendah Dalam Hujan Sepanjang Hari
ada seorang cikgu tel kepada saya sakni
dia kata dia kena jawab satu surat drp kementerian bersabit dengan aduan saya mengenai sukan tahunan sekolah rendah yang dijalankan dalam waktu hujan
saya kata takpelah
jawablah sahaja
saya akan buat laporan lain pula
rupa2nya tarikh asal di tunda kerana guru besar sekolah berkenaan itu kena bedah mata
saya rasa kalau guru besar itu tak ada pun
sukan ini sepatutnya diteruskan juga kerana PK kan ada
dia kata dia kena jawab satu surat drp kementerian bersabit dengan aduan saya mengenai sukan tahunan sekolah rendah yang dijalankan dalam waktu hujan
saya kata takpelah
jawablah sahaja
saya akan buat laporan lain pula
rupa2nya tarikh asal di tunda kerana guru besar sekolah berkenaan itu kena bedah mata
saya rasa kalau guru besar itu tak ada pun
sukan ini sepatutnya diteruskan juga kerana PK kan ada
Friday, 28 November 2014
Perhimpunan Agung UMNO 2014 atau PAU 2014
1.
Saya telah mengikuti Buletin Utama TV3 semalam yang memaparkan
sedutan-sedutan ucapan oleh wakil-wakil dari beberapa negeri termasuk wakil
dari Kelantan. Semua wakil dari negeri-negeri lain berucap tentang masalah-masalah
rakyat tetapi wakil Kelantan agak berlainan sedikit. Beliau mempertahankan sesuatu
yang ada kaitan dengan isu AP Kereta Import.
Baguslah kalau setiap orang bercakap tentang sesuatu yang diketahuinya
secara mendalam. Yang diharapkan ialah apa sahaja yang berbentuk pembelaan
untuk rakyat terutamanya orang melayu. Kalau wakil Terengganu mahukan supaya
kawasannya dimajukan, wakil Kedah pula membangkitkan soal kesihatan UMNO yang
semakin terganggu pada masa ini. Wakil Pulau Pinang pula tidak berpuas hati
apabila adanya menteri kabinet yang memeluk Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu
membuat lawatan ke sana. Malangnya, wakil Kelantan membangkitkan sesuatu yang
agak janggal.
Rata-rata tahu siapa yang telah menjadi kaya raya dengan kemudahan AP
ini. Sumber inilah yang telah membuatkan seseorang itu mampu memiliki rumah
banglo yang sangat besar dan mewah nun jauh di Kuala Lumpur yang tidak pernah
diketahui oleh rakyat di tempat yang diwakilinya. Sumber inilah juga yang
digunakan ke jalan politiknya untuk memenangi jawatan tertinggi Bahagian di
tempatnya. Sumber inilah juga yang digunakan ke jalan politiknya untuk
memenangi pilihanraya umum yang lalu sebagai Ahli Parlimen di tempatnya.
Oleh itu membela dan mempertahankan sesuatu yang ada kaitan secara
langsung dengan kepentingan peribadi mana-mana pemimpin parti adalah sesuatu
yang sangat tidak diingini oleh orang ramai. Apalagi jika sesuatu isu itu tidak
pun relevan untuk dibawa ke dalam perhimpunan besar seperti ini. Mereka
menginginkan pemimpin parti melakukan pembelaan untuk ahli dan rakyat, bukan
untuk diri pemimpin itu sendiri.
Inilah barangkali diantara apa yang dimaksudkan oleh wakil dari Kedah
itu. Penyakit mementingkan diri sendiri semakin bersarang dan menebal
dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO seperti ini. Jika ditegur oleh pemimpin
atasan sekali pun, mereka tetap tidak peduli dan tidak merasa apa-apa bahkan
sanggup menyebut-nyebutnya lagi dalam ucapan terbuka. Seolah-olah itulah yang
diperjuangkan olehnya untuk ahli-ahli UMNO di tempatnya selaku Ketua UMNO
Bahagian dan juga untuk rakyat di tempatnya selaku Ahli Parlimen.
Itulah wakil Kelantan dalam perhimpunan kali ini dan itulah sahaja
‘standard’ kepimpinan parti UMNO yang ada di negeri Kelantan sejak akhir-akhir
ini. Menambahkan lagi rumitnya untuk BN mengambilalih kuasa pemerintahan negeri
pada PRU14 ini.
