Saturday, 9 November 2013

UMNO Dulu dan UMNO Sekarang

Sekali lagi saya akan menulis sesuatu mengenai UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana saya lebih mengetahui organisasi yang ada di tempat saya sendiri berbanding di tempat lain. Walau bagaimana pun, apa yang berlaku di Pasir Puteh mungkin berlaku juga di tempat-tempat lain kerana budaya semasa yang sudah berubah secara menyeluruh.

Pada 19 Oktober 2013 yang lalu telah berlangsung pemilihan UMNO Bahagian di seluruh negara berserta pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi pusat. Di Pasir Puteh, sehari selepas itu merupakan hari pertama Ketua UMNO Bahagian menyambung semula tugasnya untuk penggal kedua baginya. Beliau menang dengan majoriti yang agak besar juga mengalahkan pencabarnya iaitu orang yang pernah dicabarnya sebelum ini pada 8 November 2008 dahulu.

Maka berakhirlah episod perlawanan didalam UMNO Bahagian Pasir Puteh dan juga Bahagian-Bahagian lain seluruh Malaysia sehinggalah tahun 2016 pula atau kesatu tarikh lain yang akan ditetapkan. Yang menang tentulah bergembira dengan kemenangan yang dicapai, yang kalah tentulah berduka dengan kekalahan yang diterima.

Sepertimana yang diketahui umum, perlawanan berlaku diantara dua pasukan yang berbeza. Walaupun perkara ini dinafikan kononnya demi menjaga keharmonian parti dan juga kononnya tidak mahu dilabelkan sebagai mengamalkan sikap pilih kasih, namun pecah belah ini sebenarnya berlaku pada masa itu. Ketua UMNO Bahagian dengan 'team'nya bergerak setiap langkah dengan caranya sementara 'team' pencabar juga bergerak secara berasingan.

Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana 'team' dalam soal ini. Mungkin pemilihan yang akan datang pun beginilah juga suasananya dan akan berterusan sampai bila-bila kerana budaya berpecah belah sudah menjadi sebati dalam UMNO sejak akhir-akhir ini. Ianya bukan sahaja berlaku diperingkat Bahagian tetapi berlaku juga diperingkat Majlis Tertinggi atau MT.

Sebagai seorang penganalisis dan pengkritik bebas, saya ingin menyentuh tentang perbezaan sikap pemimpin-pemimpin dahulu berbanding dengan pemimpin-pemimpin sekarang. Dahulu, pemimpin yang menang akan terus mendampingi mereka yang kalah selepas sahaja selesai pemilihan. Bahkan ada juga yang dilantik untuk menjawat apa-apa jawatan yang sesuai walaupun kalah. Suasana seperti itu wujud sebelum ini di dalam UMNO dan saya sendiri dapat merasakannya.

Sekarang, semua itu sudah berlalu dan menjadi kenangan sahaja. Pemimpin yang menang tidak langsung mahu mendekati mereka yang kalah seolah-olah menganggap mereka itu sebagai 'musuh'. Bukan setakat itu sahaja, ada yang berkata bahawa kekalahan mereka itu dianggap sebagai 'penghapusan' daripada UMNO, bahkan jikalau mereka hendak keluar parti dan berpindah ke parti lain pun sangat-sangatlah dimahukan.

Begitulah songsangnya sikap pemimpin UMNO dan mereka yang menang diperingkat Bahagian pada masa ini. Mereka menolak orang-orang yang dikalahkan itu sebagai musuh mereka untuk selama-lamanya hanya semata-mata disebabkan tebalnya sikap mementingkan diri sendiri. Mereka tidak mahu mendekati atau didekati oleh orang-orang yang dikalahkan mereka itu kerana tidak mahu di'ganggu' dalam urusan kepartian harian mereka. Ini adalah kerana golongan yang kalah itu mempunyai sikap berkerja yang berbeza berbanding mereka. Mereka yang kalah itu adalah golongan orang-orang yang tidak sukakan penyelewengan dan salahlaku dalam menguruskan parti. Sebab itu mereka mencabar dalam pemilihan baru-baru ini tetapi kekuatan penyandang lebih kuat dengan pelbagai taktik sogokan kepada perwakilan dan tipu helah mereka termasuk tipu helah yang dilakukan semasa proses pengiraan kertas undi, maka mereka menjadi mangsa penipuan dan kalah.

Itu tidak penting bagi saya kerana semuanya telah berlalu dan tiada sebarang bukti mahu dikemukakan walaupun umum mengetahuinya. Apa yang penting bagi saya ialah dua perkara.

Pertama, memahami bahawa sudah berlaku banyak perbezaan sikap diantara pemimpin dahulu dan pemimpin sekarang dan sikap ini akan berterusan. Ini bermakna bahawa jika ada sesiapa yang berminat untuk berkecimpung di dalam UMNO sebagai pemimpin, maka sikap baru ini hendaklah diterapkan ke dalam dirinya terlebih dahulu. Sikap yang saya maksudkan ialah sanggup melakukan apa sahaja asalkan menang walaupun hatinya sendiri pun tidak menerima cara-cara itu.

Kedua, sudah jelas bahawa perpecahan yang semakin berlaku di dalam UMNO ialah diantara golongan yang jujur dan tidak. Buat pada masa ini, golongan pemimpin yang tidak jujur sudah mulai seolah-olah mendapat tempat dihati orang-orang UMNO manakala yang jujur sudah semakin pupus. Golongan yang tidak ujur sudah mengatasi golongan yang jujur dan tiada apa lagi yang sesiapa pun boleh berbuat apa-apa kecuali melihat dan mengucap sahaja.

Asas baru ialah 'peluang' bukan lagi 'perjuangan'.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment