Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 42)
Pada
1 Oktober 2013, Kongres AS gagal meluluskan satu bajet khas yang
dituntut oleh kerajaan Obama. Akibatnya operasi kerajaan Amerika lumpuh
(shutdown). Dari segi sejarahnya, ini bukanlah kali pertama operasi
kerajaan AS ditutup. Sehingga kini, telah 19 kali operasi kerajaannya
terhenti. Yang terakhir ialah pada tahun semasa pentadbiran Bill Clinton
daripada 16 Disember 1995 sehingga 6 Januari 1996.
Semasa Clinton dulu, operasi kerajaan terhenti kerana Republikan
menolak bajet Demokrat yang tidak seimbang. Republikan hanya menyokong
bajet Demokrat 21 hari kemudian selepas Clinton mengambil langkah
menyeimbangkan bajetnya.
Kali ini, operasi kerajaan AS
terhenti kerana Demokrat yang menguasai Dewan Senat menolak gesaan
Republikan supaya ia melakukan perubahan ke atas rang undang-undang
penjagaan kesihatan negara (Obamacare) sebagai pertukaran kepada
persetujuan mereka untuk menyokong bajet Demokrat.
Namun,
keinginan Republikan ditolak Demokrat kerana rang undang-undang itu
turut menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang kesihatan Obama selama
setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan.
Bagi Obama, pelan kesihatannya penting kerana ia memberi perlindungan
insurans kesihatan kepada sekitar 50 juta penduduk berpendapatan rendah
dan miskin di negara tersebut. Obama juga menegaskan pelan penjagaan
kesihatannya sah setelah diluluskan di Kongres dan diiktiraf oleh
mahkamah serta disahkan menjadi undang-undang pada 23 Mac 2010.
Bagi Dewan Perwakilan pula, ia tidak menyokong pelan kesihatan Obama
kerana menyifatkannya sebagai satu pembaziran. Pelan itu juga menyekat
kebebasan rakyat untuk tidak mengambil perlindungan insurans. Republikan
juga menentang pelan kesihatan Obama kerana ia menyebabkan syarikat
kecil dan sederhana terpaksa membeli insurans kesihatan untuk melindungi
pekerja.
Atas perbezaan pandangan ini, maka kedua-dua parti
enggan berkompromi menyebabkan tidak ada persetujuan bersama untuk
meluluskan undang-undang bajet. Akibatnya, agensi-agensi kerajaan
kecuali untuk beberapa sektor kritikal terpaksa ditutup kerana ketiadaan
peruntukan. Penutupan agensi-agensi kerajaan itu melibatkan kira-kira
800,000 kakitangan yang diberikan cuti tanpa gaji sehingga bajet
tersebut diluluskan.
Salahkah penutupan operasi kerajaan ini?
Penutupan sebahagian besar agensi kerajaan AS itu dibenarkan
perlembagaan AS. Tetapi kesannya kepada ekonomi Amerika dan dunia adalah
cukup besar. Apakah kesannya?
Bagi ahli ekonomi yang tidak
berpijak di dunia realiti, mereka menyatakan kesannya kepada kemerosotan
ekonomi adalah minimum, asalkan krisis bajet itu dapat diselesaikan
dalam masa dua minggu. Saya tidak faham bagaimana kita hendak menyatakan
kesannya minimum jika 800,000 pekerja AS terjejas dan tidak menerima
bayaran. Itu belum mengambil kira perdagangan dunia yang akan kerugian
50 bilion dolar dalam masa dua minggu jika krisis ini tidak selesai.
Saya juga tidak faham kenapa kesannya minimum jika kegagalan meluluskan
bajet itu akan menyebabkan risiko AS tidak dapat membayar
hutang-hutangnya, sedangkan AS adalah kuasa ekonomi dunia. Itu juga
belum mengambil kira soal pelancongan yang merosot, perdagangan luar
tergendala, persidangan yang diatur lebih awal terpaksa ditangguh atau
dibatalkan dan lainnya.
Jika kesan penutupan operasi kerajaan ini besar, apakah pengajarannya untuk negara kita?
Yang penting dan utama ialah kita kena ingat jangan hanya kerana
persaingan politik, ia sampai boleh melumpuhkan kerajaan. Dalam hal ini,
kita tidak boleh mengikut perangai Obama dan Republikan yang enggan
berkompromi kerana di akhirnya sikap merekalah yang menyebabkan rakyat
dan negara susah. Betul, kerajaan kita meminta bajet tambahan pada tahun
ini, tetapi itu bukannya alasan untuk ahli parlimen menolaknya. Kita
boleh membangkang dan menegur kerajaan atas keborosannya, jika ada, dan
mengingatkan supaya lebih berhati-hati lagi dalam perbelanjaan atau
menyediakan bajet yang lebih lengkap lagi pada masa akan datang. Ini
kerana ketiadaan belanja akan menyebabkan kerajaan lumpuh.
Kedua, tindakan Obama meminta peruntukan kewangan khas dari Kongres
adalah kerana kerajaan kehabisan wang untuk berbelanja. Oleh itu, bagi
negara kita adalah perlu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan
baik. Sekarang ini hutang luar kita banyak dan terus meningkat. Kerajaan
perlu beri perhatian kepada hal ini dengan mengambil tindakan segera
bagi memastikan pengurusan ekonomi, kewangan, percukaian dan mata wang
kita cekap. Kerajaan perlu mengelak dari berbelanja secara boros dan
hapuskan ketirisan dalam perbelanjaan negara.
Ketiga,
kesilapan Obama dalam kesnya ini adalah kerana keengganannya untuk
berunding disebabkan mendengar kata penasihatnya yang separuh masak.
Kerajaan kita perlu belajar dari pengalaman ini dengan tidak boleh
berterusan menafikan kenyataan dan bergantung kepada penasihat sebelah
pihak sahaja. Ada ketikanya kerajaan perlu mendengar suara rakyat luar
dan teguran dari kumpulan masyarakat sivil.
Keempat, kes AS
ini mengajar kita supaya pemimpin kita jangan hanya memikirkan hal
politik dan populariti sahaja tanpa mempertimbangkan soal kepentingan
jangka panjang negara. Jika negara sudah dalam keadaan ekonomi yang
sakit, kerajaan perlu segera mengambil langkah wajar supaya negara tidak
lagi terjebak dalam krisis kewangan seperti pada tahun 1997-1998. Macam
AS sekarang ini, sekiranya Kongres gagal menaikkan had pinjamannya
kepada AS$16.7 trilion, maka ia akan menuju ke arah negara yang gagal
membayar hutang. Apabila ini berlaku, dunia sekali lagi akan menyaksikan
gelombang kejutan pasaran kewangan.
Kelima, kes AS ini adalah
tanda-tanda awal untuk kita bersedia merancang perbelanjaan. Bajet 2014
yang akan dibentangkan dua minggu lagi adalah peluang untuk kerajaan
kita membuktikan bahawa kerajaan bersedia mengambil langkah yang tegas
untuk meletakkan semula ekonomi negara kita di landasan yang betul. Kita
tidak mahu menjadi seperti AS, negara kuat tenteranya, kuat ekonominya,
tetapi peruntukan bajet tidak diluluskan. Di Somalia, Mozambique dan
Zimbabwe yang kadar inflasinya beribu kali tinggi dari AS pun, kita
belum mendengar lagi berita yang melaporkan bajetnya tidak diluluskan
parlimen. Begitulah!
No comments:
Post a Comment