Dalam wawancara khas TV3 bersama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO pula,
program kali ini dilihat lesu apabila penjelasan dan jawapan oleh kesemua
mereka sepanjang program itu kurang bersemangat. Banyak kali dilihat ada yang
bercakap tersekat-sekat dengan batuk yang dibuat-buat seolah-olah bercakap
sambil meraba-raba mencari idea. Sepatutnya mereka yang dianggap sebagai
panglima UMNO ini mampu bercakap dengan lancar dan santai sahaja
terutamanya dalam rancangan televisyen yang ditonton umum.
Suasana seperti itu boleh mengurangkan keyakinan orang ramai bahawa
mereka mampu menentang dan menepis serangan lawan secara berdepan. Mereka hanya
juara di hadapan penyokong-penyokong sendiri dan di gelanggang sendiri sahaja
tetapi kalah jika berhujah dengan parti lawan di tempat lawan.
Oleh itu, saya bersetuju jika ketiga-tiga mereka ini pun dimasukkan
juga ke dalam senarai peserta untuk latihan perkaderan yang bakal dilaksanakan
nanti. Diharap mereka tidak dikecualikan supaya mereka pun mendapat peluang
latihan juga untuk memantapkan semula percakapan dengan idea-idea yang lebih
bernas. Sekurang-kurangnya tahun hadapan sedap didengar biar pun belum tentu
‘competent’. Jika enggan, eloklah mereka pun bersedia juga untuk memberikan
laluan kepada pemimpin yang lebih muda selaras dengan agenda ‘peremajaan’ UMNO.
Sebagai kesimpulan, saya rasa perhimpunan kali ini tidaklah sehebat
mana dan boleh dibanggakan. Kehadiran memanglah ramai dengan dewannya penuh di
setiap sudut tetapi itu adalah biasa dan tidak menghairankan kerana setiap
tahun sememangnya orang seronok ke sana. Seronok kerana boleh datang ke ibu
kota Kuala Lumpur terutamanya bagi orang-orang Kelantan dan lebih seronok lagi
kerana semua perbelanjaan ditanggung oleh Ketua yang ingin mengukuhkan lagi
kedudukan dalam parti diperingkat Bahagian.
Thursday, 27 November 2014
Ucapan Perasmian Oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden UMNO (sambungan)
3. Selain daripada agenda ‘meremajakan’ UMNO, terdapat juga perkara-perkara baru yang lain yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Salah satu daripadanya ialah sistem ‘on-line’ bagi pemohon-pemohon baru untuk menjadi ahli parti. Ianya boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam dunia oleh mana-mana orang melayu yang layak dan permohonan ini adalah secara terus ke ibu pejabat UMNO.
Perkembangan terbaru ini sememangnya sesuatu yang amat baik. Pemohon
tidak lagi perlu mengisi borang secara konvensional melalui mana-mana Cawangan
seperti dahulu. Ini meringkaskan prosedur dan tiada lagi masalah mendapatkan
tandatangan Cawangan.
Walau bagaimana pun, sistem yang baru diperkenalkan ini hanyalah
sesuatu yang berbentuk teknikal sahaja dan ianya bukan dasar parti. Pengumuman
mengenainya hanyalah sesuatu yang menggambarkan bahawa UMNO ketinggalan jauh
kebelakang kerana baru sahaja membuat keputusan untuk mengambil faedah dari
kemudahan teknologi maklumat atau IT. Saya beranggapan ini pun satu lagi
kelewatan parti ini dalam menyesuaikan diri dengan kemajuan pesat IT. Oleh itu,
tidak perlulah ditemual dalam tv orang-orang yang ghairah bercakap memberikan
sokongan dan menyambut pembaharuan ini termasuk Naib-Naib Presiden parti yang
juga Menteri Kabinet.
4. Menyentuh tentang isu Akta Hasutan pula, saya melihat ianya hanyalah
laungan beramai-ramai setahun sekali sahaja apabila diadakan perhimpunan agung.
Pemimpin ketiga-tiga sayaplah yang selalu dilihat lantang bersuara dalam dewan
di hadapan para perwakilan bilamana ada sesuatu yang dianggap menyentuh
sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan.
