Tarikh 19hb Oktober 2013 yang lalu telah memuktamadkan barisan kepimpinan disemua peringkat bermula dari Cawangan, Bahagian sehinggalah Majlis Tertinggi. Semua mereka yang telah dipilih mulai memegang jawatan masing-masing sehinggalah tahun 2016 atau mungkin dilanjutkan diatas faktor PRU14.
Mereka semua menang apabila perwakilan membuat pilihan mereka. Inilah kali pertama pemilihan tidak lagi dibuat oleh sekumpulan kecil sahaja perwakilan tetapi oleh satu jumlah perwakilan yang besar setelah perlembagaan UMNO dipinda. UMNO telah berjaya menunjukkan amalan demokrasi dalaman yang berkesan untuk dicontohi oleh parti-parti politik yang lain.
Di Pasir Puteh, sehingga hari ini tidak kedengaran tindakan oleh mana-mana individu untuk membawa sebarang aduan kepada pihak Lembaga Displin parti walaupun sebelum ini terdapat cakap-cakap tentang beberapa salahlaku semasa proses pemilihan. Saya tidak tahu mengapa laporan tidak dibuat. Apakah kerana tidak cukup bukti atau sengaja mahu membiarkannya, tiada sesiapa yang boleh menentukannya.
Sebagai seorang penganalisis dan pengkritik bebas, saya tidak tertakluk kepada kerja mengkritik sahaja. Saya boleh juga memuji dan memberikan ucapan tahniah jika sesuatu itu betul dalam mana-mana parti terutamanya UMNO yang merupakan parti pemerintah negara. Oleh itu saya tetap menyokong sistem yang baru ini kerana ianya lebih demokrasi.
Namun, usaha untuk mengurangkan atau menghapuskan gejala rasuah atau 'politik wang' saya rasa kurang berkesan lagi. Ini disebabkan gejala ini sudah lama menjadi darah daging dan amalan biasa dalam UMNO. Kalau pun mereka yang terlibat itu tidak boleh melakukannya seperti dahulu-dahulu, mereka tetap juga mencari jalan lain untuk melakukannya asalkan jawatan yang mereka tandingi itu dimenangi mereka. Oleh itu, mereka telah menukar cara dan kaedah lama kepada cara dan kaedah baru yang lebih tersusun dan sopan. Mereka semua bijak berpolitik termasuk bijak mengelak diri mereka dicekup oleh Lembaga Displin parti.
Pada mereka yang mengamalkan sikap 'ideal', sudah tentulah apa cara dan kaedah pun yang dilakukan itu masih tetap juga dianggap salah. Mereka inilah yang menentang kepimpinan yang terdahulu itu tetapi sebahagian besarnya kalah juga. Maka tujuan mereka untuk kononnya membersihkan UMNO daripada rasuah dan 'politik wang' tidak kesampaian dan mengalahlah mereka buat sementara waktu.
Dalam artikel saya kali ini, saya ingin menasihatkan mereka yang telah kalah itu baru-baru ini supaya menerima sahajalah kekalahan itu dengan hati yang terbuka. Oleh itu, terimalah juga mereka yang telah menang itu sebagai pemimpin parti sepertimana yang telah dipilih oleh perwakilan. Kalah menang dalam sesuatu pertandingan bukan bermakna seseorang yang telah bertanding tetapi kalah itu tidak lagi mempunyai sebarang ruang atau peluang untuk menyumbang khidmat bakti kepada parti. Selagi mereka ada keinginan dan berminat, mereka masih boleh berperanan walaupun tidak dilantik untuk sebarang jawatan oleh kepimpinan yang telah menang itu. Sebagai contoh, ada seorang kawan saya yang sangat aktif dalam membantu masyarakat dan sekarang terus aktif pula dalam sebuah NGO yang ada kaitan secara tidak langsung dengan UMNO dan BN walaupun beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan baru-baru ini. Beliau yang saya maksudkan ialah YBhg Cikgu Azmi Mohd Nor, bekas Pengetua Sekolah Menengah Selising, Pasir Puteh.
Sikap beliau sangat profesional dan sangat baik untuk dicontohi kerana tidak pernah merungut apabila tidak mendapat peluang bertanding baru-baru ini walaupun beliau sangat layak.
Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
No comments:
Post a Comment