Bagi saya, laungan dan jeritan mereka hanyalah sebagai halwa telinga
sahaja. Berpidato dengan bersemangat dan berdegar-degar sehingga pembesar suara
pun boleh pecah kononnya mempertahankan agama, bangsa dan tanah air hanyalah
latihan tahunan supaya lidah mereka menjadi lebih petah sahaja. Kononnya
merekalah panglima-panglima angkatan perang bagi orang-orang melayu. Setahun
sekali sahajalah kita boleh melihat latihan ini. Apabila selesai perhimpunan
dan mereka balik ke tempat masing-masing, tahun hadapan pulalah mereka ke dewan
untuk latihan berpidato lagi.
Saya menganggap banyak kerja sia-sia yang berlaku semasa perhimpunan
agung ini. Laungan dan jeritan seperti itu contohnya tidak diperlukan oleh
negara sebenarnya. Musuh-musuh politik di luar sana tetap juga bebas menghina
dan menghasut serta menconteng arang ke muka orang-orang melayu dan raja-raja
serta agama Islam. Mereka terus bebas melakukannya kerana pemimpin-pemimpin
melayu ini hanya bertegas setahun sekali sahaja hanya semata-mata untuk
mempamerkan kehebatan berpidato sahaja. Bersemangat hanya di hadapan khalayak
ramai dalam sebuah dewan yang dipenuhi dengan orang-orang UMNO sahaja. Mereka
tidak pula bersemangat seperti itu apabila bersama dengan pemimpin dari
parti-parti komponen BN.
Saya berpendapat isu Akta Hasutan ini tidak memerlukan tiupan semangat
yang berlebihan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam perhimpunan besar seperti
ini. Apa yang lebih perlu dilakukan ialah penguatkuasaan undang-undangnya pada
setiap masa dan dimana-mana serta keatas sesiapa pun sahaja. Untuk menangkap
pencuri lebih baik dilakukan dengan cara diam dan senyap berbanding dengan cara
bising dan menjerit-jerit. Jika bising, pencuri itu tidak akan datang buat
sementara waktu tetapi tetap akan datang juga pada masa yang lain.
Begitulah juga dengan isu Akta Hasutan ini. Mereka yang terlibat akan
berdiam diri buat sementara waktu tetapi akan melancarkan lagi serangan demi
serangan yang lebih hebat apabila penguatkuasaannya menjadi longgar dan
longlai. Mengapa ianya menjadi longgar dan longlai, anda jawablah sendiri.
5. Penubuhan Angkatan atau Skuad Semut Api Puteri UMNO mendapat tepukan
gemuruh di dalam dewan tetapi menjadi bahan rajalawak mega di luar sana
sebaliknya. Pemimpin dan ahli Puteri tidak menyedari bahawa mereka sekadar
menciplak sesuatu yang sudah lama dijalankan oleh orang lain. Perkataan semut
itu sendiri pun tidak sesuai sebenarnya kerana sengatannya tidak sehebat mana.
Tanyalah orang-orang Kampong Semut Api di Kelantan (dalam DUN Kijang yang
diwakili oleh YB Ubaidah Bt Omar dari parti PAS) tentang setakat mana kesakitan
digigit semut api. Memang sakit tetapi tidaklah lama sangat.
Saya lebih bersetuju jika namanya ialah Angkatan atau Skuad Tebuan
Tanah atau Lipan Bara. Denyutan bisa dari sengatan seekor tebuan tanah atau
seekor lipan bara tidak sama walaupun dibandingkan dengan sengatan 100 ekor semut
api pun. Hanya mereka yang pernah disengat tebuan tanah atau lipan bara
sahajalah yang tahu dan faham maksud saya ini.
Oleh itu, jika hendak menciplak sesuatu yang orang lain sudah pun lebih
lama dan lebih dahulu buat, buatlah sesuatu yang melebihi apa yang orang lain
sudah buat itu. Kalau dari segi sengatan, biarlah lebih berbisa. Istilah yang
digunakan biarlah berbeza kerana Semut Api tetap sama spesisnya dengan Semut
Merah. Begitu jugalah kerbau dan seladang yang tidak jauh bezanya dari segi
rupa dan bentuk kecuali saiznya. Malahan semut merah lebih besar saiz badannya
berbanding semut api. Pada kebiasaannya, yang lebih besarlah yang akan menelan dan
memakan yang lebih kecil.
Ini menunjukkan bahawa Puteri UMNO ketandusan idea kerana masih
budak-budak yang belum cukup pengalaman politik (walaupun sesetengahnya dari
golongan profesional) tetapi enggan bertanya kerana hendak tunjuk pandai dan
bijak kononnya. Saya tidak yakin Puteri mampu menyaingi dan berdepan dengan
musuh-musuh politik di luar sana yang lebih berpengalaman dan lebih berani menyerang
serta lebih bijak dan lebih matang itu kecuali bergabung tenaga dengan Pemuda
dan Wanita. Sayangnya kedua-dua sayap abang dan kakak ini tidak ada masa untuk
ke medan perang ini bersama Puteri kerana sibuk mengukuh dan mengejar kedudukan
politik masing-masing dalam parti. Maka adik perempuan bongsu inilah yang
disuruh pergi berperang sebagai pemanah hadapan dan menjadi mangsa serta makanan
musuh apabila ditewaskan.
Apa pun, saya tetap mendoakan dari jauh di perkampungan terpencil
Semerak semoga Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 ini berjalan lancar dan
berjaya. Saya harap tidak ada lagi ‘war lord’ yang marah (termasuk 'war lord' di tempat saya) setelah dipesan oleh
YAB Tan Sri Timbalan Presiden. Saya akan terus menulis dan menulis dalam blog
saya ini seperti yang telah saya lakukan sejak 5 tahun yang lalu.
Hidup Melayu !!!
Wednesday, 26 November 2014
Ucapan Perasmian Oleh YAB Tan Sri Timbalan Presiden UMNO
1. Satu jam lima puluh minit ucapan perasmian Perhimpunan Agung
Serentak Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang mantap dan penuh berisi oleh YAB
Tan Sri Timbalan Presiden UMNO pada pagi 25 Nov 2014. Saya telah ikuti dengan
penuh fokus setiap patah dan setiap ayat yang diucapkannya.
Inilah ucapan dan pidato terbaiknya. Saya sangat bersetuju dengan
hampir keseluruhan ucapannya kecuali tentang beberapa perkara sahaja.
Syabas saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Timbalan Presiden kerana sekali
lagi berjaya membongkar dan mendedahkan kelemahan-kelemahan yang semakin hari
semakin kritikal dan kronik dalam UMNO. Kali ini pembongkaran dan teguran
dibuat dengan lebih lantang dan lebih jelas. Mereka yang bersetuju sudah
tentulah dari kalangan mereka yang telah lama melihat UMNO sebagai sebuah parti
orang melayu yang semakin tidak menguntungkan pun orang melayu sendiri jika terus dibiarkan. Mereka yang
tidak pula adalah dari kalangan yang tamakkan kuasa dan harta.
Terdapat cerita yang benar-benar berlaku di tempat saya apabila beliau
mendedahkan tentang gejala ‘war lord’ dalam UMNO. Selain daripada seluruh
aktiviti kepartian dikawal sepenuhnya oleh ‘war lord’ ini, kritikan juga tidak
diberikan ruang dan peluang di tempat saya. Jika diteruskan juga, orang itu
akan diberikan amaran keras sehingga kepada tahap menampalkan kertas besar
berwarna merah dengan tulisan besar di dinding rumah seperti pangkahan dalam
filem P. Ramlee.
Begitu juga dengan sikap sebahagian besar barisan kepimpinan di peringkat
Bahagian dan Cawangan termasuk Wanita dan Pemuda. Mereka masih terus
mengamalkan sikap sombong dan angkuh yang keterlaluan sehinggakan orang merasa
seolah-olah parti UMNO sudah dibawa balik oleh mereka ke rumah masing-masing
untuk disimpan dan dijadikan harta mereka. Sebab itu saya berkata sebelum ini
bahawa sikap dan amalan itu telah mengakibatkan seolah-olah parti dibawa jauh
dari orang ramai bukan orang ramai yang menjauhi parti.
Yang paling menarik bagi saya ialah apabila beliau menyarankan supaya
yang lama memberikan laluan kepada yang baru dan muda. Ianya menarik kerana
saya baru sahaja menerbitkan dua artikel di dalam blog saya sebelum ini supaya
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ditukar atau diganti dengan orang baru.
Saya harap Pengerusi Perhubungan ini pun tidak terkecuali daripada senarai
mereka yang perlu mengundurkan diri secara terhormat.
Saya harap para perwakilan yang hadir pada perhimpunan pada kali ini
faham apa yang dimaksudkan oleh YAB Tan Sri Presiden itu kerana ayat-ayatnya
sangat ‘simple’ dan ‘direct’. Ubahlah sikap dan cara bekerja apabila balik ke
tempat masing-masing nanti.
2. Perkara yang membuatkan saya kurang bersetuju ialah agenda
‘meremajakan’ UMNO. Istilah ini baru diperkenalkan tetapi tidak ‘sophisticated’
dan maksudnya mudah difahami. Namun bagi saya, UMNO tidak pun perlu
di’remaja’kan. Setelah berusia 68 tahun, mana mungkin sesuatu itu hendak
di’remaja’kan lagi? Mengapa baru sekarang pemimpin tertinggi hendak melakukan
proses ini? Mengapa tidak dari dulu lagi? Mengapa baru sekarang pemimpin
tertinggi UMNO bersungguh-sungguh dan beria-ria hendak melakukan usaha menarik
kaum remaja supaya menyertai UMNO? Apa yang telah dibuatnya selama ini?
Bagi saya memperkenalkan apa sahaja slogan tidak menjadi masalah. Bukan
itu yang penting. Yang lebih penting ialah menentukan supaya kepimpinan parti
disemua peringkat mengubah sikap dan amalan kehidupan seharian mereka. Yang
lebih penting ialah mendidik dan mengajar mereka supaya mengamalkan sikap yang
betul terhadap ahli-ahli dan orang ramai. Apabila sikap dan amalan mereka
berubah dari sombong kepada rendah diri contohnya, dari menonjolkan kekayaan
dan kemewahan kepada kesederhanaan contohnya, saya yakin bukan sahaja kaum
remaja yang akan berminat kepada parti bahkan siapa sahaja dari usia apa pun
berminat juga. Tidak perlu bersusah payah mencipta dan memperkenalkan slogan-slogan
baru seperti ini. Secara otomatik dengan sendirinya para remaja akan
berduyun-duyun beratur bersama dengan orang-orang dewasa yang lain untuk
mengisi borang masuk UMNO jika mereka melihat tingkahlaku pemimpin UMNO menarik
dan sederhana. Sebaliknya dan secara otomatik juga, mereka akan berpaling dan
menjauhi UMNO jika mereka mengetahui pemimpin-pemimpinnya kaya dan mewah hasil
dari rasuah dan penyelewengan atau kaya kerana parti.
Proses mengubah sikap mereka bukan boleh dibuat ‘overnight’. Ianya
memakan masa yang agak lama kerana perlu dilakukan melalui banyak siri-siri
perkaderan dan latihan serta ujian dan penilaian. Oleh itu, saya tidak nampak
dengan keadaan yang tergesa-gesa dan dalam masa yang sebegini singkat ini
hasilnya boleh tercapai sebelum PRU14 jika PRU14 dijadikan matlamatnya. Akibat
dari kerja yang tergesa-gesa, saya khuatir juga bukan sahaja matlamat
‘peremajaan’ tidak tercapai tetapi parti UMNO pun dianggap barang lama yang
berusia 68 tahun yang disimpan oleh pemimpin-pemimpin di semua peringkat di
rumah masing-masing untuk dijadikan sebagai hak milik peribadi kerana nilai
antiknya yang semakin lama semakin tinggi. Nilai jualan antiknya inilah yang
membolehkan pemimpin-pemimpin UMNO berubah sekelip mata dari miskin kepada kaya
raya, dari rumah kecil kepada istana, dari kereta kecil kepada kereta mewah,
dari tidak bergelar kepada bergelar dan sebagainya lagi yang dikejar ramai
kononnya diatas nama dan prinsip ‘BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT’.
Apa pun, saya tetap doakan dari jauh di perkampungan terpencil Semerak semoga
Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 ini berjalan lancar dan berjaya.
Hidup Melayu !!!
Subscribe to:
Posts (Atom)